Khamis, 11 Oktober 2012

Ganjaran Jihad Taat Suami

Isteri kena bersabar melayan kerenah pasangan selagi tidak melakukan kemungkaran

Wasiat Baginda Rasulullah SAW kepada puterinya Saidatina Fatimah az-Zahra’ berkaitan peranan dan ganjaran bagi seorang isteri yang solehah. Wasiat Baginda bukan khusus kepada puterinya saja bahkan ditujukan kepada semua wanita yang bergelar isteri. 

Kata Baginda: “Ya Fatimah, tidaklah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Allah memberikan kepadanya pahala 100 kali beribadah haji dan umrah.” 


Alangkah besarnya pahala yang disediakan oleh Allah SWT kepada isteri yang mengamalkan apa yang disarankan Rasulullah SAW sehingga Allah SWT mengurniakan pahala 100 kali menunaikan haji dan umrah. 

Justeru, semua Muslimah sepatutnya berlumba-lumba mengejar tawaran pahala yang disediakan ini. Natijahnya akan terbentuklah sebuah rumah tangga yang aman sejahtera serta dilimpahi mawaddah dan rahmat daripada Allah SWT. 

Seorang sahabat wanita bernama Zainab telah menemui Baginda Nabi SAW lalu berkata: “Aku telah diutuskan oleh kaum wanita kepada Engkau Ya Rasulullah. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka mati pula, mereka akan hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Bagi kami kaum perempuan yang sering membantu mereka, apakah pula balasan kepada kami? Sabda Rasulullah SAW: Sampaikan kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya.” (Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani) 

Kewajipan isteri melayani suaminya yang sah meliputi semua keperluan selagi tidak menyalahi hukum syarak. Baginda Rasulullah SAW mengajar isteri tindakan yang perlu dilakukan apabila si suami mahukan layanan termasuk dalam hubungan kelamin. 

Panduan diberikan Baginda membuktikan Islam berusaha menutup pintu kejahatan dan mengutamakan naluri fitrah manusia, pada masa sama mengutamakan kebahagiaan rumah tangga. Apabila rumah tangga yang dibina bahagia, akan menangislah syaitan. 
Sabda Baginda SAW: “Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk melakukan hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan melaknatnya hingga waktu pagi.” (Riwayat Bukhari) 

Sabda baginda SAW lagi: “Jika seorang suami memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (Riwayat ath-Thabrani) 

Isteri perlu bersabar dengan kerenah suami, patuhilah dan taatilah segala permintaan suami selagi dia tidak menyuruh kepada kemungkaran. Suami perlu mempertimbangkan aspek kemanusiaan dalam mengeluarkan arahan kepada isteri. 

Dikisahkan seorang sahabat wanita yang memiliki nilai kesabaran tinggi iaitu Ummu Sulaim. Menurut hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik, hasil perkahwinan Ummu Sulaim dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair. 

Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita kematian anakku ini kepada suamiku.” 

Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, beliau bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab: Anak kita berada dalam keadaan aman. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim: Wahai suamiku, andai kata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian tuan empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya? Jawab suaminya: Tidak. Kemudian Ummu Sulaim berkata: Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali.” 

Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia reda dengan takdir Allah. Subuh keesokannya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa yang berlaku itu. 

Kemudian Rasulullah SAW berdoa semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak lama selepas itu, Ummu Sulaim telah dikurniakan 10 orang anak yang mana kesemuanya di kalangan ulama yang terpilih. 

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu menghadapi detik kematian anaknya yang dicintai dan betapa bijaknya Ummu Sulaim menyampaikan berita duka itu kepada suami tercinta. Hebatnya nilai kesabaran isteri berdepan dengan situasi yang sedih dan getir. 

Oleh itu, marilah kita sama-sama mencontohi watak Abu Talhah dan meneladani watak Ummu Sulaim dalam melayari kehidupan rumah tangga pada zaman yang penuh pancaroba ini. 

Firman Allah SWT: “…perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisa’, ayat 34)


--------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan agama Berita Harian Edisi 11 Oktober 2012 & versi internet:

Rabu, 3 Oktober 2012

A Journey To phD

02 September 2012 :
Sesudah Subuh bertolak ke Kuala Lumpur-sempat menziarahi sahabat lama yang pernah mencurah keringat bakti di Bumi Bawah Bayu- ALHAMDULILLAH.

03 September 2012 :
Mendaftar diri sebagai pelajar phD-suatu perjalanan yang MESTI ditempuhi walau apa jua rintangan-Ya ALLAH...permudahkanlah segala urusan hambaMU.

14 September 2012 :
Mula kuliah-Allah uji kami dalam perjalanan-sampai RnR Rawang-tangki air problem-sampai kl terus cari kedai repair tangki air kereta.

21 September 2012 :
habis kuliah terus balik - ada kuliah ppg keesokan harinya..tiba di rumah jam 2.30 am.

28 September 2012 :
6.40 pagi : Bertolak dari kampung ke Universiti Malaya Kuala Lumpur
12.15 tgh- tiba di UmKL
malam menginap di Taman Dato Harun-ALHAMDULILLAH

Salah Faham Konsep Tawakkal


Bertawakal kepada Allah SWT adalah penting dalam diari kehidupan seorang Muslim Bertawakal ialah berserah diri kepada Allah SWT setelah segala usaha dan ikhtiar dilakukan terlebih dahulu. Menurut Prof Dr Yusuf Al-Qardawi tawakal ialah, apabila seorang manusia menyusun dan mengatur persiapan, persediaan, strategi dan daya usaha akhirnya dia menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 122 yang bermaksud:
 “Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).”
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud :
“Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”.
Firman Allah SWT dalam Surah At-Talaaq ayat 3 yang bermaksud :

“Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : Dari Umar bin Khattab RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya kalian benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dengan tawakal yang sebenar-benarnya, sungguh kalian akan diberi rezeki (oleh Allah SWT), sebagaimana seekor burung diberi rezeki; di mana ia terbang pada waktu pagi dalam keadaan lapar, dan pulang di waktu petang dalam keadaan kenyang” (HR. Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah).
Berdasarkan hadis di atas dapatlah kita fahami bahawa tawakal merupakan perkara ketiga selepas kita berusaha dan berdoa kepada Allah SWT memohon apa yang kita hajati. Ianya saling berkait rapat antara satu sama lain dalam mencapai sesuatu matlamat.
Namun dalam masyarakat Islam kini terdapat salah faham terhadap konsep tawakal iaitu hanya bertawakal bulat-bulat kepada Allah SWT tanpa dimulai dengan usaha apatah lagi doa. Apabila tidak mendatangkan natijah yang baik, maka mereka akan menyalahkan taqdir.
Fenomena ini telahpun berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, ada seorang Arab Badawi yang datang ke masjid dan meninggalkan untanya tanpa diikat. Kemudian dia terus masuk ke masjid dan menganggap tindakannya itu sebagai tawakal kepada Allah. Rasulullah yang melihat kejadian berkenaan segera datang kepadanya dan bersabda: “Ikatlah unta itu dan bertawakallah kepada Allah.”
Bahkan pada Zaman Imam Abu Hanifah terdapat sebuah kisah berkaitan salah faham tentang konsep tawakal di mana pada zaman tersebut terdapat seorang lelaki yang terkenal dengan sikap malas. Pada suatu hari, sewaktu Imam Abu Hanifah berjalan melintasi rumah seorang miskin, dia terdengar keluhan lelaki itu: “Aduhai, alangkah malang nasib ini, tiada yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini, sejak pagi tiada seorang pun yang sudi memberi curahan air walaupun setitik.” Imam Abu Hanifah yang mendengar keluhan itu kemudiannya mencampakkan bungkusan kecil yang mengandungi wang. Namun keesokannya, Imam Abu Hanifah sekali lagi melintasi rumah si miskin itu dan terdengarlah pula keluhannya: “Ya Allah Yang Maha Belas Kasihan, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti semalam, sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika tidak Tuhan beri, akan lebih sengsaralah hidupku.” Sekali lagi Imam Abu Hanifah mencampakkan bungkusan yang mengandungi wang, tetapi kali ini dengan nota: “Hai sahabat, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian ‘malas’ namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak reda Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. “Jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak sepatutnya duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. “Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan memenuhi doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedaya mungkin dengan pertolongan Allah. Insya-Allah, kamu akan dapat memiliki pekerjaan selama kamu tidak berputus asa.” Sebenarnya apa yang dimaksudkan ialah tawakal.
Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita dan meminta kita sebagai umat baginda mengamalkan doa ini yang bermaksud :
“Dengan nama Allah, aku serahkan semuanya kepada Allah, sebab tiada daya dan upaya kecuali atas pertolonganNya”.
Justeru umat Islam perlu membuat anjakan paradigma. Bangunlah berusaha selagi dikurniakan kudrat oleh Allah SWT dengan memberi komitmen dan kesungguhan dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Usahlah hanya memeluk tubuh kononnya mengamalkan konsep tawakal sedangkan tawakal yang dilakukan itu jauh menyimpang daripada ajaran agama yang sebenarnya.
Dalam konteks sebagai ibu bapa sewajarnya kita memperbanyakkan menyebut dan menceritakan tentang kelebihan tawakal kepada anak-anak agar akan lahir nanti generasi yang sentiasa sabar dalam menghadapi kesukaran dan kepayahan dalam kehidupan lebih-lebih dalam menempuh zaman yang kian mencabar. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubahnya.
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Firman Allah SWt dalam surah At-Taubah ayat 59 yang bermaksud :
“Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata :”Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikianlah juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.”
-----------------------------------------------------------------------------------------
Artikel ini telah diterbitkan dalam Berita Harian Edisi 26 September 2012 

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.