Sabtu, 14 Julai 2012

Solat Sempurna Boleh Disiplinkan Setiap Muslim

Solat mampu menjadi sebagai sumber kekuatan jiwa. Solat dapat menguatkan jiwa seseorang sehingga mampu meninggalkan perkara keji dan kemungkaran. 

Allah SWT berfirman: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45) Solat yang dilakukan secara sempurna dapat mendisiplinkan Muslim. Rukun tertib dalam solat dan kebanyakan ibadat lain adalah latihan sangat berjaya membentuk insan yang patuh dan berdisiplin tinggi. 
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103)
Antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. 



Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara. Jika mendahulukan amalan yang dikemudiankan, solat tidak sah.

Malah, tidak menjadi kesalahan jika kecenderungan seseorang kepada solat dijadikan faktor penting dalam memilih pekerja, pemimpin mahupun pasangan hidup. 

Solat mendidik umat Islam menepati masa kerana pensyariatan solat fardu lima waktu mendidik hamba-Nya mengurus masa dengan baik. 
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa, ayat 103)

Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat sebelum masuk waktu dengan sengaja adalah tidak sah dan mendapat dosa. Jika dilakukan selepas waktunya solat itu dianggap qada’. 

Ini secara tidak langsung melatih orang Islam menepati dan menghargai masa. Malah kegagalan menepati waktu solat memberikan kesan langsung kepada keprihatinan seseorang itu terhadap masa dalam kehidupannya yang lain. 

Seseorang yang culas solat Subuh juga menghadapi masalah ke tempat kerja atau sekolah. Kepekaan kepada waktu solat dapat diperkembangkan kepada seluruh kehidupan hingga menjadikan umat Islam golongan menghargai masa untuk cemerlang di dunia dan akhirat.

Solat didirikan dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan akan menjadi cahaya di dunia dan akhirat serta diselamatkan daripada azab api neraka. 

Rasulullah SAW pernah menceritakan, orang yang tekun mengerjakan solat mendapat cahaya atau petunjuk di dunia dan akhirat. Orang yang bersolat juga tidak akan terjerumus ke lembah kehinaan dan kebinasaan kerana solat menjadi panduan mereka menjalani hidup diredai Allah.

Abdullah bin Amru melaporkan kisah ini daripada Rasulullah yang sabdanya: “Sesiapa yang memeliharanya (solat) dia akan mendapat cahaya dan bukti serta pertolongan pada hari kiamat. 

Sesiapa yang tidak memelihara solat, dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk), tiada bukti dan tidak akan mendapat pertolongan. Malah, pada hari kiamat nanti, dia akan ditempatkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Ringkasnya, solat adalah kewajipan dan syiar yang paling utama seorang Muslim. Solat juga adalah garis pemisah antara iman dan kufur, antara orang beriman dan orang kafir.

Berdasarkan Tafsir al-Azhar, Imam Abu al-Aliyah berkata, solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini dalam solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Tiga keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah.

Jumaat, 13 Julai 2012

CIRI-CIRI ISTERI SOLEHAH


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!”- hadis riwayat Ibn Hibban

Kalimah soleh berasal daripada perkataan solah iaitu ‘kebaikan’. Dimaksudkan dengan soleh ialah lelaki dan wanita yang baik kepada dirinya, pada orang lain, serta baik pula amalannya sehingga dikatakan dia telah diperbaik oleh Allah.          
Sabda Rasulullah s.a.w bersabda “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah”- Riwayat Muslim.
Telah dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahukah kamu aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya.” – Hadis riwayat Ibnu Majah
Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.
Isteri yang solehah itu selalu memperlihatkan akan tanggungjawabnya sebagai isteri, ia hanya berbuat sesuai dengan ketentuan Allah. Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah:
Patuh dan taat kepada suami yang soleh
Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada ajaran ajaran dan perinta Allah dan Rasul-Nya serta setia kepada suami.
“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihra rahsia dan harta suaminya) dibelakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka...”
(An-Nisaa’:34)
Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara yang lemah lembut dan penuh sopan santun. Begitu pula tidak boleh memerintah kepada suami, kecuali diucapkan dengan cara yang baik sebagai suatu pertolongan. Walaubagaimanapun ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Sekiranya yang diperintahkan oleh suami itu boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhakai Allah SWT”- hadis riwayat Ahmad.
Kepatuhan isteri terhadap suami iaitu kepatuhan yang disuruh oleh agama, kerana suami di samping bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin, dia juga harus bertanggungjawab membimbing isterinya. Maka isteri harus setia kepada suami yang soleh dan bersedia mengikuti segala perintahnya.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak laki-laki ke atas wanita”- hadis riwayat Abu Daud.
Mengurus rumahtangga
Seorang isteri Muslimah diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa berada di rumah dan tidak dibolehkan pergi pergi kemana-mana dengan sesuka hati tanpa izin suami. Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri sahaja, tetapi mengerjakan tugas-tugas sebagai seorang isteri dan melaksanakan kewajipannya.
Hikmah daripada Allah SWT tersebut ialah supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik anak scara lebih sempurna ketika suami pergi mencari rezeki. Di samping itu isteri dapat melakukan pekerjaan seperti menghias rumah, menyediakan makanan suami serta mencuci pakaian suami. Walaupun nampaknya pekerjaan itu mudah, tetapi ianya sangat bermanfaat untuk menjamin keluarga tetap harmoni. Hanya kaum wanita yang dapat mengerjakannya dengan baik, kerana wanita mempunyai sifat sabar yang tinggi berbanding lelaki. Jika pekerjaan ini diserahkan kepada suami, mungkin dia hanya sanggup mengerjakan untuk beberapa hari sahaja.
Rasulullah s.a.w bersabda : “Tiap-tiap wanita atau isteri adalah pengurus terhadap rumah suaminya, dan dia akan ditanya (oleh Allah di hari kemudian) dan perkara urusannya itu.” – hadis riwayat Bukhari.
Berhias untuk suami
Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita tidak faham akan kewajipannya, dia akan berhias diri ketika akan keluar dari rumah. Tetapi ketika berada di dalam rumah dia berada di dalam keadaan tidak bersih, kadangkala rambutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami.
Tujuan berhias ketika di rumah, iaitu agar suami merasa terhibur. Jika suami pulang dari mencari rezeki disambut oleh isteri dengan wajah yang berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ianya akan menjadi penawar bagi suami sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Dari Jabir r.a ia berkata: “Kami pernah bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Bersabarlah, masuklah ketika waktu malam iaitu pada waktu Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia berhias kerana telah lama ditinggalkan suaminya.”- hadis riwayat Muttafaqun alaihi.
Berhias bukan sahaja ketika menyambut suami pulang dari suatu tempat atau dari tempat kerja, tetapi hendaklah dilakukan ketika berada di dalam rumah. Wanita Islam hanya dibolehkan berhias untuk suaminya dan untuk dirinya sendiri.
Melayani suami
Hubungan seks merupakan penawar untuk menambahkan lagi kebahagiaan rumahtangga. Ia dipandang sebagai punca keharmonian sesebuah rumah tangga. Oleh sebab itu, isteri hendaklah memberikan layanan  yang baik kepada suaminya. Isteri tidak boleh menolak jika suami menginginkannya. Seorang isteri apabila menolak permintaan suaminya, dia akan dikutuk oleh malaikat sehingga suaminya redha kepadanya.
 Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:”Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.” –hadis riwayat Muslim.
Mungkin di saat-saat tertentu isteri dibolehkan menolaknya seperti dalam keadaan sakit, atau dalam keadaan dilarang untuk melakukannya seperti sedang haid dan sebagainya.
Ciri-ciri  di atas merupakan sebahagian kecil daripada ciri-ciri isteri solehah. Walaubagaimanapun, jika ciri-ciri tersebut dapat dillakukan secara konsisten dan baik, Insya-Allah ianya mampu mewujudkan rumahtangga idaman.

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.