Selasa, 5 November 2013

Sedekah bulan puasa padam azab kubur

Amalan pada bulan Ramadan yang mungkin sebahagian kita terlepas pandang ialah amalan memberi sedekah juadah berbuka kepada jiran tetangga. Suatu ketika dulu amalan ini sentiasa diberikan perhatian dan diamalkan. Natijahnya lahirlah masyarakat bersatu padu, saling hormat-menghormati.

Namun malangnya mutakhir ini amalan memberi sedekah kepada jiran tetangga agak kurang dipraktikkan. Justeru, marilah sempena bulan yang mulia ini kita menghidupkan semula amalan ini, mudah-mudahan perpaduan dan ukhuwah antara jiran tetangga Muslim kembali segar. 
Rasulullah insan paling dermawan 


Berdasarkan sirah Rasulullah SAW, Baginda adalah insan yang paling dermawan dan lebih memberi derma terutama pada Ramadan.

Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan sifat dermawan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda, barang siapa yang memberi minum orang berpuasa dengan seteguk air, nescaya Allah akan memberi minum kepadanya daripada telaga Nabi SAW yang mana ia tidak akan dahaga ketika di padang Mahsyar sehingga masuk ke syurga.

Pada Ramadan mulia ini, Allah SWT telah memperlihatkan sifat Maha Pemurah terhadap hamba-Nya. Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang mengerjakan amalan sunat, pahalanya sama dengan amalan wajib. Dan barang siapa yang melakukan amalan wajib, pahalanya sama seperti melaksanakan 70 amalan wajib yang sama.”
Sesungguhnya seseorang individu yang gemar bersedekah tidak akan mengurangkan hartanya bahkan Allah SWT akan menambah rezekinya. Ini ditegaskan Baginda SAW dalam sabdanya: “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah.” (Riwayat Tirmidzi)

Selain itu, amalan sedekah yang dilakukan oleh seorang Muslim dengan ikhlas akan berupaya memadamkan kesengsaraan azab kubur.

Bagi insan yang bijaksana, mereka sentiasa memikirkan apakah tindakan yang boleh dimanfaatkan setelah merasai nikmat dikurniakan Allah SWT kepadanya. Memperbanyakkan bersedekah satu amalan yang dituntut syarak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Kikis sifat bakhil

Bersama kita mengikis sifat bakhil dalam diri dan memulakan penghijrahan sikap dengan yakin akan janji Allah SWT yang sememangnya benar semata-mata. Walau kita dilanda kesempitan wang sekalipun, kita masih lagi boleh bersedekah dengan cara lain seperti mana dianjurkan.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan tasbih adalah sedekah, takbir sedekah, tahmid sedekah, tahlil sedekah, amar makruf sedekah, nahi mungkar sedekah.” (Riwayat Muslim)

Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan pada Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah SWT di hari akhirat kelak.

Konsep ‘memberi’ (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan saja pada Ramadan kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya.

Sedekah dapat menghakis sifat kedekut dalam diri di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Satu peringatan buat kita, usahlah kita mengungkit-ungkit sedekah yang telah dihulurkan kerana perbuatan itu akan merugikan kita semua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan ia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka perumpamaan orang itu ialah seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah ia (batu tadi) bersih.
Mereka tidak menguasai (beroleh) sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 264) 


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Artikel ini telah disiarkan dalam bahagian Agama Berita Harian pada 23 Julai 2013.

Isnin, 30 September 2013

BACA AL-QURAN RAHSIA PANJANG UMUR

Alor Setar - Seorang warga emas yang sering menjadikan al-Quran sebagai pegangan dan amalan hidupnya di kala waktu pagi, petang, dan malam membuatkan hidupnya kekal pada usia lebih 100 tahun. 

Tinjauan Sinar Harian di kediamannya di Kampung Hujung Teluk Kechai, dekat Kuala Kedah baru-baru ini dilihatkan betapa agungnya kebesaran tuhan terhadap penciptanya yang masih kuat pada usia seperti itu. 


Difahamkan, Husain Teh yang kini dianggarkan mencapai usia pada umur 124 tahun sering menghabiskan masa dengan membaca al-Quran pada waktu lapang dan setiap kali selepas menunaikan solat fardu.

Beliau yang kini dijaga anak bongsunya, Ahmad Teh, 61, dan isteri, Ku Zabedah Ku Ahmad, 58, merasakan amat dihargai kerana anak-anak masih menyayanginya.

Ahmad berkata, dengan usia yang seperti itu, ayahnya masih kuat seperti orang muda dan boleh melakukan pekerjaan seperti biasa, termasuk mengangkat barang yang tidak terlalu berat.

Menurutnya, pemeriksaan ujian darah di hospital juga mendapati ayahnya tidak menghidap sebarang penyakit meskipun penyakit yang dipanggil ‘tiga serangkai’ iaitu darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

“Ayah mempunyai hobi yang sangat menarik sejak usia muda. Pada waktu lapang saja, dia suka menghabiskan masa dengan membaca al-Quran. Boleh dikatakan setiap minggu dia akan khatam al-Quran.

“Berbanding dengan orang lain seperti kita mungkin tidak mampu untuk buat seperti itu kerana sibuk dengan urusan kerja. Kalau ada, mungkin sebulan sekali. Itu pun pada bulan Ramadan saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Rahsia membaca al-Quran

Jelasnya, keunikan hasil daripada kekerapan membaca al-Quran itu juga membuatkan penglihatan ayahnya masih tajam dan tidak memerlukan pemakaian cermin mata untuk membaca.

“Ayah baca al-Quran tidak pakai cermin mata, penglihatan dia masih tajam. Baca surat khabar dan menonton televisyen pun tidak pakai cermin mata. Malah dia masih kenal setiap gambar yang dipaparkan, khususnya tokoh-tokoh politik,” katanya.

Ahmad berkata, keajaiban yang dimiliki oleh ayahnya sehingga mampu bertahan pada usia lebih 100 tahun itu juga turut dikagumi oleh jiran-jiran dan masyarakat setempat yang mengenalinya.

“Ramai juga jiran-jiran selalu datang rumah melawat ayah. Tambahan pula, ayah seorang yang peramah dan mudah mesra dengan orang ramai. Sehinggakan pada suatu hari, ayah berani ke bandar seorang diri menaiki bas tanpa pengetahuan kami sekeluarga.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kami sekeluarga tidak membenarkan ayah keluar rumah seorang diri kerana khuatir sesuatu yang tidak diingini berlaku. Kalau nak keluar pun, kami akan keluar bersama,” katanya.

Mengulas mengenai pengambilan makanan setiap hari, Ahmad berkata, ayahnya tidak mengamalkan pemakanan yang tidak sihat.

“Kalau bab makan itu sama saja seperti kita, semuanya dia makan. Dengan keadaan gusinya yang tiada gigi itu pun masih mampu makan makanan yang rapuh. Tapi ayah tidak mengambil makan yang tidak sihat.

“Bagaimanapun, nasi lemak mesti menjadi hidangan wajib pada setiap pagi,” katanya.

Masih ingat zaman penjajah

Dalam pada itu, Husain ketika ditemui berkata, dalam fikirannya masih segar beberapa peristiwa semasa zaman jajahan British dan Jepun di tanah air. Antara yang tidak dapat dilupakan adalah keterpaksaan untuk mengingati dan menyanyikan lagu Jepun padas setiap kali berjumpa dengan anggota tentera tersebut.

“Saya ingat lagi, masa itu kami (penduduk tanah air) kena paksa nyanyi dan hafal lagu Jepun. Siapa yang tidak boleh nyanyi nanti kena pukul dengan tentera Jepun,” katanya.

Membuktikan perkara itu, beliau turut menyanyikan sebuah lagu Jepun yang dihafalnya sejak zaman tersebut yang berdurasi selama tiga minit kepada Sinar Harian.

Diselitkan pula mengenai peristiwa sejarah di Kedah, beliau mengakui telah hidup semasa tiga keturunan Sultan Kedah.

“Saya pernah berjumpa dengan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah di sekitar negeri ini pada suatu ketika dulu.

“Kemudiannya, pemerintahan Sultan Kedah bertukar kepada Sultan Badlishah Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah,” katanya.

Hasil perkahwinannya dengan isteri, Che Som Yakob juga telah dikurniakan enam orang cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan.

Difahamkan, beliau yang tidak lagi membuat kerja-kerja bendang sejak kebelakangan ini turut dikurniakan lebih 20 orang cucu, 10 orang cicit dan bakal menimbang seorang pipit dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

Gagal rekod tahun kelahiran

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia, Jainisah Mohd Noor berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan umur sebenar Husain selepas didapati terdapat tanda bintang kecil pada hujung sebelah kanan MyKad beliau.

“Selalunya orang yang ada tanda bintang pada MyKad ini adalah orang yang telah hidup dari zaman jajahan tentera British ataupun Jepun. Tetapi kita tidak dapat sahkan berapa umur beliau yang sebenar pada ketika ini.

“Cumanya nombor kad pengenalan yang ada pada mykad beliau itu adalah kita ambil sempena tarikh beliau mula daftar untuk buat kad pengenalan,” katanya. -SH

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.