Mak sakit, mak rindukan kamu. Kalau boleh mak ingin jumpa buat kali terakhir, rayuan seorang warga emas ketika meminta anak tunggalnya yang telah terpisah lebih 60 tahun untuk datang menjenguknya.
Berlinang air mata terbaca petikan luahan rasa hati seorang ibu tua. Suatu harapan yang amat bermakna daripada seorang ibu yang ingin bertemu dengan anak pernah dikandungnya selama sembilan bulan sebelum dijemput menghadap Ilahi.
Dalam dunia serba moden ini, masih terdapat fenomena anak meninggalkan ibu atau ayah kandung bersendirian di saat mereka sangat memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang. Sedangkan sejak dalam kandungan sehingga dewasa, anak sentiasa bergantung harap kepada kedua ibu bapa.
Allah SWT melarang umat Islam berkasar dengan ibu bapa melalui firman-Nya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan Ha dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu..."
(Surah Al-Israa, ayat 23-24)
Selain itu Rasulullah SAW menegaskan dan sabda Baginda: Dari Abdullah bin Amr, seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama Baginda kerana aku ingin mencari reda Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang ke sini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis. Lalu sabda Baginda: Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis. (Riwayat Ibnu Majah)
Perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan saja semasa mereka masih hidup bahkan apabila mereka sudah meninggalkan alam fana ini.
Firman Allah SWT: ...dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.(Surah Al-Israa', ayat 24)
Berbakti kepada ibu bapa adalah suatu kewajipan anak yang tidak boleh diabaikan walau dengan apa alasan sekali pun. Hatta sekiranya ditakdirkan ibu bapa itu musyrik (kafir), Islam menuntut anak wajib berhubungan dengan ibu bapa secara baik dan lemah lembut kecuali jika mereka mengajak menyekutukan Allah SWT.
Kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan Bagi Orang Yang Lalai) karangan Imam Abu Laits As-Samarqand ada membincangkan sepuluh tugas yang mesti dilaksanakan oleh anak kepada ibu bapanya.
Antaranya, memberi layanan yang baik kepada kedua ibu bapa, berbicara dengan penuh kesopanan dan lemah lembut, berusaha mendapatkan keredaan mereka dengan sesuatu yang mereka sukai dan mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapa setiap kali kita berdoa.
Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah, apakah kita yang masih mempunyai kedua ibu bapa sering berbakti kepada mereka berdua dan melaksanakan apa yang disarankan oleh Imam Abu Laits As-Samarqand.
Jadikanlah kisah al-Qamah seorang sahabat Rasulullah SAW yang banyak beribadah kepada Allah SWT sebagai pengajaran.
Al-Qamah sukar melafazkan dua kalimah syahadah ketika berhadapan dengan saat kematian disebabkan tindakannya yang telah menyakiti hati dan perasaan ibu dan akhirnya al-Qamah diizinkan Allah melafazkan syahadah setelah ibunya mengampunkan dosa beliau.
Sudah pasti kita tidak mahu kejadian menimpa al-Qamah berlaku disebabkan tindakan kita mengabaikan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa hingga menyebabkan mereka kecil hati atau bersedih.
Institusi keluarga adalah asas kepada pembinaan jati diri insan dan menjadi tanggungjawab semua anggota keluarga memelihara hubungan baik sesama ahlinya. Asuhan serta didikan sempurna dapat membantu memperkukuhkan institusi keluarga.
Oleh itu, tanggungjawab ibu bapa mendidik anak dengan sifat mukmin sejati supaya kehidupan mereka terpelihara dan menuruti landasan yang betul. Anak perlu sentiasa diingatkan tanggungjawab serta amanah perlu dilaksanakan mereka nanti.
Ibu bapa hari ini perlu menunjukkan contoh yang baik dengan menghormati ibu bapa mereka kerana didikan yang berkesan ialah melalui contoh teladan. Apabila anak melihat ibu bapa menghormati kedua orang tuanya, mereka juga akan menghormati ibu bapa mereka.
Firman Allah SWT: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa juga yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya). (Surah al-Baqarah, ayat 215)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Artikel ini telah diterbitkan di Berita Harian Edisi 3 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan