Jumaat, 8 Jun 2012

BERBAKTI KEPADA KEDUA IBUBAPA


Melakukan kebaikan kepada ibubapa merupakan suatu perintah dari Allah SWT kepada setiap muslimin dan muslimat. Sebagai seorang anak,kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa kerana ianya merupakan suatu ibadah dalam Islam. Seperti mana yang kita maklum,bahawa konsep ibadah dalam islam adalah syumul iaitu menyeluruh,maka berbuat baik kepada ibu bapa adalah antara ibadah yang dituntut dalam Islam sekaligus kita akan dapat menjadi penyejuk mata bagi ibu bapa kita lebih-lebih lagi apabila mereka melangkah ke usia emas. Di samping itu,kita hendaklah menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh ibu bapa sedari kita kecil lagi sehinggalah kita berjaya menjadi kita yang sekarang.

Kita sebagai anak perlulah menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah menderhaka terhadap ibu bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah SWT.


Dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah SAW, “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?” Rasulullah SAW menjawab : “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Apa yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam al-Quran, (Surah Luqman, ayat 14)
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu.”
Seterusnya dalam surah al-Ahqaf ayat 15 bermaksud :
Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia Telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah Aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya Aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang berserah diri".

Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah tentang perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malahan dalam dirinya sendiri ada hak kedua ibubapanya. Jelas ibubapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada pada kita. Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita mengecewakan hatinya. Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda: “Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika semasa pagi lagi telah menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.”
Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala tersebut. Inilah sahaja bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya.
Akhirnya, ingatlah pesanan Nabi saw: “Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibubapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibubapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.” “Ingatlah anak yang berbuat baik kepada ibubapa tidak akan masuk neraka. Dan anak yang derhaka kepada mereka tidak akan masuk syurga.”
Justeru marilah sama-sama kita menambahkan lagi rasa kecintaan kita kepada kedua ibu bapa kita untuk menjadi penyejuk mata mereka jika mereka masih hidup,sesungguhnya apa yang kita lakukan ini akan dilakukan oleh anak-anak kita kelak apabila kita telah mempunyai anak. Jika baik layanan kita pada ibu bapa kita,maka baiklah layanan yang akan kita terima dari anak-anak kita nanti dan sekaligus amalan yang kita lakukan ini akan menjadi ibadat untuk kita dan saham untuk ke syurga di akhirat kelak.
 “Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya”
[Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.