Jumaat, 6 Julai 2012

KEJIRANAN DALAM ISLAM



Realiti dunia hari ini, kita tidak boleh lari dari berinteraksi sesama manusia baik rakan sekerja, teman serumah, masyarakat sekampung lebih-lebih lagi jiran tetangga. Imam Nawawi telah mendefinisikan jiran sebagai mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dalam lingkungan jarak 40 buah rumah, samada dari kiri atau sebelah kanan, depan mahupun dari sebelah belakang.
Islam sebagai agama yang syumul amat memandang berat berkaitan jiran sehingga jiran itu boleh dianggap sebagai orang yang boleh mewarisi harta. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahawa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk mewarisi (mendapatkan harta pusaka)”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bahkan Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada sesiapa yang berbuat  baik dengan jirannya sehingga boleh dilabelkan sebagai muslim yang sejati. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berbuat baiklah kepada jiran yang berjiran denganmu, nescaya engkau menjadi seorang muslim (yang sejati).”

Seterusnya dalam menghayati hak-hak jiran, Islam membahagikan jiran itu kepada tiga bahagian. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Jiran itu ada tiga macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik atau kafir."

Selain itu Nabi SAW pernah berpesan kepada Abu Zar yang bermaksud: “Wahai Abu Zar! Jika engkau memasak makanan yang berkuah, perbanyakkan kuahnya dan jangan lupa bahagian jiran engkau daripadanya.”

Perlu juga disedari bahawa jiran yang baik ialah mereka yang mengambil berat tentang jirannya, ketika sakit, kenyang atau ketika laparnya, gembira atau sedihnya. Rasulullah SAW telah memberi peringatan dengan sabdanya yang bermaksud :
"Bukanlah dari kalangan orang yang beriman, apabila ia dalam keadaan kenyang, sedangkan jirannya dalam kelaparan." 
(Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa "kewajipan" kita memberi hak yang sewajarnya kepada jiran lebih-lebih lagi ketika mereka ditimpa musibah seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Jiran yang baik akan turut merasa sedih dan berduka ketika jiran ditimpa musibah serta segera membantunya sekadar yang termampu. Seterusnya turut merasa gembira apabila jiran mendapat khabar gembira. Inilah keindahan ajaran Islam yang mengajar umatnya sentiasa beradab dan berakhlak terutamanya sesama jiran tetangga.

Al-Ghazali dalam kitab “Bimbingan Mukmin” telah menyenaraikan hak jiran, antaranya :
§  Hendaklah seseorang itu memulakan memberi salam kepada jirannya.
§  Menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya.
§  Jangan terlalu banyak bertanya tentang hal ehwalnya.
§  Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya.
§  Hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang berlaku pada dirinya.
§  Sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan tutur kata yang baik
§  Bersedia menolong jiran yang ditimpa bencana.
§  Tidak menyakiti hati jiran seperti membuang sampah di pinggir rumahnya
§  Tidak terpengaruh dengan kata-kata untuk memburuk-burukkan jiran.

Namun fenomena masyarakat hari ini khususnya di bandar-bandar atau taman-taman perumahan banyak menghadapi krisis kejiranan. Rasulullah SAW telah  memberi amaran keras dan balasan seksa yang memedihkan jika sesuatu hubungan kejiranan bertukar menjadi hubungan yang buruk. Baginda bersumpah sebanyak tiga kali berturut-turut dengan bersabda:
Maksudnya: “Demi Allah tidak beriman… Demi Allah tidak beriman… Demi Allah tidak beriman…”.Mendengarkan demikian, para sahabat gempar lalu mereka bertanya: “Siapakah yang tidak beriman itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab:
Maksudnya: “Sesiapa yang jirannya tidak terselamat daripada kejahatannya.”

Seterusnya, jika seseorang jiran menyakiti dan berbalah dengan jirannya, maka itulah tanda yang menunjukkan kelemahan imannya dan penyelewengan daripada Islam. Sabda Rasulullah saw:
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.”

Islam sebagai agama fitrah mencela individu yang menyakiti hati jiran walaupun seseorang itu dari golongan yang kuat beribadat dan banyak melakukan amal kebajikan. Rasulullah SAW telah diberitahu tentang adanya perempuan yang berpuasa di siang hari dan bersembahyang di tengah malam, tetapi ia sering menyakiti hati jirannya. Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya dia akan masuk neraka."


Justeru, dalam menangani masalah kejiranan yang melanda masyarakat kini , kita perlu berusaha mengatur strategi yang baik, demi memelihara keharmonian hidup berjiran, dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Program untuk meningkatkan semangat kejiranan perlulah diadakan sekerap mungkin, agar hubungan sesama jiran terus harmoni. Banyakkanlah aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, jamuan kekeluargaan, program lawatan, aktiviti sukan dan pertandingan antara kampung, taman atau blok dan seumpamanya. Badan amal seperti rukun tetangga, tabung khairat kematian, tabung derma kilat dan sebagainya perlu diwujudkan bagi memulihkan kembali semangat kejiranan tersebut.

Aktiviti seperti ini memberi ruang meningkatkan semangat setia kawan dan persaudaraan. Aktiviti jenayah dapat dikurangkan, masalah keruntuhan moral remaja dapat dibendung dan berbagai manfaat lagi bakal diperolehi hasil dari aktiviti yang dijalankan, dengan itu kehidupan kita akan lebih tenang dan selesa, di samping mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.

bersamalah kita hayatilah firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 36 yang bermaksud :
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat mahupun yang jauh, rakan sejawat, orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membanggakan diri." 

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.