KHUTBAH : PEMUDA BERAKHLAK, UMMAH TERPELIHARA
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang penuh barakah ini, marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya takwa menjadi sebaik-baik bekalan bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjamin kebahagiaan hidup di dunia serta meraih kejayaan dan keselamatan abadi di akhirat kelak.
Sidang Jumaat sekalian,
Khatib ingin mengajak sidang hadirin, ayuh tinggalkanlah seketika segala urusan dunia. Hentikanlah perbualan yang tidak perlu. Simpanlah telefon bimbit di dalam poket. Berilah sepenuh perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Mungkin inilah nasihat yang selama ini kita perlukan. Mungkin inilah peringatan yang mampu mengubah kehidupan kita. Mungkin juga inilah khutbah Jumaat yang terakhir sebelum kita dijemput kembali bertemu Allah Azzawajalla.
Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari penghulu segala hari ini, khatib ingin mengajak sidang Jumaat marilah kita merenung satu persoalan besar. Cuba kita bertanya pada diri kita sendiri : Siapakah yang akan menentukan hala tuju ummah pada masa hadapan? Jawapannya ialah pemuda yang ada pada hari ini. Namun, persoalannya bukan sekadar: “Sejauh mana hebatnya ilmu mereka?” Tetapi yang lebih penting: “Sejauh mana kukuhnya iman dan akhlak mereka?”
Kerana ilmu tanpa akhlak boleh kehilangan arah, kepintaran tanpa iman boleh membawa kerosakan dan kemajuan tanpa nilai boleh menghancurkan peradaban.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Allah SWT memberikan perhatian yang istimewa kepada golongan pemuda khususnya pemuda yang beriman sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi, ayat 13:
Maksudnya: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Berdasarkan ayat yang dibacakan, marilah kita renungkan bagaimana Allah SWT memperkenalkan Ashabul Kahfi dengan satu identiti yang sangat mulia: pemuda-pemuda yang beriman.
Wahai anak muda dan sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Apabila berbicara tentang kehebatan pemuda, jangan sekali-kali kita lupa tentang kisah Ashabul Kahfi yang berlaku pada zaman pemerintahan Empayar Rom di bawah raja yang zalim yang bernama Raja Dikyanus. Mereka bukanlah sekumpulan ulama yang hebat bahkan mereka hanyalah sekelompok pemuda biasa yang dada mereka bergelora dengan api tauhid. Mereka tidak takut dipulaukan, tidak gentar diancam bunuh dan tidak sudi menggadaikan maruah iman dengan kesenangan dunia yang sementara.
Justeru Allah SWT merakamkan kehebatan semangat mereka dengan firman-Nya:
Maksudnya: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran".
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Pemuda Ashabul Kahfi memilih untuk menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim tanpa rasa gentar sedikit pun ketika seluruh masyarakat hanyut dalam arus maksiat.
Pemuda Ashabul Kahfi sanggup meninggalkan kemewahan, pangkat dan keselesaan hidup di istana demi mempertahankan kesucian iman. Pemuda Ashabul Kahfi memilih gua yang gelap, sempit dan berdebu sebagai tempat berlindung kerana bagi mereka, gua yang penuh iman itu jauh lebih luas dan indah daripada istana yang dipenuhi dosa dan syirik.
Inilah jiwa pemuda yang sebenar. Pemuda yang tidak tunduk pada tekanan zaman, pemuda yang tidak goyah dengan godaan budaya songsang dan pemuda yang bersedia berkorban apa sahaja demi reda Allah SWT.
Apabila pemuda menjaga agama Allah, lihatlah bagaimana Allah memelihara dan menyelamat mereka dengan "tidur yang panjang" selama 309 tahun, lalu membangkitkan mereka semula sebagai simbol keagungan Islam yang tidak pernah padam.
Sidang Jumaat sekalian,
Hari ini kita hidup dalam zaman yang sangat berbeza. Telefon berada di tangan, Internet berada di hujung jari. Pelbagai maklumat boleh diperoleh dalam beberapa saat. Namun, dalam kemajuan teknologi ini terdapat satu cabaran besar, iaitu akhlak pemuda sedang diuji. Apa yang mereka tonton, apa yang mereka kongsi, apa yang mereka tulis, apa yang mereka komen dan siapa yang mereka jadikan idola. Semua itu sedikit demi sedikit membentuk jiwa dan peribadi seorang pemuda. Maka benarlah sabda Baginda Nabi SAW :
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Berdasarkan hadis yang dibaca, Islam tidak datang hanya untuk membentuk manusia yang banyak ilmunya tetapi membentuk manusia yang baik akhlaknya.
Kita inginkan pemuda yang menghormati kedua ibu bapa, pemuda yang memuliakan guru-guru, pemuda yang sentiasa memelihara solat, pemuda yang menjaga amanah, pemuda yang tidak menghina orang lain, pemuda yang menjaga lidah dan tangan dan pemuda yang apabila menggunakan media sosial, dia bertanya: “Adakah Allah reda dengan apa yang aku tulis dan kongsikan?”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita sering mendengar ungkapan :“pemuda ialah pemimpin masa depan” tetapi jangan kita lupa, pemuda bukan hanya pemimpin masa depan. Pemuda ialah sebahagian daripada kekuatan ummah pada hari ini. Jika pemuda hari ini kuat imannya, kukuh akhlaknya dan tinggi ilmunya, insya-Allah kuatlah ummah. Tetapi sekiranya pemuda hari ini rosak akhlaknya, hilang jati dirinya dan jauh daripada Allah SWT, maka kita sedang menyaksikan kelemahan ummah pada masa hadapan. Sebab itu tanggungjawab membentuk pemuda bukan tanggungjawab ibu bapa sahaja. Ia tanggungjawab semua ibu bapa, para guru, anggota masyarakat dan seluruh umat Islam.
Sidang Jumaat sekalian,
Kita jangan hanya marah apabila anak melakukan kesilapan, bimbinglah mereka. Kita jangan hanya melihat apabila mereka tersungkur, pimpinlah mereka. Kita jangan hanya bertanya, “Kenapa anak kita jadi begini?” Tetapi tanyalah kepada diri kita:
“Apakah contoh yang telah kita tunjukkan kepada mereka?”
Kerana anak-anak belajar bukan hanya melalui apa yang kita katakan, tetapi melalui apa yang mereka lihat daripada kehidupan kita.
Muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bina satu generasi; Pemuda yang kukuh Imannya,
Pemuda yang tinggi ilmunya, Pemuda yang mulia akhlaknya,
Pemuda yang merdeka jiwanya, Pemuda yang kuat jati dirinya,
Bahkan hidupnya memberi manfaat kepada ummah.
Ingatlah pesan Rasulullah SAW bahawa antara golongan yang mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya ialah:
“pemuda yang taat dan membesar dalam beribadah kepada Allah.”
Maka jangan kita pandang ringan usia muda. Masa muda bukan masa untuk mensia-siakan kehidupan. Masa muda ialah masa membina diri, membina keluarga, membina masyarakat dan akhirnya membina ummah.
Semoga Allah SWT menjadikan anak-anak dan generasi muda kita sebagai pemuda yang beriman, berilmu dan berakhlak, yang menjadi kebanggaan keluarga, kekuatan masyarakat dan maruah agama.
Maksudnya : “Hendaklah merasa takut orang-orang yang seandainya (mati) meninggalkan setelah mereka, keturunan yang lemah (yang) mereka khawatir terhadapnya. Maka, bertakwalah kepada Allah dan berbicaralah dengan tutur kata yang benar (dalam hal menjaga hak-hak keturunannya)”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan