Taat perintah agama, setia kepada suami jamin kerukunan mahligai dibina
Agama adalah faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai umat manusia zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri.
Namun, ramai yang masih tidak menyedari faktor pemilihan isteri berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia serta akhirat.
Rasulullah SAW bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.” (Riwayat Ibn Hibban)
Sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)
Menjaga harta suami, kehormatan diri
Isteri yang solehah jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taat dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya serta memelihara kehormatan dirinya.
Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah taat kepada ajaran ajaran dan perintah Allah, rasul serta setia kepada suami.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)
Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara lemah lembut dan penuh sopan santun. Walau bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara, isteri dibenarkan membantah jika perintah suami boleh membawa dosa.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhaka Allah SWT.” (Riwayat Ahmad)
Kepatuhan isteri terhadap suami iaitu kepatuhan yang disuruh oleh agama kerana di samping bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin, suami juga bertanggungjawab membimbing isteri. Maka, isteri harus setia kepada suami yang soleh dan bersedia mengikuti segala perintahnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas wanita.” (Riwayat Abu Daud)
Laksanakan kewajipan dengan baik
Seterusnya, seorang isteri Muslimah diperintahkan oleh Allah SWT supaya sentiasa berada di rumah dan tidak dibolehkan pergi ke mana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri, tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri dan melaksanakan kewajipannya.
Hikmah arahan Allah SWT ialah supaya isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Walaupun nampaknya pekerjaan itu mudah, tetapi ia sangat bermanfaat untuk menjamin keluarga tetap harmoni.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiap-tiap wanita atau isteri adalah pengurus terhadap rumah suaminya, dan dia akan ditanya (oleh Allah di hari kemudian) dan perkara urusannya itu.” (Riwayat Bukhari)
Sifat tabii wanita ialah suka menghias diri. Namun, ada yang tidak faham dan akan berhias diri ketika hendak keluar rumah. Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami supaya suami berasa terhibur.
Jika suami pulang disambut oleh isteri dengan wajah berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia akan menjadi penawar bagi suami hingga keletihan mencari rezeki hilang dan bertambah kasih sayangnya terhadap isteri.
Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Jabir, katanya: Kami pernah bersama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW bersabda: Bersabarlah, masuklah ketika waktu malam iaitu pada waktu Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia berhias kerana telah lama ditinggalkan suaminya.” (Riwayat Muttafaqun alaihi)
Berhias untuk suami
Berhias bukan saja ketika menyambut suami pulang, tetapi hendaklah dilakukan ketika berada di dalam rumah. Wanita Islam hanya dibolehkan berhias untuk suaminya dan untuk dirinya sendiri. Ia dipandang sebagai punca keharmonian sesebuah rumah tangga.
Bagi memastikan kerukunan rumah tangga, isteri yang solehah perlu menunaikan tanggungjawab dan menghormati suami. Pada masa sama, suami hendaklah membimbing isteri supaya keluarga dapat dipimpin ke arah mencapai keredaan Allah SWT.
Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian 5 September 2013