Selasa, 10 Mac 2020

RASULULLAH SAW MODEL GURU UNGGUL

RASULULLAH SAW MODEL GURU UNGGUL

Oleh: Ustaz Hj. Asri Bin Md Saman @ Osman

Allah SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan pendidik kepada semua manusia. Antaranya firman Allah SWT bermaksud :

“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
Surah al-Jumuah : 2

Selain dalil al-quran, hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-Asr juga membuktikan bahawa baginda SAW adalah pendidik :
“Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid. Di dalamnya terdapat dua kelompok, satu sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT dan satu lagi sedang berada di dalam majlis ilmu. Lalu Baginda bersabda ; kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT nescaya akan diqabulkan doa-doa mereka atau tidak diqabulkannya. Manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar dan sesungguhnya daku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik. Lantas Baginda SAW duduk bersama mereka (Golongan majlis ilmu)

Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW adalah pendidik terunggul dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Baginda mampu mendidik manusia yang begitu rosak akhlaknya sebelum kedatangan baginda bertukar secara mendadak menjadi positif dan mampu mengamalkan akhlak yang terpuji.Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, relevan dan sesuai untuk dipraktikkan di sepanjang zaman.
        
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.

Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan. 

Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.

Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru serta watak. Justeru guru perlu bijak  dalam menangani masalah yang timbul  semasa berhadapan dengan pelajar terutama pada zaman yang penuh dengan dugaan ini.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud) 
Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang pelajar. Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.
        
Bagi seseorang pelajar pula perasaan kasih dan sayang terhadap guru perlu sentiasa tersemai di dalam jiwa masing-masing. Jangan ada sama sekali perasaan benci pada guru walaupun tindakannya adakala mengecewakan kita. Hubungan dengan guru adalah berterusan dari dunia hingga akhirat. Tambahan pula, Islam mengiktiraf guru sebagai orang yang berjasa melalui didikan dan bimbingannya yang mengeluarkan kita dari yang kurang baik kepada lebih baik, dari kejahilan kepada berpengetahuan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya”.
(Al-Mawardi)    

Kesimpulannya, guru yang memberi dan menyebarkan ilmu yang berguna merupakan insan yang mulia di sisi Allah. Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis merupakan Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, 
Kedah Darul Aman.

Isnin, 24 September 2018

Didik Anak Istiqamah Solat


Anak merupakan suatu anugerah Allah SWT yang amat berharga buat pasangan suami isteri. Sesebuah mahligai perkahwinan yang dibina akan bertambah ceria dengan kehadiran anak. Namun, ada pasangan yang diuji Allah SWT dengan tidak dianugerahkan anak. Mungkin ada hikmah yang hanya Allah SWT Maha Mengetahuinya. Bagi pasangan yang dikurniakan Allah SWT dengan anak maka pasangan tersebut merupakan pasangan yang bertuah dan berbahagia sekiranya anak yang dikurniakan itu mampu membantu mereka untuk masuk ke syurga Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis baginda Nabi SAW yang bermaksud :
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara: iaitu sedekah jariah, imu yang bermanfaat, anak yang soleh yang mendoakan untuknya”. (Riwayat Imam Muslim)
Justeru perkara utama yang perlu ditekankan oleh para ibu bapa ialah memikir dan merancang bagaimanakah melahirkan anak dan zuriat serta mendidik mereka menjadi zuriat yang soleh. Salah satu faktor ialah para ibu bapa wajib memastikan anak-anak supaya sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain yang difardhukan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak-anak, sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud :
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun”.
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Amru RA)
Persoalannya kenapakah Islam mementingkan solat ? Sebagai jawapan, solat adalah tiang agama dan menunaikan solat bererti menegakkan agama, meninggalkannya bererti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak. Melalui amalan solat, anak-anak akan terdidik dengan perkara mengutamakan masa sebagaimana arahan agar kita menunaikan solat di awal waktu. Melalui amalan solat, anak-anak dilatih sentiasa menjaga kebersihan diri sebagaimana wajibnya mereka mengambil wudhuk sebelum melaksanakan solat. Melalui amalan solat, anak akan dilatih agar sentiasa mematuhi arahan, sebagaimana makmum mematuhi setiap arahan yang dilafazkan oleh imam dalam solat berjemaah.
Selain itu, melalui solat kita dapat mendidik anak-anak agar sentiasa mengingati Allah SWT dan merasai bahawa dirinya sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Justeru solat menjadi  benteng kukuh pada anak-anak daripada keruntuhan ahklak dan gejala sosial.
Allah SWT telah menegaskan bahawa solat mampu mencegah manusia dari melakukan dosa dan kemungkaran sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Quran surah al-ankabut ayat 45 yang bermaksud :
Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.

Dalam dunia globalisasi kini, adalah mustahil bagi ibu bapa mengawal dan mengekori anak-anak ke mana saja mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik mereka dengan solat sehingga solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan menjadi benteng pertahanan mereka dari melakukan kejahatan dan kemaksiatan.
Sejarah telah menggambarkan bahawa Nabi Ibrahim AS adalah salah seorang nabi yang sangat mementingkan solat terutama kepada zuriat. Baginda Nabi Ibrahim AS telah berdoa kepada Allah SWT agar baginda dan anak cucunya sentiasa komited dan istiqamah dalam mengerjakan solat. Permohonan itu telah dirakamkan di dalam firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud :
 “Ya Tuhan, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang mendirikan solat. Ya Tuhan Kami, Perkenankanlah doaku”.
Ayuh para ibu bapa sekalian, sedarilah akan tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah SWT. Apakah zuriat yang bakal kita tinggalkan nanti, adalah zuriat yang dapat istiqamah menunaikan solat. Atau adakah zuriat yang akan kita tinggalkan nanti bakal adalah zuriat yang mengabaikan solat dan perintah-perintah Allah SWT yang lain ? Berusahalah selagi kita diberi kesempatan oleh Allah SWT dengan mengajak anak-anak dan ahli keluarga kita menunaikan amanah solat ini dengan sebaik mungkin. Ibu bapa perlu sedar, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya dengan corak yang berpaksikan ajaran agama sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
‏ ‏
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan  fitrah, kedua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.."
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah)

Akhirnya, setiap ibu bapa perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing agar zuriat kita nanti sentiasa hidup dalam keadaan tunduk dan patuh kepada pencipta-Nya serta tidak melanggar syariat-syariat yang ditetapkan. Marilah kita mulakan pada ahli kita agar keluarga muslim dapat diwujudkan seterusnya lahirlah masyarakat muslim dan seterusnya terbinanya negara yang mendapat keredhaan dan perlindungan Allah SWT.



Ustaz Asri bin Md Saman @ Osman

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.