Isnin, 24 September 2018

Didik Anak Istiqamah Solat


Anak merupakan suatu anugerah Allah SWT yang amat berharga buat pasangan suami isteri. Sesebuah mahligai perkahwinan yang dibina akan bertambah ceria dengan kehadiran anak. Namun, ada pasangan yang diuji Allah SWT dengan tidak dianugerahkan anak. Mungkin ada hikmah yang hanya Allah SWT Maha Mengetahuinya. Bagi pasangan yang dikurniakan Allah SWT dengan anak maka pasangan tersebut merupakan pasangan yang bertuah dan berbahagia sekiranya anak yang dikurniakan itu mampu membantu mereka untuk masuk ke syurga Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis baginda Nabi SAW yang bermaksud :
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara: iaitu sedekah jariah, imu yang bermanfaat, anak yang soleh yang mendoakan untuknya”. (Riwayat Imam Muslim)
Justeru perkara utama yang perlu ditekankan oleh para ibu bapa ialah memikir dan merancang bagaimanakah melahirkan anak dan zuriat serta mendidik mereka menjadi zuriat yang soleh. Salah satu faktor ialah para ibu bapa wajib memastikan anak-anak supaya sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain yang difardhukan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak-anak, sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud :
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun”.
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Amru RA)
Persoalannya kenapakah Islam mementingkan solat ? Sebagai jawapan, solat adalah tiang agama dan menunaikan solat bererti menegakkan agama, meninggalkannya bererti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak. Melalui amalan solat, anak-anak akan terdidik dengan perkara mengutamakan masa sebagaimana arahan agar kita menunaikan solat di awal waktu. Melalui amalan solat, anak-anak dilatih sentiasa menjaga kebersihan diri sebagaimana wajibnya mereka mengambil wudhuk sebelum melaksanakan solat. Melalui amalan solat, anak akan dilatih agar sentiasa mematuhi arahan, sebagaimana makmum mematuhi setiap arahan yang dilafazkan oleh imam dalam solat berjemaah.
Selain itu, melalui solat kita dapat mendidik anak-anak agar sentiasa mengingati Allah SWT dan merasai bahawa dirinya sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Justeru solat menjadi  benteng kukuh pada anak-anak daripada keruntuhan ahklak dan gejala sosial.
Allah SWT telah menegaskan bahawa solat mampu mencegah manusia dari melakukan dosa dan kemungkaran sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Quran surah al-ankabut ayat 45 yang bermaksud :
Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.

Dalam dunia globalisasi kini, adalah mustahil bagi ibu bapa mengawal dan mengekori anak-anak ke mana saja mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik mereka dengan solat sehingga solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan menjadi benteng pertahanan mereka dari melakukan kejahatan dan kemaksiatan.
Sejarah telah menggambarkan bahawa Nabi Ibrahim AS adalah salah seorang nabi yang sangat mementingkan solat terutama kepada zuriat. Baginda Nabi Ibrahim AS telah berdoa kepada Allah SWT agar baginda dan anak cucunya sentiasa komited dan istiqamah dalam mengerjakan solat. Permohonan itu telah dirakamkan di dalam firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud :
 “Ya Tuhan, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang mendirikan solat. Ya Tuhan Kami, Perkenankanlah doaku”.
Ayuh para ibu bapa sekalian, sedarilah akan tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah SWT. Apakah zuriat yang bakal kita tinggalkan nanti, adalah zuriat yang dapat istiqamah menunaikan solat. Atau adakah zuriat yang akan kita tinggalkan nanti bakal adalah zuriat yang mengabaikan solat dan perintah-perintah Allah SWT yang lain ? Berusahalah selagi kita diberi kesempatan oleh Allah SWT dengan mengajak anak-anak dan ahli keluarga kita menunaikan amanah solat ini dengan sebaik mungkin. Ibu bapa perlu sedar, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya dengan corak yang berpaksikan ajaran agama sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
‏ ‏
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan  fitrah, kedua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.."
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah)

Akhirnya, setiap ibu bapa perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing agar zuriat kita nanti sentiasa hidup dalam keadaan tunduk dan patuh kepada pencipta-Nya serta tidak melanggar syariat-syariat yang ditetapkan. Marilah kita mulakan pada ahli kita agar keluarga muslim dapat diwujudkan seterusnya lahirlah masyarakat muslim dan seterusnya terbinanya negara yang mendapat keredhaan dan perlindungan Allah SWT.



Ustaz Asri bin Md Saman @ Osman

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.