Realiti dunia hari
ini, kita tidak boleh lari dari
berinteraksi sesama manusia baik rakan sekerja, teman serumah, masyarakat
sekampung lebih-lebih lagi jiran tetangga. Imam Nawawi telah mendefinisikan jiran sebagai mereka
yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dalam lingkungan jarak 40 buah rumah,
samada dari kiri atau sebelah kanan, depan mahupun dari sebelah belakang.
Islam sebagai agama yang syumul amat memandang berat berkaitan
jiran sehingga jiran itu boleh dianggap sebagai orang yang boleh mewarisi
harta. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sentiasalah
Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahawa
sesungguhnya dia (jiran) layak untuk mewarisi (mendapatkan harta pusaka)”
(Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bahkan Islam meletakkan nilai yang tinggi
kepada sesiapa yang berbuat baik dengan
jirannya sehingga boleh dilabelkan sebagai muslim yang sejati. Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud:
“Berbuat baiklah kepada jiran yang berjiran
denganmu, nescaya engkau menjadi seorang muslim (yang sejati).”
Seterusnya dalam
menghayati hak-hak jiran, Islam membahagikan jiran itu kepada tiga bahagian.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Jiran itu ada tiga
macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran
yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim
yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun
jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran
dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran
yang musyrik atau kafir."
Selain itu Nabi
SAW pernah berpesan kepada Abu Zar yang bermaksud: “Wahai Abu Zar! Jika
engkau memasak makanan yang berkuah, perbanyakkan kuahnya dan jangan lupa
bahagian jiran engkau daripadanya.”
Perlu
juga disedari bahawa jiran yang baik ialah mereka yang mengambil berat tentang
jirannya, ketika sakit, kenyang atau ketika laparnya, gembira atau sedihnya. Rasulullah SAW telah memberi peringatan dengan sabdanya yang
bermaksud :
"Bukanlah dari kalangan
orang yang beriman, apabila ia dalam keadaan kenyang, sedangkan jirannya dalam
kelaparan."
(Hadis riwayat Bukhari)
Berdasarkan hadis
di atas, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa "kewajipan" kita
memberi hak yang sewajarnya kepada jiran lebih-lebih lagi ketika mereka ditimpa
musibah seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Jiran yang baik akan turut
merasa sedih dan berduka ketika jiran ditimpa musibah serta segera membantunya
sekadar yang termampu. Seterusnya turut merasa gembira apabila jiran mendapat
khabar gembira. Inilah keindahan ajaran Islam yang mengajar umatnya sentiasa
beradab dan berakhlak terutamanya sesama jiran tetangga.
Al-Ghazali dalam kitab “Bimbingan Mukmin” telah
menyenaraikan hak jiran, antaranya :
§
Hendaklah seseorang itu memulakan memberi
salam kepada jirannya.
§
Menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan
takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya.
§
Jangan terlalu banyak bertanya tentang hal
ehwalnya.
§
Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya.
§
Hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang
berlaku pada dirinya.
§
Sentiasa bersikap lemah lembut terhadap
anak-anaknya dengan tutur kata yang baik
§
Bersedia menolong jiran yang ditimpa bencana.
§
Tidak menyakiti hati jiran seperti membuang
sampah di pinggir rumahnya
§
Tidak terpengaruh dengan kata-kata untuk
memburuk-burukkan jiran.
Namun
fenomena masyarakat hari ini khususnya di bandar-bandar atau taman-taman
perumahan banyak menghadapi krisis kejiranan. Rasulullah SAW telah memberi amaran keras dan balasan
seksa yang memedihkan jika sesuatu hubungan kejiranan bertukar menjadi hubungan
yang buruk. Baginda bersumpah sebanyak tiga kali berturut-turut dengan
bersabda:
Maksudnya: “Demi Allah tidak beriman… Demi Allah tidak
beriman… Demi Allah tidak beriman…”.Mendengarkan demikian, para sahabat
gempar lalu mereka bertanya: “Siapakah yang tidak beriman itu, wahai
Rasulullah?” Rasulullah menjawab:
Maksudnya: “Sesiapa yang jirannya tidak terselamat
daripada kejahatannya.”
Seterusnya, jika seseorang jiran menyakiti dan berbalah
dengan jirannya, maka itulah tanda yang menunjukkan kelemahan imannya dan
penyelewengan daripada Islam. Sabda Rasulullah saw:
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari
akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.”
Islam sebagai agama fitrah mencela individu yang menyakiti hati jiran walaupun seseorang itu dari golongan yang kuat beribadat dan banyak melakukan amal kebajikan. Rasulullah SAW telah diberitahu tentang adanya perempuan yang berpuasa di siang hari dan bersembahyang di tengah malam, tetapi ia sering menyakiti hati jirannya. Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya
dia akan masuk neraka."
Justeru, dalam menangani masalah kejiranan yang melanda
masyarakat kini , kita perlu berusaha mengatur strategi yang baik, demi
memelihara keharmonian hidup berjiran, dengan kembali kepada ajaran Islam yang
sebenar. Program untuk meningkatkan semangat kejiranan perlulah diadakan
sekerap mungkin, agar hubungan sesama jiran terus harmoni. Banyakkanlah
aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, jamuan kekeluargaan, program
lawatan, aktiviti sukan dan pertandingan antara kampung, taman atau blok dan
seumpamanya. Badan amal seperti rukun tetangga, tabung khairat kematian, tabung
derma kilat dan sebagainya perlu diwujudkan bagi memulihkan kembali semangat
kejiranan tersebut.
Aktiviti seperti ini memberi ruang meningkatkan semangat setia kawan dan persaudaraan. Aktiviti jenayah dapat dikurangkan, masalah keruntuhan moral remaja dapat dibendung dan berbagai manfaat lagi bakal diperolehi hasil dari aktiviti yang dijalankan, dengan itu kehidupan kita akan lebih tenang dan selesa, di samping mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.
bersamalah kita hayatilah firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 36 yang bermaksud :
"Dan hendaklah kamu
beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa
jua, dan hendaklah kamu berbuat baik
kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran
tetangga yang dekat mahupun yang jauh, rakan sejawat, orang-orang musafir yang
terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membanggakan
diri."
TERIMA KASIH UST. NI ASGHMNT OUM LAST SEM UTK SUBJEK ADAB
BalasPadam