Dari mana kita datang?
Kenapa kita didatangkan?
Ke mana kita akan pergi?
Tiga soalan ini sangat popular dalam mengupas perihal kehidupan seorang manusia. Sebagai seorang yang dibesarkan di dalam proses tarbiyah islamiyyah, saya didedahkan dengan tiga soalan ini agak awal di usia remaja saya.
Ia membentuk perspektif kehidupan saya. Dan dalam kebanyakan buku motivasi yang saya tulis, saya memang akan menyelitkan perbincangan berkait tiga soalan ini di dalamnya. Kerana saya sendiri kira, ianya penting untuk dihadam oleh semua.
Lebih-lebih lagi di dalam Buku 30 Hari Mencari Tuhan, pastilah kita mahu memahami akan hakikat sebenar kehidupan kita ini, bukan?
Datang DaripadaNya dan Kembali KepadaNya
Soalan pertama dan ketiga, adalah soalan yang biasanya diberikan jawapan terlebih dahulu. Dan bagi seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT, sudah pasti jawapan saya adalah kita datang daripada Allah SWT, dan kita akan kembali kepada Allah SWT juga.
Ini berdasarkan firman-firman Allah SWT:
“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari kiamat, sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui“ Surah Al Hajj ayat 5.
“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.“ Surah Al-Baqarah ayat 156.
Di sini kita memahami bahawa titik mula kita adalah Allah SWT. Dia yang menciptakan kita. Daripada tiada kepada ada, Dialah yang memilih kita untuk ‘ada’.
Dan kita juga memahami dari jawapan ini bahawa, apabila kita mati, pengakhiran kita adalah kembali kepada Allah SWT. Di sana kita akan berdiri di hadapanNya, dihitung dan dinilai akan setiap detik kehidupan kita di atas muka bumi ini. Kemudian keputusan akan diumumkan, sama ada kita akan ke syurgaNya atau ke nerakaNya.
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik). Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 88-91.
Di sini kita melihat bahawa kita ini ada ‘pemilik’.
Yang mana pemilik ini telah mencipta kita, dan Dia akan memanggil kita kembali.
Logiknya
Bila kita datang daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah SWT, apakah logiknya yang patut berlaku di tengah-tengah antara dua perkara tersebut?
Apakah kita patut buat sesuka hati kita? Hidup mengikut hawa nafsu dan buat apa sahaja yang kita rasa nak buat?
Apakah kita patut sibukkan diri kita dengan kelalaian dan kealpaan, serta memenuhi kehidupan kita dengan perkara yang sia-sia?
Atau sebenarnya kita patut faham bahawa, jika kehidupan kita ini datangnya daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah, bukankah yang masuk akal ialah, antara dua perkara tersebut, yang kita perlu lakukan ialah apa yang memenuhi keredhaan Allah SWT?
Ya.
Itulah dia jawapan kepada soalan yang kedua.
“Mengapa kita didatangkan?”
Adalah untuk memenuhi misi yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita.
Misi Kita
Allah SWT tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Jika Allah SWT menciptakan kita untuk bermain-main, maka pastilah tidak akan wujud penilaian di akhirat kelak.
Wujudnya penilaian di akhirat kelak menandakan bahawa ada perkara yang patut kita lakukan apabila hidup di atas muka bumi.
Di sini, perlu kita tanamkan dengan kuat di dalam diri dan jiwa kita, akan dua firman Allah SWT:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin menjadikan untuk bumi itu khalifah(pentadbir).”Surah Al-Baqarah ayat 30.
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepadaKu).” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.
Dua ayat ini jangan sesekali dipisahkan. Kerana kedua-duanya perlu diletakkan bersama untuk kita menggapai makna sebenar tujuan kita didatangkan di atas muka bumi ini.
Kita punya tugas untuk mentadbir bumi ini, agar segala isinya tunduk kepada pengabdian terhadap Ilahi. Itulah misi kita.
Misi ini membuatkan Islam menjadi sebuah cara hidup, dan bukan semata-mata agama yang tersekat di pagar-pagar masjid dan di sekitar sejadah sahaja. Misi ini membuatkan seluruh kehidupan, menjadi sebuah ibadah kepada Allah SWT. Kerana kita telah menyerahkan diri kita kepadaNya, untuk memenuhi misi ini.
Maka kita tidak boleh menganggap yang keberadaan kita di atas muka bumi ini adalah untuk bermain-main sahaja. Untuk hidup, bernafas, kemudian mati. Untuk kumpul duit, kemudian mati. Untuk berasmara, kemudian mati. Tidak dan tidak.
Kita ada tanggungjawab untuk memimpin. Kalau bukan sebagai pemimpin berjawatan, kita tetap perlu memimpin diri sendiri dan keluarga kita. Memimpin ke arah mana? Ke arah ketaatan kepada Allah SWT tadi. Dengan itu, kita juga perlu sedar bahawa diri kita sendiri perlulah pertamanya tunduk kepada Allah SWT.
Itulah dia misi kita.
Dan kita akan dinilai dengan misi ini.
Apakah kita melaksanakannya?
Memenuhkan Kehidupan
Datang daripada Allah, kembali kepada Allah, maka hidup pastilah untuk Allah SWT.
Kita akan berdiri di hadapanNya.
Ketika itu tiada apa yang dapat menyelamatkan kita, melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Maka apakah kita hidup, dengan kehidupan yang mencari keredhaanNya? Atau selama ini kita telah bazirkan kehidupan kita dengan menjemput kemurkaanNya?
Di sinilah kita perlu menilai kembali diri kita.
Laksanakan muhasabah.
Sesungguhnya kehidupan kita bukan sebuah kehidupan yang akan terhenti dan pergi begitu sahaja. Selepas kehidupan ini, kita akan kembali berhadapan dengan Allah SWT yang telah menciptakan kita.
Apakah kita mahu bertemu denganNya, dalam keadaan kita tidak berusaha untuk memenuhi kehendakNya?
Dipetik daripada : http://langitilahi.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan