Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat
Kebangsaan 1434H/2013: Guru patut contohi cara Baginda tangani masalah secara
berhemah
Rasulullah SAW seorang pendidik yang
cemerlang. Hasil didikan Baginda SAW, lahir tokoh ternama dan tersohor seperti
Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Othman bin Affan
dan Saidina Ali bin Abi Tholib serta sahabat yang lain.
Dicontohi sepanjang zaman
Guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya
dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap
anak didiknya," Imam al-Ghazali
Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah
SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi dan
diteladani sepanjang zaman. Allah SWT telah merakamkan beberapa ayat dalam
al-Quran mengenai peranan Rasulullah SAW sebagai guru atau pendidik.
Firman Allah SWT: “Dialah Tuhan yang telah
mengutuskan kepada kaum ummi (buta huruf) seorang Rasul daripada kalangan
mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, (berjuang)
menyucikan mereka serta mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya
mereka (sebelum diutus Muhammad) benar-benar berada dalam kesesatan yang
nyata.” (Surah al-Jum’ah, ayat 2)
Selain nas al-Quran, Nabi SAW juga bersabda:
“Sesungguhnya aku telah diutuskan (oleh Allah) sebagai seorang guru (pendidik
manusia).” (Riwayat Ibnu Majah)
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami
berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk
mencangkung membuang air kencing dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki
Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan
biarkan dia sendiri. Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu
selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki
berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan
perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid
tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian
Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk
membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.”
Berpandangan jauh
Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu
ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan,
terutama guru. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap
berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.
Menegur kesalahan seseorang dengan cara
berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan
dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh
seharusnya diikuti guru.
Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar
perlunya bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan
mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa
memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.
Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa
kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai
masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang
dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.
Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru akan
menyedari bahawa sabar memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain itu, guru
perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak
didik.
Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW
mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang
menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara
bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu
rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan
apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah menurunkan air
supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga
sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak
tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama
Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah,
kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang
sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh
Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Proses pengajaran
Ini menjelaskan kepada kita proses pendidikan
dan pengajaran adalah satu metodologi yang perlu melihat kepada pelbagai aspek
seperti psikologi, sosiologi dan daya membuat pertimbangan seseorang pelajar.
Gabungan ilmu pengetahuan itu membolehkan guru
mengajar dengan berkesan dan menarik minat pelajar mengikuti pengajaran.