Selasa, 29 Mei 2012

INSAN GURU MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


Profesion keguruan merupakan profesion tertua di dunia. Islam meletakkan profesion keguruan sebagai suatu profesion yang sangat mulia. Tingginya penghargaan itu sehingga menempatkan guru setingkat di bawah kedudukan nabi dan rasul. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis sahih yang bermaksud : “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi” [ Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad ]


Mengapa demikian? Hal ini kerana guru selalunya dikaitkan dengan ilmu pengetahuan di mana  Islam sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang merupakan Surah Pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berkaitan dengan ilmu pengetahuan. 
Selain itu, Rasulullah bersabda “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” - Riwayat At-Thabrani.




Kini dalam era yang serba moden dan canggih, kerjaya guru juga semakin mencabar. Seringkali dilaporkan di media cetak mahupun elektronik mengenai adanya segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika sebagai seorang pendidik sehingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian seorang murid yang berpunca daripada tindakan guru.


Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang zaman.


Selain itu, para guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat iaitu yang pertama ialah ilmu pengetahuan. Atau dengan kata lain pengetahuan seseorang  mengenai sesuatu konsep. Guru haruslah memberi penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.Yang kedua ialah perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi. Ketiga guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zaman baginda sahabat-sahabat yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin , Abdul Rahman bin A’uf, Abu Hurairah, Saad bin AbiWaqas dan sebagainya.


Hari ini, para guru mestilah menerima fenomena bahawa terdapat segelintir ibu bapa yang hanya mementingkan kecemerlangan akademik anak-anak mereka sahaja tetapi beranggapan bahawa pembentukan sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak-anak mereka tidak boleh ditegur, walaupun ternyata mereka melakukan kesalahan. Kesan daripada itu, murid lebih berasa hebat dan berani untuk melawan guru. Tidak peliklah jika banyak kes yang berlaku pada hari ini yang melibatkan kes disiplin pelajar sehingga berlakunya pergaduhan dengan guru. Sebab itulah tiada keberkatan ilmu kepada pelajar ekoran tidak menghormati guru seperti yang disarankan oleh Rasulullah menerusi sabda baginda yang bermaksud :
“Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka.” – Riwayat At-Thabrani.


Semasa proses mendisiplin pelajar guru menghadapi dilema apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah dan tidak mengaku kesilapan yang dilakukan. Dalam hal ini sepatutnya mereka terlebih dahulu berbincang dengan guru bukan semata-mata mendengar daripada anak-anak mereka sahaja di mana sehingga sanggup menyerang pihak sekolah dan membuat pendedahan kepada pihak media. Ini merupakan salah satu bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh guru pada masa kini dalam mengambil sesuatu tindakan terhadap pelajar.


Jika dahulu gurulah yang berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar di mana hanya guru sahaja yang menguasai dan mengendalikan kelas. Namun dalam era baru ini, guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu diransang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Cara mengajar juga telah berubah di mana dahulu ilmu disampaikan secara lisan dan bertulis. Namun kini teknologi komputer telah memberikan sesi pembelajaran berjalan secara interaktif dan lebih menarik lagi. Oleh yang demikian guru perlu menguasai kemahiran ICT dengan sebaiknya  oleh kerana kebanyakan pelajar pada hari lebih terkehadapan dari guru. 
 
Guru juga berperanan dalam menentukan corak pembangunan sesebuah  negara. Kita perlu sedar, kejayaan  negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan profesion keguruan. Hal  ini kerana tenaga kerja yang ada pada hari ini di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Memang sesuailah gelaran “jurutera yang membentuk manusia” diberikan kepada guru. Guru juga seharusnya menjadi model manusia yang berkelakuan baik. Para guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, dan sosial. 
Firman Allah SWT dinyatakan dalam Al Quran dalam Surah az-Zariat ayat 57, bermaksud “Tidak Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku semata.” 
Oleh yang demikian insan yang bergelar  guru sudah pasti menghabiskan sebahagian besar masa sehariannya melaksanakan tugas mengajar dan kerja-kerja pengurusan yang berkaitan. Sesungguhnya setiap amalan yang disertakan dengan niat yang ikhlas sudah tentu dijanjikan dengan ganjaran pahala berlipat ganda oleh Allah s.w.t.  Alangkah malang kehidupan sebagai guru sekiranya kerja yang dibuat seharian tidak dapat diiktiraf menjadi ibadah. Lagi malang bagi seseorang guru sekiranya ia menganggap kerja yang dibuat seharian sebagai beban.


Sebagai kesimpulan, walaupun segala bentuk cabaran dan halangan yang dihadapi atau bakal mendatang, insan yang bergelar guru seharusnya mengharungi dengan penuh keikhlasan dalam menyampaikan ilmu dan mendidik pelajar dengan penuh kesabaran serta sentiasa membetulkan niat yang satu iaitu kerana Allah s.w.t. Dengan keikhlasan itulah segala tindakan dan kerja yang kita laksanakan mudah-mudahan dikira sebagai ibadah yang diterima oleh Allah. 


Akhirnya, sempena Hari Guru yang kita sambut 16 Mei setiap tahun marilah kita semua menghayati kata-kata Saidina Ali Karramahu Wajhah yang bermaksud ; hak orang alim ada 7. Yang pertama jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Yang kedua jangan halangi jika guru hendak berdiri.. Yang ketiga jangan membuka rahsia di hadapan guru. Yang keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Yang kelima, hormatlah guru kerana Allah. Yang keenam jangan duduk membelakangi guru dan yang ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluan guru. Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang telah diwartakan oleh Allah SWT dalam kitabNya yang suci bermaksud : 


‘Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. ‘ (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Isnin, 27 Februari 2012

Seketul Darah Penentu Baik, Buruk Peribadi Ummah

Hati jatuh cinta kepada Tuhan sentiasa basahi bibir dengan kalam suci, zikrullah

HATI adalah sumber kebaikan dan keburukan seseorang. Apabila hati penuh dengan ketaatan kepada Allah SWT, maka perilaku seseorang akan penuh dengan kebaikan. Sebaliknya, apabila hati seseorang penuh dengan hawa nafsu, maka yang akan muncul dalam perilaku seseorang adalah keburukan dan kemaksiatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam badan seseorang manusia itu, ada seketul darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh badannya, jika ia buruk, maka buruklah seluruh badannya, ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keburukan dan kemaksiatan ini akan datang apabila hati seseorang berada dalam keadaan jauh dari mengingati Allah SWT.
Ibnu Qoyyim al-Jauziyah berkata, “Apabila hati seseorang itu jauh daripada mengingati Allah, maka syaitan dengan serta-merta akan masuk ke dalam hati seseorang dan mempengaruhinya untuk berbuat keburukan”.

Hati yang dimasuki syaitan adalah hati yang sakit. Inilah yang disebut sebagai ciri-ciri orang yang munafik. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 10 bermaksud:

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya; dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Oleh kerana itu, hati seseorang mukmin harus sentiasa dijaga daripada dipengaruhi syaitan, dengan berada dalam sikap taat kepada Allah SWT. Inilah yang disebut sebagai hati yang istiqamah.

Imam al-Qurtubi berkata ‘Hati yang istiqamah adalah hati yang senantiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah SWT baik berupa keyakinan, perkataan mahupun perbuatan’.

Hati insan yang sentiasa terpaut kepada mengingati Allah SWT adalah hati yang dicampakkan kepadanya as-Sakinah iaitu ketenangan. Dalam hal ini Allah SWT berfirman, di dalam Surah Ar-Ra’d ayat yang ke-28:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Bagi orang yang hatinya jatuh cinta kepada Allah SWT, maka ia lebih suka berbicara dengan Allah SWT, dengan membaca kalam-Nya, lebih suka bercengkerama dengan Allah SWT dalam iktikaf, dan lebih suka mengikuti perintah Allah SWT daripada perintah yang lain.

Begitulah perasaan cinta kepada Allah SWT adalah manifestasi seseorang hamba yang menyerahkan segala-galanya terhadap Allah. Firman Allah SWT bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah al-An’am ayat 162)

Jika kita kembali kepada sirah baginda Nabi Muhammad SAW, mengapakah sahabat-sahabat baginda sanggup mengorbankan jiwa raga, turun ke medan perang demi mempertahankan agama Allah sedangkan mereka tidak ditawarkan sebarang ganjaran dan kemewahan.

Mengapakah Sumaiyyah sanggup mengorbankan nyawanya demi mempertahankan akidahnya? Mengapakah Bilal bin Rabah sanggup menahan seksaan dijemur di tengah padang pasir, di bawah terik mentari demi mempertahankan kalimah Ahad, yakni Allah yang Esa? Jawapannya, kerana mereka meletakkan di dalam hati mereka, perasaan cinta kepada Allah melebihi segala-galanya.

Namun mutakhir ini, hati umat Islam semakin jauh daripada mencintai Allah. Hati umat Islam ditimpa penyakit al-wahnu iaitu cintakan dunia dan bencikan kematian seperti sabda baginda SAW yang bermaksud:

“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya, apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?"

“Nabi SAW, menjawab, Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut 'rasa gentar' terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu.

“Seorang sahabat bertanya, apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?' Rasulullah SAW menjawab, ‘cinta dunia dan takut mati’." (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Persoalan yang timbul dalam minda kita sekarang ialah kenapa pada akhir zaman ini hati umat Islam begitu leka dengan kenikmatan duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi? Jawapannya, Imam an-Nawawi dalam Kitab Nashaihul Ibad menukilkan satu riwayat menyatakan bahawa:

“Empat faktor yang menyebabkan hati menjadi gelap ialah perut yang sentiasa kenyang dan melebihi had kekenyangan, bersahabat dengan orang yang zalim, lupa akan dosa-dosa silam dan panjang angan-angan, manakala empat faktor yang menyebabkan hati terang iaitu perut yang sentiasa lapar kerana berhati-hati, bersahabat dengan orang salih, mengingati dan menyesali dosa-dosa silam dan pendek angan-angan.”

Oleh itu, marilah kita semua umat Nabi Muhammad SAW dalam suasana dan semangat bulan Rabiul Awal, bulan ulang tahun keputeraan baginda Rasulullah SAW, sedar dan kembali kepada ajaran Islam yang dibawa Rasulullah serta berlumba-lumba mengamalkan sunnah tinggalan baginda.

Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang cemerlang semasa hidup di dunia yang sementara ini. Pada masa yang sama sentiasa rindu untuk bertemu Allah dan akhirnya nanti kita akan melangkah pulang mengadap Allah Azzawajalla dengan hati yang tenang dan sejahtera.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Kedah Darul Aman.

INFO
Empat faktor hari gelap
  • Perut sentiasa kenyang dan melebihi hak kekenyangan;
  • Bersahabat dengan orang zalim:
  • Lupa dosa-dosa silam dan;
  • Panjang angan-angan


Empat faktor hati terang
  • Perut yang sentiasa lapar kerana berhati-hati;
  • Bersahabat dengan orang salih;
  • Mengingati dan menyesali dosa-dosa silam dan:
  • Pendek angan-angan

Selasa, 31 Januari 2012

Rasulullah Model Guru Unggul

Allah SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan pendidik kepada semua manusia. Antaranya firman Allah yang bermaksud :

“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
Surah al-Jumuah : 2

Selain dalil al-quran, hadis daripada Abdullah bin amru bin al-Asr juga membuktikan bahawa baginda SAW adalah pendidik :
“Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid. Di dalamnya terdapat dua kelompok, satu sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah dan satu lagi sedang berada di dalam majlis ilmu. Lalu baginda bersabda ; kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah nescaya akan diqabulkan doa-doa mereka atau tidak diqabulkannya. Manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar dan sesungguhnya daku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik. Lantas baginda SAW duduk bersama mereka (Golongan majlis ilmu)

Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW adalah pendidik terunggul dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Baginda mampu mendidik manusia yang begitu rosak akhlaknya sebelum kedatangan baginda bertukar secara mendadak menjadi positif dan mampu mengamalkan akhlak yang terpuji.Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi,relevan dan sesuai untuk dipraktikkan di sepanjang zaman.
        
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.


Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.

Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru serta watak. Justeru guru perlu bijak  dalam menangani masalah yang timbul  semasa berhadapan dengan pelajar terutama pada zaman yang penuh dengan dugaan ini.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud) 
Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang pelajar. Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.
        
Bagi seseorang pelajar pula perasaan kasih dan sayang terhadap guru perlu sentiasa tersemai di dalam jiwa masing-masing. Jangan ada sama sekali perasaan benci pada guru walaupun tindakannya adakala mengecewakan kita. Hubungan dengan guru adalah berterusan dari dunia hingga akhirat. Tambahan pula, Islam mengiktiraf guru sebagai orang yang berjasa melalui didikan dan bimbingannya yang mengeluarkan kita dari yang kurang baik kepada lebih baik, dari kejahilan kepada berpengetahuan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya”.
(Al-Mawardi)    

Kesimpulannya, guru yang memberi dan menyebarkan ilmu yang berguna merupakan insan yang mulia di sisi Allah. Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.