Khamis, 15 Oktober 2015
Selasa, 5 Mei 2015
SEMPENA HARI GURU 2015
INSAN GURU MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Oleh
: Asri bin Md Saman @ Osman
Profesion
keguruan merupakan profesion tertua di dunia. Islam meletakkan profesion
keguruan sebagai suatu profesion yang sangat mulia. Tingginya
penghargaan itu sehingga menempatkan guru setingkat di bawah kedudukan nabi dan
rasul. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis sahih yang bermaksud : “Sesungguhnya
ulama adalah pewaris para Nabi” [ Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam
Ahmad ]
Mengapa demikian? Hal ini kerana guru selalunya dikaitkan
dengan ilmu pengetahuan di mana Islam
sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Alaq ayat
1 hingga 5 yang merupakan Surah Pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW
berkaitan dengan ilmu pengetahuan.
Selain itu, Rasulullah bersabda “Ada tiga
golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang
meremehkannya adalah munafik; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan
pemimpin yang adil.” - Riwayat At-Thabrani.
Kini dalam era yang serba moden dan canggih, kerjaya guru
juga semakin mencabar. Seringkali dilaporkan di media cetak mahupun elektronik
mengenai adanya segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas
mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika sebagai seorang
pendidik sehingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian seorang murid
yang berpunca daripada tindakan guru.
Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik
manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa
dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan
Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak
bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan
perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang
zaman.
Selain itu, para guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya
dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya segala ajarannya akan memberi kesan kepada
semua murid, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan,
bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat
iaitu yang pertama ialah ilmu pengetahuan. Atau dengan kata lain pengetahuan
seseorang mengenai sesuatu konsep. Guru haruslah
memberi penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.Yang kedua ialah perubahan
yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi. Ketiga guru yang cemerlang akan melahirkan
anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan
seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zaman baginda sahabat-sahabat
yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin , Abdul Rahman bin A’uf, Abu Hurairah,
Saad bin Abi Waqas dan sebagainya.
Hari ini, para guru mestilah menerima
fenomena bahawa terdapat segelintir ibu bapa yang hanya mementingkan
kecemerlangan akademik anak-anak mereka sahaja tetapi beranggapan bahawa pembentukan
sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak-anak mereka
tidak boleh ditegur, walaupun ternyata mereka melakukan kesalahan. Kesan daripada itu,
murid lebih berasa hebat dan berani untuk melawan guru. Tidak peliklah jika
banyak kes yang berlaku pada hari ini yang melibatkan kes disiplin pelajar sehingga
berlakunya pergaduhan dengan guru. Sebab itulah tiada keberkatan ilmu kepada
pelajar ekoran tidak menghormati guru seperti yang disarankan oleh Rasulullah menerusi
sabda baginda yang bermaksud :
“Belajarlah ilmu,
belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar
ilmu dari mereka.” – Riwayat At-Thabrani.
Semasa proses mendisiplin pelajar guru menghadapi dilema apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah dan tidak mengaku kesilapan yang dilakukan. Dalam hal ini sepatutnya mereka terlebih dahulu berbincang dengan guru bukan semata-mata mendengar daripada anak-anak mereka sahaja di mana sehingga sanggup menyerang pihak sekolah dan membuat pendedahan kepada pihak media. Ini merupakan salah satu bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh guru pada masa kini dalam mengambil sesuatu tindakan terhadap pelajar.
Jika dahulu gurulah yang berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar di mana hanya guru sahaja yang menguasai dan mengendalikan kelas. Namun dalam era baru ini, guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu diransang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Cara mengajar juga telah berubah di mana dahulu ilmu disampaikan secara lisan dan bertulis. Namun kini teknologi komputer telah memberikan sesi pembelajaran berjalan secara interaktif dan lebih menarik lagi. Oleh yang demikian guru perlu menguasai kemahiran ICT dengan sebaiknya oleh kerana kebanyakan pelajar pada hari lebih terkehadapan dari guru.
Guru juga berperanan dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah
hasil sumbangan profesion keguruan. Hal ini
kerana tenaga kerja yang ada pada hari ini di semua sektor bermula dari sekolah
yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Memang sesuailah gelaran
“jurutera yang membentuk manusia” diberikan kepada guru. Guru juga seharusnya
menjadi model manusia yang berkelakuan baik. Para guru mesti bebas daripada
bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, dan sosial.
Firman
Allah SWT dinyatakan dalam Al Quran dalam Surah az-Zariat ayat 57, bermaksud “Tidak
Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku
semata.”
Oleh
yang demikian insan yang bergelar guru sudah pasti menghabiskan
sebahagian besar masa sehariannya melaksanakan tugas mengajar dan kerja-kerja
pengurusan yang berkaitan. Sesungguhnya setiap amalan yang disertakan
dengan niat yang ikhlas sudah tentu dijanjikan dengan ganjaran pahala berlipat
ganda oleh Allah s.w.t. Alangkah malang
kehidupan sebagai guru sekiranya kerja yang dibuat seharian tidak dapat diiktiraf
menjadi ibadah. Lagi malang bagi seseorang guru sekiranya ia menganggap kerja
yang dibuat seharian sebagai beban.
Sebagai kesimpulan, walaupun segala
bentuk cabaran dan halangan yang dihadapi atau bakal mendatang, insan yang
bergelar guru seharusnya mengharungi dengan penuh keikhlasan dalam menyampaikan
ilmu dan mendidik pelajar dengan penuh kesabaran serta sentiasa membetulkan
niat yang satu iaitu kerana Allah s.w.t. Dengan keikhlasan itulah segala
tindakan dan kerja yang kita laksanakan mudah-mudahan dikira sebagai ibadah
yang diterima oleh Allah.
Akhirnya, sempena Hari Guru yang kita
sambut 16 Mei setiap tahun marilah kita semua menghayati kata-kata Saidina Ali
Karramahu Wajhah yang bermaksud ; hak orang
alim ada 7. Yang pertama jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk
menjawab. Yang kedua jangan halangi jika guru hendak berdiri.. Yang ketiga jangan
membuka rahsia di hadapan guru. Yang keempat, jangan mengumpat orang di hadapan
guru. Yang kelima, hormatlah guru kerana Allah. Yang keenam jangan duduk membelakangi
guru dan yang ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluan guru. Adalah
menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru,
sejajar dengan apa yang telah diwartakan oleh Allah SWT dalam kitabNya yang
suci bermaksud :
‘Allah akan
meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu
pengetahuan beberapa darjat. ‘ (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)
Penulis adalah pensyarah di
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman
06000 Jitra, Kedah Darul Aman.
Sabtu, 25 April 2015
SYUKUR...ALHAMDULILLAH
Alhamdulillah segala pujian hanya layak bagi ALLAH SWT...Tuhan penguasa alam ini. Syukur kita masih lagi diberi nikmat menghirup oksigen yang diciptakan ALLAH...syukur kita masih lagi diberi kekuatan untuk menggerakkan tubuh badan...syukur atas segala-galanya....maka marilah kita berpegang dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud :
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan (ingatlah juga) ketika Rabbmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih.”
(Ibrahim: 7)
Langgan:
Catatan (Atom)
Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H
Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.