Khamis, 13 Oktober 2016

TETAMU AL HARAMAIN




Alhamdulillah....Alhamdulillah....Alhamdulillah....tiada ungkapan yang selayaknya khusus bagi Allah Rabbul Jalil yang telah memilih hamba yang kerdil ini sebagai Dhuyufur Rahman melalui Programe of the Guess of the Custodian of the Two Holly Mosque for Hajj-King Salman bin Abdulaziz Alsaud.


Catatan pengalaman sebagai Dhuyufur Rahman 1437H :

29 Ogos 2016
Mendapat berita yang amat mengembirakan melalui aplikasi whatsapp....jemputan sebagai tetamu bagi Haji 1437H


31 Ogos 2016
Perjumpaan khas bersama Duta Kerajaan Arab Saudi di Jalan U Thant, Kuala Lumpur...menerima surat jemputan, set ihram termasuk sepasang selipar, Subhanallah.


03 September 2016
10.15 am - Bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas Alor Setar dengan pesawat Malaysia Airlines ke KLIA (terima kasih sahabat Tn Hj Abd Aziz bin Hassan @ Yahya) yang membantu membeli tiket dari AOR-KUL...

11.20 am - mendarat di KLIA
3.00 ptg - Berkumpul di kaunter penerbangan Antarabangsa KLIA dan diberikan taklimat bahawa jemaah akan menunaikan haji tamattuk.

5.00 ptg - Boarding Pass-kebanyakkan jemaah telah siap dengan ihram
6.00 ptg - Berlepas  dari KLIA ke Jeddah dengan pesawat Saudi Arabia Airlines


Tiba di Jeddah Airport jam 2.08pagi waktu tempatan 9.07mlm. Rombongan disambut oleh para petugas Haramain. Ujian Allah salah seorang daripada ahli rombongan (Saudara Yusri) mengalami masalah tekanan darah dan telah diberi bantuan segera oleh petugas. Urusan Imegresen di Jeddah Alhamdulillah dipermudahkan Allah SWT. Jemaah dibawa oleh petugas menaiki bas yang telah menunggu di ruang luar Airport. sebaik semua jemaah menaiki bas, Alhamdulillah petugas mengagihkan makanan nasi ayam bungkus..memang menyelerakan kerana terllalu lapar...

4.00 am - tiba diHotel Takamul@Casablanca-jemaah telah disambut dilobby hotel dan sesi fotografi oleh media arab. oleh kerana waktu subuh hampir masuk jemaah diminta menunaikan solat subuh di masjid yang terdapat dihotel berkenaan.

04 September 2016
07.00 am : bertolak ke haram dgn bas khas yang disediakan bagi melengkapkan umrah...Alhamdulillah ..diizinkan Allah mengucup Hajarul Aswad.Allahu Akbar!!!


05 September 2016
3.20 am : bertolak ke haram...diuji Allah solat subuh berdekatan laluan jenazah

08 Zulhijjah
5ptg waktu mekah - bertolak dari hotel ke Arafah dengan diiringi peronda polis dan ambulan
9.00 mlm : tiba di arafah..Subhanallah 


09 Zulhijjah - HARI WUQUF
12.20 : masuk waktu zohor - solat zohor dan asar jamak
selepas khutbah arafah jemaah mencari tempat sendiri untuk bermunajat

5.30 ptg : berkumpul utk bertolak ke Muzdalifah.

8.20 mlm : tiba di Muzdalifah...Subhanallah setiap bas parking di tepi jalan dan disediakan alas / karpet utk jemaah bas tersebut..solat maghrib dan isyak jamak-disediakan makanan-tunggu hingga tengah malam /aktiviti kutip batu dan bermunajat- bertolak ke mina dan tiba jam 1.30 pagi. Alhamdulillah.

10 Zulhijjah
8.15 am : melontar di jamrah aqabah-waktu afdhal melontar pada hari pertama adalah sewaktu dhuha..Alhamdulillah diizinkan Allah. Selesai melontar lebih kurang jam 10.30 pagi.

Bercukur - Terima kasih diucapkan buat seorang tetamu dari afrika yang sudi mencukur rambut secara ikhlas. Bila dihulur wang, menolak dan berkata Lillahi Taala...Subhanallah.
Alhamdulillah boleh menanggalkan ihram haji (Tahallul)

11 Zulhijjah
Melontar di ketiga-tiga jamrah selepas waktu zohor (waktu afdhal). selepas melontar terus balik ke Haram bagi melaksanakan tawaf ifadhah dan saie. alhamdulillah selesai tawaf dan saie hampir waktu maghrib.

Bertolak balik ke hotel- siap diri dan bertolak ke Mina menaiki teksi-berjalan- tiba di khemah Mina sebelum tengah malam..syukur- sahabat-sahabat risau. Alhamdulillah.

12 Zulhijjah
Melontar hari ketiga di ketiga-tiga jamrah dan terus meninggalkan bumi Mina (Nafar Awal)

13 Zulhijjah
Meninggalkan hotel Casablanca waktu tengah malam (12 Zulhijjah) dan singgah solat subuh di perhentian antara Mekah dan Madinah.

Tiba di Bumi Madinah AlMunawwarah sebelum waktu Zohor. Alhamdulillah check in hotel - sebilik dengan Abe Wie & Ust De'.

Zohor di Masjidil Nabawi..Alhamdulillah

14 Zulhijjah / 16 September 2016
bertolak ke Airport Madinah selepas asar. Tiba hampir maghrib. Check in - solat jamak taqdim di airport. Flight delay- Madinah-Jeddah. tengah malam baru bertolak dari Madinah. tiba di Jeddah flight utk ke Kuala Lumpur siap menunggu. jam 2.00 pagi terbang dari Jeddah ke KUL.


15 Zulhijjah / 17 September 2016
Alhamdulillah selamat mendarat di KUL jam 4ptg. Ujian Allah beg tak sampai sebab bila flight Madinah-Jeddah delay dan sampai di Jeddah lewat petugas airport tidak sempat menurun barang utk dipindah ke dalam flight ke KUL. Buat report di KLIA.

7.15 ptg bertolak KUL-AOR dengan penerbangan Malaysia MAS- terpaksa mendarat di Penang Airport sebab kekurangan minyak-isi minyak dan selamat mendarat di LTSAH Kepala Batas jam 11.15 mlm. Subhanallah alhamdulillah Allahu Akbar.

14 hari menunaikan fadhu HAJI - 3/9 hingga 17/9/2016







Jumaat, 15 Julai 2016

LABBAIKALLAHUMMA LABBAIK....




PARA TETAMU ALLAH HAJI 1437H


Sebaik sahaja selesai menyambut 1 Syawal dan melaksanakan puasa sunat 6 Syawal, kini umat Islam memfokuskan pula perhatian dan persiapan melaksanakan rukun Islam ke 5 iaitu ibadah Haji. Syukur dan beruntunglah bagi mereka yang telah dipilih untuk melaksanakan kefardhuan haji pada tahun ini. Namun bagi mereka yang belum mendapat apa-apa maklumat daripada TH, in sha Allah teruskan berdoa mudah-mudahan dijemput oleh ALLAH SWT sebagai tetamunya...LA HAU LA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH....Berdoa dan teruskan berdoa...Allahuma Ameen..

Ahad, 29 Mei 2016

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN


Ramadhan 1437H bakal kunjung tiba. Ya Allah izinkan kami dapat bertemu dan melakukan amalan sepanjang Ramadhan...suatu peluang untuk memohon keampunan atas segala dosa yang dilakukan sebelum ini...Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Telah datang Jibril dan dia berkata, “Wahai Muhammad, barang siapa menemui bulan Ramadhan dan kemudian mati dan tidak diampuni (dosanya), maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan Allah akan mengabaikannya (jauh darinya), katakan Amin.” Maka aku berkata: “Amin.” (Hadith Sahih, diriwayatkan oleh Ibn Khuzaymah dan Ibn Hibban dari Jabir ra).

Selasa, 12 April 2016

TANGGUNGJAWAB MENGIMARAHKAN RUMAH ALLAH


Masjid merupakan sebuah institusi yang amat penting dalam Islam. Ia juga sebagai lambang syiar dalam Islam. Menelusuri sirah Rasulullah SAW, sebaik tiba di Bumi Madinah, baginda SAW mendirikan masjid di Quba’. Ketika itu para sahabat tertanya-tanya, kenapa dan mengapa baginda bersusah payah mendirikan masjid terlebih dahulu? Akhirnya para sahabat dan pengkaji sejarah menemui jawapannya.  Baginda telah mengarahkan para sahabat melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersangkutan dengan segala urusan hidup muslim dilaksanakan di masjid. Seterusnya masjid sebagai pusat membina, mentarbiah, mendidik dan membangun umat Islam sehingga menjadi umat terbaik sepanjang zaman.


Allah SWT telah menggariskan beberapa pra syarat yang layak digelar sebagai pemakmur rumah Allah sebagaimana Firman Allah SWT Surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud :
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa hanya lima golongan manusia yang layak dianugerahkan memakmurkan dan menghidupkan masjid-masjid itu, iaitu orang yang beriman kepada Allah, orang yang beriman dengan hari akhirat, orang yang mendirikan Solat, orang yang menunaikan Zakat, orang yang takut kepada Allah.

Sesungguhnya terdapat empat kelebihan golongan yang berhimpun memakmur dan menghidupkan masjid-masjid termasuk golongan yang mempelajari ilmu Islam dan mereka yang berzikir mengingati Allah SWT, iaitu diturunkan Allah SWT suasana ketenteraman dan damai, diliputi dan dinaungi rahmat Allah SWT, dikelilingi oleh para malaikat, dipuji dan dimuliakan di sisi Allah SWT.

Ini dikuatkan lagi dengan hadis dari Abu Hurairah RA Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya: Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’. Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Subhanallah, berdasarkan hadis di atas betapa hebatnya anugerah Allah buat insan yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid. Golongan ini tercatat dalam senarai manusia yang akan menerima perlindungan arash Allah SWT pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT.


Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
 “…dan tidak berhimpun suatu kaum dalam satu tempat rumah dari tempat-tempat (yakni) rumah-rumah Allah (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca Kitabullah (Al Quran) dan mereka bertadarus sesama mereka, melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat serta mereka dipuji oleh Allah Ta’ala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya”. (Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi)

Kini, Alhamdulillah kita menyaksikan terdapat sebilangan masjid yang sudah menjalankan aktiviti yang pelbagai demi kepentingan dan kebajikan umat Islam. Namun tidak dinafikan masih terdapat sebilangan masjid di Malaysia yang masih perlu diperbaiki terutamanya dari aspek aktiviti mengimarahkannya. Lantaran individu yang telah dilantik oleh jamaah dan diamanahkan untuk memikul tugas perlulah menunaikan amanah sebaik mungkin demi kebaikan bersama.

Dalam hal ini, kepimpinan masjid, ahli jawatankuasanya dan ahli-ahli kariah serta seluruh masyarakat Islam setempat wajar mengambil peranan masing-masing. Bawalah berbincang dan bermesyuarat bagi mencari pelbagai pendekatan atau aktiviti boleh diaplikasikan melalui institusi masjid bagi memakmur dan menghidupkan masjid-masjid atau surau-surau sebagai institusi yang sangat hampir dengan kehidupan umat Islam. Apabila masjid dimakmurkan sudah pasti akan terbina dan hiduplah umat Islam dalam suasana yang damai, aman dan sentiasa dalam naungan rahmat dan barakah Allah SWT.

Kembalikanlah fungsi masjid. Masjid adalah tempat ibadah , di sinilah tempat umat Islam berkumpul untuk melaksanakan ibadah khusus terutama solat, membaca al-Quran, berzikir, tempat majlis-majlis ilmu dijalankan dan tempat perhimpunan dan perbincangan umat Islam untuk menyelesaikan masalah mereka. Para malaikat mendoakan dan memohon rahmat kepada Allah SWT kepada ahli-ahli masjid yang menunaikan ibadah dan menuntut ilmu di sini. Mereka yang terpaut hati dengan masjid dan melaksanakan semua fungsi tadi akan mendapat naungan Allah di akhirat nanti.
Jika umat Islam dapat melihat peranan tersebut pasti kita akan menjadi umat yang mampu mencapai zaman terbaik, zaman kehebatan dan kegemilangan umat Islam terdahulu, insya Allah.

Justeru, kepimpinan masjid dan ahli jawatankuasa yang tidak mampu untuk melaksanakan amanah, berundurlah dan berilah ruang serta peluang kepada insan lain yang sanggup menyumbang idea bagi mengimarahkan rumah Allah yang mulia itu. Yakinlah bahawa insan yang telah berusaha memakmurkan masjid akan dipandang mulia oleh Allah SWT. Takutlah amaran Allah sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 114 yang bermaksud :

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.


Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.


Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.