Islam amat mengutamakan masa. Buktinya ALLAH SWT telah bersumpah dengan masa melalui surah al-Ashr ayat 1 hingga 3 bermaksud "Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan haq (kebenaran) dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Berdasarkan ayat di atas, ALLAH SWT mahukan kita hambanya supaya memberi perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan. Ayat di atas merupakan ayat di mana kita diingatkan dengan begitu serius sekali tentang kerugian yang dilalui dalam hidup ini tanpa iman dan amal soleh. Serta tanpa tegur menegur antara satu sama lain, teguran yang berdasarkan kebenaran dan kesabaran. Ayat ini adalah ayat yang menjadi peringatan sepanjang zaman sama seperti ayat-ayat ALLAH SWT yang lain yang bersifat universal.
Antara kerugian manusia ialah kealpaan dalam melaksanakan perintah ALLAH SWT dan meninggalkan larangannya. Sebagai contoh, alangkah ruginya kita sekiranya apabila azan maghrib dilaungkan di menara masjid atau surau , kita masih lagi leka menghabiskan masa mengejar sebutir bola di tengah padang. Sedangkan azan itu bertujuan mengingatkan kita agar segera memanfaatkan masa kita untuk suatu agenda yang teramat besar dalam hidup seorang Muslim iaitu mendekatkan dan memperhambakan diri kepada Khaliq atau pencipta kita. Di sinilah terletaknya kerugian besar manusia dalam meniti kehidupan dunia fana ini. Antara sebab kenapa manusia cenderung menanggung kerugian yang telah diingatkan oleh ayat ALLAH ini ialah kerana tertipu dengan dunia yang sementara dan gagal membezakan mana yang perlu diberikan keutamaan dan sebaliknya.
Marilah kita menghayati sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :
"Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa."
(Hadis Riwayat Tirmidzi).
Justeru, untuk mengelakkan kecenderungan kepada kerugian besar ini, ALLAH telah menggariskan empat syarat dalam ayat 1 hingga 3 Surah al-Ashr untuk diikuti oleh manusia dalam semua urusan kehidupan mereka iaitu :
• beriman
• amal soleh
• berpesan dengan kebenaran
• berpesan dengan kesabaran
Beriman bermakna menerima segala perintah dengan redha tanpa sebarang persoalan atau bantahan termasuk perkara-perkara ghaib. Beriman juga bermakna meninggal serta menjaga larangan dengan teliti dan berhati hati. Kalau perkara yang dilarang dengan jelas maka ia akan tinggalkannya walaupun ada suara-suara menyifatkannya sebagai fanatik, taksub, jumud dan sebagainya. Sebagai Muslim kita tidak boleh mempertikai larangan ALLAH bahkan wajib dijauhi.
Amal soleh pula bermaksud melakukan amal-amal yang disuruh agama dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Termasuk dalam amal yang disuruh agama ini ialah tugas menyeru amal maaruf dan mencegah kemungkaran. satu peringatan penting buat setiap manusia agar memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.
Menurut Ibnu Jauzi: “Terkadang manusia berada dalam keadaan sihat, namun ia tidak memiliki waktu lapang disebabkan kesibukan mengerjakan urusan dunianya. Dan terkadang pula seseorang itu mempunyai masa lapang, tetapi ia dalam keadaan tidak sihat. Apabila terkumpul pada seseorang waktu lapang dan nikmat sihat, maka sungguh akan datang rasa malas dalam melaksanakan ketaatan.” Itulah manusia yang telah tertipu (terpedaya). Inilah nasihat yang amat baik buat semua dan tetap relevan sepanjang zaman kerana kita sangat mudah terpedaya dengan masa sihat dan waktu lapang. Sepatutnya masa itu kita gunakan dengan urusan dunia dan akhirat.
Selain itu, baginda Nabi SAW mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada dan bersegera dalam melaksanakan amal kebaikan, antaranya sabda baginda yang bermaksud :
"Laksanakan segera amal soleh kerana tujuh hal: sebelum datang kemiskinan yang membuatmu lupa, kekayaan yang menyesatkan, penyakit yang membinasakan, ketuaan yang melumpuhkan, kematian yang mendadak, dajal sebagai makhluk terjahat yang senantiasa mengintip atau datangnya kiamat yang sangat pahit dan amat mengerikan." (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Islam adalah agama nasihat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.”
(Hadis riwayat Muslim).
Ayat di atas juga meletakkan syarat agar kita bukan sahaja beriman dan beramal soleh secara individu tetapi perlu juga keluar kepada masyarakat untuk mengajak mereka kepada kebenaran. Banyak hadis yang menjelaskan betapa pentingnya tugas menyampaikan kebenaran secara istiqamah. Kita bukan sahaja disuruh melakukan segala suruhan dan meninggalkan larangan agama secara individu tetapi turut dituntut untuk menyampaikan suruhan dan larangan ini secara istiqamah kepada masyarakat.
Demikianlah secara umumnya pesanan ALLAH yang dimulakan dengan sumpah waktu ini kepada kita semua. Sekaligus mengingatkan tugas politik kita sesuai dengan konsep kesyumulan Islam sebagai cara hidup. Kita tidak boleh lari dari tugas politik ini kerana di sana terkandung keperluan untuk menegakkan kebenaran serta kebaikan yang disuruh agama dan mencegah kemungkaran serta kemaksiatan kepada ALLAH.
Maka, barang siapa yang mengikuti panduan ini, insya Allah akan terlepaslah dari sumpah ALLAH dan terlepaslah dari kerugian yang besar. Barangsiapa yang berada di luar panduan ini maka rugilah mereka.
Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya beberapa soalan antaranya, " Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Justeru marilah dalam saki baki usia kita yang masih ada, kita merancang masa kita dengan amalan yang berfaedah sebagai bekalan untuk kita bawa mengadap Allah Azzawajalla suatu hari nanti. Janganlah apabila kita berada di alam akhirat baru kita sedar kesilapan yang kita lakukan selama hidup di dunia ini. Firman Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 103 & 104 yang bermaksud :
"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Mahukah, kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-ruginya amal-amal perbuatannya?' (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan'."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan