Jumaat, 27 Januari 2012

CIRI-CIRI ISTERI SOLEHAH

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!”- hadis riwayat Ibn Hibban
Kalimah soleh berasal daripada perkataan solah iaitu ‘kebaikan’. Dimaksudkan dengan soleh ialah lelaki dan wanita yang baik kepada dirinya, pada orang lain, serta baik pula amalannya sehingga dikatakan dia telah diperbaik oleh Allah.          
Sabda Rasulullah s.a.w bersabda “Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah”- Riwayat Muslim.
Telah dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahukah kamu aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya.” – Hadis riwayat Ibnu Majah
Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.
Isteri yang solehah itu selalu memperlihatkan akan tanggungjawabnya sebagai isteri, ia hanya berbuat sesuai dengan ketentuan Allah. Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah:
Patuh dan taat kepada suami yang soleh
Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada ajaran ajaran dan perinta Allah dan Rasul-Nya serta setia kepada suami.
“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihra rahsia dan harta suaminya) dibelakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka...”
(An-Nisaa’:34)
Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara yang lemah lembut dan penuh sopan santun. Begitu pula tidak boleh memerintah kepada suami, kecuali diucapkan dengan cara yang baik sebagai suatu pertolongan. Walaubagaimanapun ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Sekiranya yang diperintahkan oleh suami itu boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhakai Allah SWT”- hadis riwayat Ahmad.
Kepatuhan isteri terhadap suami iaitu kepatuhan yang disuruh oleh agama, kerana suami di samping bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin, dia juga harus bertanggungjawab membimbing isterinya. Maka isteri harus setia kepada suami yang soleh dan bersedia mengikuti segala perintahnya.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak laki-laki ke atas wanita”- hadis riwayat Abu Daud.
Mengurus rumahtangga
Seorang isteri Muslimah diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa berada di rumah dan tidak dibolehkan pergi pergi kemana-mana dengan sesuka hati tanpa izin suami. Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri sahaja, tetapi mengerjakan tugas-tugas sebagai seorang isteri dan melaksanakan kewajipannya.
Hikmah daripada Allah SWT tersebut ialah supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik anak scara lebih sempurna ketika suami pergi mencari rezeki. Di samping itu isteri dapat melakukan pekerjaan seperti menghias rumah, menyediakan makanan suami serta mencuci pakaian suami. Walaupun nampaknya pekerjaan itu mudah, tetapi ianya sangat bermanfaat untuk menjamin keluarga tetap harmoni. Hanya kaum wanita yang dapat mengerjakannya dengan baik, kerana wanita mempunyai sifat sabar yang tinggi berbanding lelaki. Jika pekerjaan ini diserahkan kepada suami, mungkin dia hanya sanggup mengerjakan untuk beberapa hari sahaja.
Rasulullah s.a.w bersabda : “Tiap-tiap wanita atau isteri adalah pengurus terhadap rumah suaminya, dan dia akan ditanya (oleh Allah di hari kemudian) dan perkara urusannya itu.” – hadis riwayat Bukhari.
Berhias untuk suami
Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita tidak faham akan kewajipannya, dia akan berhias diri ketika akan keluar dari rumah. Tetapi ketika berada di dalam rumah dia berada di dalam keadaan tidak bersih, kadangkala rambutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami.
Tujuan berhias ketika di rumah, iaitu agar suami merasa terhibur. Jika suami pulang dari mencari rezeki disambut oleh isteri dengan wajah yang berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ianya akan menjadi penawar bagi suami sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Dari Jabir r.a ia berkata: “Kami pernah bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Bersabarlah, masuklah ketika waktu malam iaitu pada waktu Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia berhias kerana telah lama ditinggalkan suaminya.”- hadis riwayat Muttafaqun alaihi.
Berhias bukan sahaja ketika menyambut suami pulang dari suatu tempat atau dari tempat kerja, tetapi hendaklah dilakukan ketika berada di dalam rumah. Wanita Islam hanya dibolehkan berhias untuk suaminya dan untuk dirinya sendiri.
Melayani suami
Hubungan seks merupakan penawar untuk menambahkan lagi kebahagiaan rumahtangga. Ia dipandang sebagai punca keharmonian sesebuah rumah tangga. Oleh sebab itu, isteri hendaklah memberikan layanan  yang baik kepada suaminya. Isteri tidak boleh menolak jika suami menginginkannya. Seorang isteri apabila menolak permintaan suaminya, dia akan dikutuk oleh malaikat sehingga suaminya redha kepadanya.
 Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:”Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.” –hadis riwayat Muslim.
Mungkin di saat-saat tertentu isteri dibolehkan menolaknya seperti dalam keadaan sakit, atau dalam keadaan dilarang untuk melakukannya seperti sedang haid dan sebagainya.
Ciri-ciri  di atas merupakan sebahagian kecil daripada ciri-ciri isteri solehah. Walaubagaimanapun, jika ciri-ciri tersebut dapat dillakukan secara konsisten dan baik, Insya-Allah ianya mampu mewujudkan rumahtangga idaman.


Jumaat, 13 Januari 2012

Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak

Anak-anak merupakan aset Ibu bapa yang sangat bernilai.    Mereka diibaratkan permata amat berharga yang dianugerahkan Allah kepada kita.  Anak-anak juga merupakan faktor pendorong bagi Ibu bapa untuk masuk ke syurga sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara: iaitu sedekah jariah, imu yang bermanfaat, anak yang soleh yang mendoakan untuknya”. (Riwayat Imam Muslim)
Anak-anak juga merupakan ujian dan mendidik mereka merupakan tanda pengabdian kita kepada Allah. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah al-Anfal ayat 27 & 28 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar”. (al-Anfal: 27-28)

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka dididik dengan ajaran Islam lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh dengan cabaran dan mehnah ini ibu bapa perlu melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya, walaupun sukar untuk melaksanakan proses didikan untuk anak-anak agar mereka patuh dan tunduk kepada Allah, tetapi setiap ibu bapa perlu sedar semua yang dilakukan itu dikira ibadat dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Ibu bapa  perlu menyiapkan bekalan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
“Menuntut ilmu (agama) adalah fardhu ke atas setiap orang Islam”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani dari Anas R.A dan al-Hasan bin Ali R.A)
Kita melihat hari ini ramai ibu-bapa mengabaikan pengajian ilmu agama kepada anak-anak mereka. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam akademik yang bersifat duniawi. Mereka tidak pernah risau anak-anak mereka jahil tentang ilmu ukhrawi kerana mereka menyangka ilmu dunia yang membantu anak-anak mereka untuk hidup di dunia ini. Sedangkan mereka tidak menyedari, ilmu agamalah yang sebenarnya memandu kehidupan anak-anak mereka sama ada di dunia mahupun di akhirat dan ilmu agama jugalah yang membimbing anak-anak mereka supaya mempelajari ilmu dunia agar lebih mendekatkan diri kepada Allah. Akibat dari kecuaian ibu bapa, tidak hairanlah jika kita dapati hari ini ramai anak-anak orang Islam semakin liar, tidak menutup aurat dan mudah terjebak dengan maksiat dan kemungkaran. Lantas menggembirakan musuh-musuh Islam kerana umat Islam semakin lemah dan lalai akibat kebejatan sosial yang semakin parah. Sememangnya itu yang diimpikan dari puak musuh sebagaimana firman Allah S.W.T:
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju kepadamu (Muhammad) sebelum engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah pertunjuk yang benar". Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka sesudah datangnya  pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
(Surah al-Baqarah:120)


Selain itu ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak supaya sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain. Rasulullah S.A.W sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak-anak, sebagaimana sabda baginda S.A.W:
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun”.
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Amru r.a.)
Solat adalah tiang agama dan menunaikan solat bererti menegakkan agama, meninggalkannya bererti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak kita. Di samping mendidik anak-anak kita agar sentiasa ingat kepada Allah, solat menjadi benteng kepada mereka dari keruntuhan ahklak dan gejala sosial. Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia dari melakukan dosa dan kemungkaran sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah S.W.T sendiri:
"“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”. 
(al-Ankabut: 45)
Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak-anak kita ke mana saja mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik anak kita dengan solat sehingga solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan membenteng mereka dari melakukan kejahatan dan maksiat.
           
          Kesimpulannya, ibu bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu sedar, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya dengan corak yang berpaksikan ajaran agama sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
‏ ‏
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan  fitrah, kedua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.."
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah)

Oleh itu, setiap ibu bapa perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka supaya generasi muda masa kini sentiasa hidup dalam keadaan tunduk dan patuh kepada pencipta-Nya serta tidak melanggar syariat-syariat yang ditetapkan agar keluarga muslim dapat diwujudkan seterusnya lahirlah masyarakat muslim dan seterusnya terbinanya negara yang mendapat keredhaan dan perlindungan Allah S.W.T.  

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.