Rasulullah Model Guru Unggul
Oleh: Asri bin Md
Saman @ Osman
Allah SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa sesungguhnya Rasulullah
SAW merupakan pendidik kepada semua manusia. Antaranya firman Allah yang
bermaksud :
“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang
(Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka
sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan
keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat),
serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang
mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum
(kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
Surah al-Jumuah : 2
Selain dalil al-quran, hadis daripada Abdullah bin amru bin
al-Asr juga membuktikan bahawa baginda SAW adalah pendidik :
“Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari bilik dan masuk
ke dalam masjid. Di dalamnya terdapat dua kelompok, satu sedang membaca
al-Quran dan berdoa kepada Allah dan satu lagi sedang berada di dalam majlis
ilmu. Lalu baginda bersabda ; kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama
membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah nescaya akan diqabulkan doa-doa mereka
atau tidak diqabulkannya. Manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar dan
sesungguhnya daku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik. Lantas baginda
SAW duduk bersama mereka (Golongan majlis ilmu)
Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW
adalah pendidik terunggul dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun.
Baginda mampu mendidik manusia yang begitu rosak akhlaknya sebelum kedatangan
baginda bertukar secara mendadak menjadi positif dan mampu mengamalkan akhlak
yang terpuji.Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan
perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi,relevan dan sesuai
untuk dipraktikkan di sepanjang zaman.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang
kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan
duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata
kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.
Iktibar yang boleh diambil daripada kisah
itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan
kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap
berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.
Menegur kesalahan seseorang dengan cara
berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan
dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh
seharusnya diikuti guru.
Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar
perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan
mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa
memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.
Imam al-Ghazali pernah menggariskan
beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar
menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah
bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.
Guru yang penyabar dan penyayang akan
berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan
menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.
Selain itu, guru juga perlu bersedia
menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya
proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.
Diriwayatkan daripada Abu Musa,
Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk)
dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang
turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air
dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah
yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal
Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus
dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang
tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang
yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang
menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan
mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa
yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk
dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru serta watak. Justeru guru perlu bijak dalam menangani masalah yang timbul semasa berhadapan dengan pelajar terutama pada zaman yang penuh dengan dugaan ini. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses
pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada
pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang
pelajar. Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar
dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.
Bagi seseorang pelajar pula perasaan
kasih dan sayang terhadap guru perlu sentiasa tersemai di dalam jiwa
masing-masing. Jangan ada sama sekali perasaan benci pada guru walaupun
tindakannya adakala mengecewakan kita. Hubungan dengan guru adalah berterusan
dari dunia hingga akhirat. Tambahan pula, Islam mengiktiraf guru sebagai
orang yang berjasa melalui didikan dan bimbingannya yang mengeluarkan kita
dari yang kurang baik kepada lebih baik, dari kejahilan kepada
berpengetahuan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Muliakan orang yang kamu
belajar daripadanya”.
(Al-Mawardi)
Kesimpulannya, guru yang memberi dan
menyebarkan ilmu yang berguna merupakan insan yang mulia di sisi Allah. Nabi pernah bersabda,
maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya
kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan
daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Diriwayatkan
oleh Abu Hurairah)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan
Islam dan Moral,
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman
06000 Jitra, Kedah Darul Aman.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan