Anak merupakan suatu anugerah Allah SWT yang amat
berharga buat pasangan suami isteri. Sesebuah mahligai perkahwinan yang dibina
akan bertambah ceria dengan kehadiran anak. Namun, ada pasangan yang diuji
Allah SWT dengan tidak dianugerahkan anak. Mungkin ada hikmah yang hanya Allah
SWT Maha Mengetahuinya. Bagi pasangan yang dikurniakan Allah SWT dengan anak maka
pasangan tersebut merupakan pasangan yang bertuah dan berbahagia sekiranya anak
yang dikurniakan itu mampu membantu mereka untuk masuk ke syurga Allah SWT sebagaimana
yang dinyatakan dalam hadis baginda Nabi SAW yang bermaksud :
“Apabila
matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara:
iaitu sedekah jariah, imu yang bermanfaat, anak yang soleh yang mendoakan
untuknya”. (Riwayat Imam Muslim)
Justeru perkara utama yang perlu ditekankan oleh para ibu bapa ialah
memikir dan merancang bagaimanakah melahirkan anak dan zuriat serta mendidik
mereka menjadi zuriat yang soleh. Salah satu faktor ialah para ibu bapa wajib
memastikan anak-anak supaya sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah
wajib yang lain yang difardhukan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW
sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat
anak-anak, sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud :
“Suruhlah anak kamu
mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika
enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun”.
(Riwayat Imam Ahmad, Abu
Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Amru RA)
Persoalannya kenapakah
Islam mementingkan solat ? Sebagai jawapan, solat adalah tiang agama dan
menunaikan solat bererti menegakkan agama, meninggalkannya bererti mengabaikan
agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada
anak-anak. Melalui amalan solat, anak-anak akan terdidik dengan perkara
mengutamakan masa sebagaimana arahan agar kita menunaikan solat di awal waktu.
Melalui amalan solat, anak-anak dilatih sentiasa menjaga kebersihan diri
sebagaimana wajibnya mereka mengambil wudhuk sebelum melaksanakan solat. Melalui
amalan solat, anak akan dilatih agar sentiasa mematuhi arahan, sebagaimana makmum
mematuhi setiap arahan yang dilafazkan oleh imam dalam solat berjemaah.
Selain itu, melalui solat
kita dapat mendidik anak-anak agar sentiasa mengingati Allah SWT dan merasai
bahawa dirinya sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Justeru solat menjadi benteng kukuh pada anak-anak daripada
keruntuhan ahklak dan gejala sosial.
Allah SWT telah
menegaskan bahawa solat mampu mencegah manusia dari melakukan dosa dan
kemungkaran sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Quran surah al-ankabut ayat 45
yang bermaksud :
“Sesungguhnya solat itu mencegah
dari perbuatan yang keji dan mungkar”.
Dalam dunia globalisasi
kini, adalah mustahil bagi ibu bapa mengawal dan mengekori anak-anak ke mana
saja mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja
mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik mereka dengan solat sehingga
solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran
kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan menjadi benteng
pertahanan mereka dari melakukan kejahatan dan kemaksiatan.
Sejarah telah menggambarkan bahawa Nabi
Ibrahim AS adalah salah seorang nabi yang sangat mementingkan solat terutama
kepada zuriat. Baginda Nabi Ibrahim AS telah berdoa kepada Allah SWT agar baginda
dan anak cucunya sentiasa komited dan istiqamah dalam mengerjakan solat.
Permohonan itu telah dirakamkan di dalam firman Allah SWT dalam surah Ibrahim
ayat 40 yang bermaksud :
“Ya Tuhan, Jadikanlah aku dan anak cucuku
orang-orang yang mendirikan solat. Ya Tuhan Kami, Perkenankanlah doaku”.
Ayuh para ibu bapa
sekalian, sedarilah akan tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah SWT. Apakah
zuriat yang bakal kita tinggalkan nanti, adalah zuriat yang dapat istiqamah
menunaikan solat. Atau adakah zuriat yang akan kita tinggalkan nanti bakal adalah
zuriat yang mengabaikan solat dan perintah-perintah Allah SWT yang lain ? Berusahalah
selagi kita diberi kesempatan oleh Allah SWT dengan mengajak anak-anak dan ahli
keluarga kita menunaikan amanah solat ini dengan sebaik mungkin. Ibu bapa perlu
sedar, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang bertanggungjawab
mencorakkannya dengan corak yang berpaksikan ajaran agama sebagaimana sabda
Rasulullah SAW :
"Setiap anak dilahirkan dalam
keadaan fitrah, kedua orang tuanya yang
menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.."
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi
Hurairah)
Akhirnya, setiap ibu bapa perlu sedar akan peranan dan
tanggungjawab masing-masing agar zuriat kita nanti sentiasa hidup dalam keadaan
tunduk dan patuh kepada pencipta-Nya serta tidak melanggar syariat-syariat yang
ditetapkan. Marilah kita mulakan pada ahli kita agar keluarga muslim dapat diwujudkan
seterusnya lahirlah masyarakat muslim dan seterusnya terbinanya negara yang
mendapat keredhaan dan perlindungan Allah SWT.
Ustaz Asri bin Md
Saman @ Osman