Rabu, 9 September 2026

KHUTBAH JUMAAT NEGERI KEDAH : PEMUDA BERAKHLAK, UMMAH TERPELIHARA

KHUTBAH : PEMUDA BERAKHLAK, UMMAH TERPELIHARA

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang penuh barakah ini, marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya takwa menjadi sebaik-baik bekalan bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjamin kebahagiaan hidup di dunia serta meraih kejayaan dan keselamatan abadi di akhirat kelak.


Sidang Jumaat sekalian,

Khatib ingin mengajak sidang hadirin, ayuh tinggalkanlah seketika segala urusan dunia. Hentikanlah perbualan yang tidak perlu. Simpanlah telefon bimbit di dalam poket. Berilah sepenuh perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Mungkin inilah nasihat yang selama ini kita perlukan. Mungkin inilah peringatan yang mampu mengubah kehidupan kita. Mungkin juga inilah khutbah Jumaat yang terakhir sebelum kita dijemput kembali bertemu Allah Azzawajalla.

Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari penghulu segala hari ini, khatib ingin mengajak sidang Jumaat marilah kita merenung satu persoalan besar. Cuba kita bertanya pada diri kita sendiri : Siapakah yang akan menentukan hala tuju ummah pada masa hadapan? Jawapannya ialah pemuda yang ada pada hari ini. Namun, persoalannya bukan sekadar: “Sejauh mana hebatnya ilmu mereka?” Tetapi yang lebih penting: “Sejauh mana kukuhnya iman dan akhlak mereka?”


Kerana ilmu tanpa akhlak boleh kehilangan arah, kepintaran tanpa iman boleh membawa kerosakan dan kemajuan tanpa nilai boleh menghancurkan peradaban.


Sidang Jumaat yang berbahagia,

Allah SWT memberikan perhatian yang istimewa kepada golongan pemuda khususnya pemuda yang beriman sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi, ayat 13:

Maksudnya: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdasarkan ayat yang dibacakan, marilah kita renungkan bagaimana Allah SWT memperkenalkan Ashabul Kahfi dengan satu identiti yang sangat mulia: pemuda-pemuda yang beriman.


Wahai anak muda dan sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Apabila berbicara tentang kehebatan pemuda, jangan sekali-kali kita lupa tentang kisah Ashabul Kahfi yang berlaku pada zaman pemerintahan Empayar Rom di bawah raja yang zalim yang bernama Raja Dikyanus. Mereka bukanlah sekumpulan ulama yang hebat bahkan mereka hanyalah sekelompok pemuda biasa yang dada mereka bergelora dengan api tauhid. Mereka tidak takut dipulaukan, tidak gentar diancam bunuh dan tidak sudi menggadaikan maruah iman dengan kesenangan dunia yang sementara.


Justeru Allah SWT merakamkan kehebatan semangat mereka dengan firman-Nya:

Maksudnya: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran".


Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Pemuda Ashabul Kahfi memilih untuk menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim tanpa rasa gentar sedikit pun ketika seluruh masyarakat hanyut dalam arus maksiat.

Pemuda Ashabul Kahfi sanggup meninggalkan kemewahan, pangkat dan keselesaan hidup di istana demi mempertahankan kesucian iman. Pemuda Ashabul Kahfi memilih gua yang gelap, sempit dan berdebu sebagai tempat berlindung kerana bagi mereka, gua yang penuh iman itu jauh lebih luas dan indah daripada istana yang dipenuhi dosa dan syirik.


Inilah jiwa pemuda yang sebenar. Pemuda yang tidak tunduk pada tekanan zaman, pemuda yang tidak goyah dengan godaan budaya songsang dan pemuda yang bersedia berkorban apa sahaja demi reda Allah SWT.

Apabila pemuda menjaga agama Allah, lihatlah bagaimana Allah memelihara dan menyelamat mereka dengan "tidur yang panjang" selama 309 tahun, lalu membangkitkan mereka semula sebagai simbol keagungan Islam yang tidak pernah padam.


Sidang Jumaat sekalian,

Hari ini kita hidup dalam zaman yang sangat berbeza. Telefon berada di tangan, Internet berada di hujung jari. Pelbagai maklumat boleh diperoleh dalam beberapa saat. Namun, dalam kemajuan teknologi ini terdapat satu cabaran besar, iaitu akhlak pemuda sedang diuji. Apa yang mereka tonton, apa yang mereka kongsi, apa yang mereka tulis, apa yang mereka komen dan siapa yang mereka jadikan idola. Semua itu sedikit demi sedikit membentuk jiwa dan peribadi seorang pemuda. Maka benarlah sabda Baginda Nabi SAW :


Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”


Berdasarkan hadis yang dibaca, Islam tidak datang hanya untuk membentuk manusia yang banyak ilmunya tetapi membentuk manusia yang baik akhlaknya.


Kita inginkan pemuda yang menghormati kedua ibu bapa, pemuda yang memuliakan guru-guru, pemuda yang sentiasa memelihara solat, pemuda yang menjaga amanah, pemuda yang tidak menghina orang lain, pemuda yang menjaga lidah dan tangan dan pemuda yang apabila menggunakan media sosial, dia bertanya: “Adakah Allah reda dengan apa yang aku tulis dan kongsikan?”


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita sering mendengar ungkapan :“pemuda ialah pemimpin masa depan” tetapi jangan kita lupa, pemuda bukan hanya pemimpin masa depan. Pemuda ialah sebahagian daripada kekuatan ummah pada hari ini. Jika pemuda hari ini kuat imannya, kukuh akhlaknya dan tinggi ilmunya, insya-Allah kuatlah ummah. Tetapi sekiranya pemuda hari ini rosak akhlaknya, hilang jati dirinya dan jauh daripada Allah SWT, maka kita sedang menyaksikan kelemahan ummah pada masa hadapan. Sebab itu tanggungjawab membentuk pemuda bukan tanggungjawab ibu bapa sahaja. Ia tanggungjawab semua ibu bapa, para guru, anggota masyarakat dan seluruh umat Islam.


Sidang Jumaat sekalian,

Kita jangan hanya marah apabila anak melakukan kesilapan, bimbinglah mereka. Kita jangan hanya melihat apabila mereka tersungkur, pimpinlah mereka. Kita jangan hanya bertanya, “Kenapa anak kita jadi begini?” Tetapi tanyalah kepada diri kita:

“Apakah contoh yang telah kita tunjukkan kepada mereka?”


Kerana anak-anak belajar bukan hanya melalui apa yang kita katakan, tetapi melalui apa yang mereka lihat daripada kehidupan kita.


Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bina satu generasi; Pemuda yang kukuh Imannya,

Pemuda yang tinggi ilmunya, Pemuda yang mulia akhlaknya,

Pemuda yang merdeka jiwanya, Pemuda yang kuat jati dirinya,

Bahkan hidupnya memberi manfaat kepada ummah.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW bahawa antara golongan yang mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya ialah:

“pemuda yang taat dan membesar dalam beribadah kepada Allah.”


Maka jangan kita pandang ringan usia muda. Masa muda bukan masa untuk mensia-siakan kehidupan. Masa muda ialah masa membina diri, membina keluarga, membina masyarakat dan akhirnya membina ummah.


Semoga Allah SWT menjadikan anak-anak dan generasi muda kita sebagai pemuda yang beriman, berilmu dan berakhlak, yang menjadi kebanggaan keluarga, kekuatan masyarakat dan maruah agama.


Maksudnya : “Hendaklah merasa takut orang-orang yang seandainya (mati) meninggalkan setelah mereka, keturunan yang lemah (yang) mereka khawatir terhadapnya. Maka, bertakwalah kepada Allah dan berbicaralah dengan tutur kata yang benar (dalam hal menjaga hak-hak keturunannya)”.




Rabu, 18 Mac 2020

Perintah Kawalan Pergerakan

1. Umum telah mengetahui Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020.
2. Lanjutan daripada pengisytiharan tersebut, langkah-langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan pada 17 Mac 2020 untuk memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar Perintah ini dapat berjalan dengan baik dan lancar. Untuk memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa, perkhidmatan-perkhidmatan tertentu seperti di Lampiran A (Essential) dan di Lampiran B (Non-Essential) dibenarkan beroperasi.
3. Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai jam 12.00 tengah malam, 18 Mac 2020. Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk mematuhi semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa.
4. Bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah diwartakan pada 18 Mac 2020. Pegawai Polis DiRaja Malaysia dan RELA telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
5. Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan ini, orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas. Selain itu, amalkan penjarakan sosial (social distancing) dari orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan COVID-19.
6. Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di talian 03-8888 2010.
Sekian.
MAJLIS KESELAMATAN NEGARA 
JABATAN PERDANA MENTERI
18 MAC 2020

Selasa, 10 Mac 2020

KHUTBAH : AYAH DAN IBU TIKET KE SYURGA


Khutbah disiarkan dalam Laman Web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
08 Februari 2019/03 Jamadil Akhir 1440

KHUTBAH : AYAH DAN IBU TIKET KE SYURGA
Oleh : Ustaz Hj Asri Bin Md Saman @ Osman

Maksudnya : “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak mengabdikan diri melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sam-pai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau ber-kata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff", dan jan-ganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.

SIDANG JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
Hari ini Jumaat penghulu segala hari. Khatib mengambil kesempatan mengajak sidang hadirin dan diri khatib agar bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa adalah satu pesanan yang wajib diperingatkan oleh khatib apabila berkhutbah dan kalimah taqwa ini telah disebut sebanyak 272 kali di dalam al-Quran.

SIDANG JUMAAT SEKALIAN,
Ayah dan ibu adalah insan yang istimewa dan mulia di sisi Allah SWT. Justeru Islam men-yanjung tinggi kedudukan ayah dan ibu sehingga Allah SWT memerintahkan kita supaya berbuat baik kepada kedua ayah dan ibu selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.
Berdasarkan ayat yang dibacakan tadi, Allah SWT dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ayah dan ibu. Allah SWT mengarahkan agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ayah dan ibu dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan bertutur dengan kedua ayah dan ibu menggunakan bahasa yang lembut dan sopan.
Justeru, Islam amat menitik-beratkan persoalan institusi kekeluargaan yang berasaskan kasih-sayang. Malah setiap anak dituntut agar berakhlak dengan akhlak yang mulia se-masa bergaul dan berbicara dengan kedua ayah dan ibu, lebih-lebih lagi setelah keduanya mencapai usia tua, dalam keadaan lemah dan kadang kala ada yang sampai peringkat nyanyuk.



SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Antara ayah dan ibu, siapa yang perlu diutamakan? Nabi SAW menyarankan kita supaya lebih mengutamakan ibu. Kenapa? Ini kerana pada setiap ibu yang melahirkan anak su-dah pasti ada tersimpan kesan parut melahirkan anak.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Pernah Muawiyah bin Haidah al-Qusairi bertanya kepada Rasulullah SAW siapakah yang wajib ditaati? Jawab Rasulullah SAW: “Ibumu.” Tiga kali Nabi ditanya dan itulah juga jawapan yang sama diberikan. Yang terakhir barulah baginda menyatakan: “Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang daripada kerabat.” (Riwayat Muslim).
Penderitaan seorang ibu mengandung dan melahirkan anak telah dihargai Allah SWT dan dirakamkan dalam firmanNya dalam surah Luqman, ayat 14 :

Maksudnya : “Dan Kami wasiatkan kepada manusia terhadap ibu bapanya. Ibunya men-gandungkan dengan (menderita) kelemahan di atas kelemahan dan menceraikannya daripada susuan dalam dua tahun (iaitu): Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu ba-pamu. Kepada-Ku tempat kembali.”
Justeru Allah SWT telah mewajibkan para anak agar berbakti kepada kedua ayah dan ibu tidak terhad semasa mereka masih bernyawa, bahkan setelah mereka bertemu Allah SWT. Perbanyakkan berdoa kepada mereka sekiranya mereka telah kembali menemui Allah Azzawajalla.

SAUDARAKU SIDANG JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,
Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud :
“Tidak terbalas jasa seorang anak terhadap orang tuanya melainkan apabila dia men-dapati orang tuanya menjadi hamba, lalu dibeli dan dimerdekakannya”.
(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, pengorbanan ayah dan ibu tidak dapat dinilai dan tidak mung-kin dapat dibalas jasa mereka berdua dengan apa yang ada didunia ini. Anak-anak hen-daklah mengenangkan jasa ayah dan ibu dan membalas budi mereka dengan sebaik-baiknya.
Dalam sebuah lagi hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA ba-hawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseo-rang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Sedih dan memeranjatkan, mutakhir ini terdapat segelintir daripada anak-anak yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat kepada ayah dan ibu, memaki ayah dan ibu di ha-dapan khalayak, memukul ayah dan ibu, malah sanggup meninggalkan ayah dan ibu di rumah orang tua dan membiarkan mereka sebatang kara serta langsung tidak datang menjenguk mereka.

Marilah kita menginsafi bahawa ayah dan ibu adalah anugerah dan rezeki Allah yang ti-dak terhingga kepada kita. Marilah kita bersyukur kerana dalam kalangan kita ada yang Allah takdirkan ia tidak mendapat sentuhan kasih sayang daripada ayah dan ibu. Tiba-tiba kita yang Allah kurniakan sentuhan kasih sayang ayah dan ibu sewaktu kecil, kita mensia-siakan mereka lebih-lebih lagi sewaktu mereka lemah dan tidak memiliki daya kekuatan serta amat mengharapkan bantuan anak-anak. Inilah yang dikatakan si tanggang moden dan watak ini samalah sebagaimana al-Qamah. Seorang lelaki soleh pada zaman Rasulul-lah SAW yang tidak diizinkan Allah melafazkan 2 kalimah syahadah ketika berada dalam keadaan nazak sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya.

Kes ini diadukan kepada Rasulullah SAW. Ringkas ceritanya, baginda meminta ibu pe-muda tersebut memaafkan dan meredhai terhadap anaknya, Al-Qamah. Selepas si ibu meredhai anaknya, Al-Qamah, barulah beliau dapat mengucapkan dua kalimah syaha-dah dan sejurus selepas itu, beliau meninggal dunia.

SIDANG JUMAAT RAHIMAKUMULLAH
Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabda Baginda yang bermaksud:


“Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, der-haka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengu-langinya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." (Riwayat Imam Al-Bukhari)

"Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan. Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman. Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan, Ku lihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran. Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan."
Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: “Kamu dan hartamu milik ayahmu."
(Riwayat Ibnu Majah)

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.