Ahad, 14 Julai 2013

Sibuk Layan Pelanggan Bukan Alasan Abai Solat


Peniaga perlu berazam cari keberkatan dalam urusan jual beli

Alhamdulillah kita diberi peluang dan kesempatan memasuki fasa pertama Ramadan 1434 hijrah. Maka marilah kita gunakan peluang dan kesempatan ini melipatgandakan amalan pada bulan mulia ini. 

Bagi masyarakat Islam di Malaysia, bulan puasa sinonim dengan bazar Ramadan. Setiap kali Ramadan banyak gerai makanan dibangunkan laksana cendawan tumbuh selepas hujan. 

Berapa banyak seorang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa bahagian daripada puasanya selain daripada lapar dan dahaga” Riwayat Imam Ibnu Majah



Dari perspektif Islam, perniagaan adalah bidang pekerjaan yang utama. Bahkan Islam menekankan kepada umatnya supaya urusan jual beli bukan sekadar memburu keuntungan semata-mata, tetapi menjaga kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan pengguna. 

Firman Allah SWT: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menguruskan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat).” (Surah al-Jumaat, ayat 10) 

Ayat ini menjadi dalil Allah SWT tidak melarang seseorang mencari sebanyak mana nikmat di dunia yang mereka suka termasuk daripada perniagaan, tetapi seharusnya tidak mengabaikan suruhan-Nya, bahkan perniagaan dijalankan itu mampu mendekatkan kita dengan Allah SWT.

Justeru, Islam mengkategorikan jual beli sebagai fardu kifayah yang menjadi tanggungjawab sebahagian umat Islam. Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai usaha paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki. Baginda menjawab: “Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang baik serta halal.” (Riwayat Bazzar dan Sohehahu al-Hakim) 

Pintu rezeki daripada berniaga

Nabi SAW bersabda, sembilan persepuluh pintu rezeki datangnya daripada berniaga. Malah, menelusuri sunnah, Baginda SAW sendiri pernah berniaga. Perniagaan yang diusahakan itu memperoleh keuntungan banyak hingga disukai majikan Baginda, Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

Menjadi kebiasaan di Malaysia bazar Ramadan mula dibuka seawal jam 3 petang. Suatu perkara yang perlu diberi perhatian khususnya oleh peniaga bazar Ramadan ialah memelihara waktu solat terutama solat Asar dan Maghrib. 

Kesibukan dan keasyikan peniaga melayan pelanggan, ada kala menyebabkan terleka menunaikan tanggungjawab melaksanakan ibadah fardu. Lebih malang, jika peniaga yang dianugerahkan Allah SWT keuntungan berlipat ganda, tetapi pulang ke rumah kepenatan dan tidak berupaya menunaikan solat Tarawih yang hanya ditawarkan pada Ramadan saja.

Daripada Saidatina Aishah, “Sesungguhnya Rasulullah SAW keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat Baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), Baginda pun solat, mereka solat bersama Baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah SAW keluar bersolat, mereka solat bersama Baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah Baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat sSubuh, Baginda menghadap orang ramai, Baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah Rasulullah SAW wafat dalam keadaan begitu (tiada jemaah Tarawih di masjid).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Hadis itu menunjukkan bahawa Nabi SAW menunaikan solat Tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Namun, Baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati Baginda kepada umatnya.

Selain itu terdapat juga sebilangan peniaga yang tidak berpuasa secara sengaja dengan alasan letih berniaga dan bermacam lagi. Golongan ini hanya mengejar keuntungan duniawi yang sementara, tetapi mengabaikan keuntungan ukhrawi yang bakal dinikmati di akhirat kelak. 

Beli hasil tangan peniaga solat

Bagi pembeli pula, buatlah pilihan bijak dan tepat. Carilah peniaga yang benar-benar berkualiti dari aspek peribadi mahupun makanan disediakan. Apakah puasa kita mampu mencapai status puasa diberkati jika kita mengambil makanan daripada hasil tangan mereka yang tidak menunaikan solat serta tidak menutup aurat. 

Suatu hari seorang sahabat, Saad ibn Waqqas bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai tuan, doakan aku kepada Allah supaya aku dijadikan orang mustajab (makbul) doa. Lalu Rasulullah SAW menjawab: Wahai Saad, makanlah makanan yang baik (halal), tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad, sesungguhnya jika seseorang melemparkan sesuap makanan yang tidak halal ke perutnya, tidaklah makbul doanya selama 40 hari.”

Peniaga hendaklah berazam mencari keberkatan dalam urusan harian. Lakukanlah yang terbaik dan yakinlah apa saja perkara yang kita lakukan dengan sebaiknya nescaya akan dibalas oleh Allah SWT.


Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan agama Berita Harian pada 15
Julai 2013 bersamaan 5 Ramadan 1434H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.