Jumaat, 12 Mei 2017

SELAMAT HARI GURU...TERIMA KASIH CIKGU

Rasulullah Model Guru Unggul
Oleh: Asri bin Md Saman @ Osman

Allah SWT telah menegaskan dalam al-Quran bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan pendidik kepada semua manusia. Antaranya firman Allah yang bermaksud :

“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
Surah al-Jumuah : 2

Selain dalil al-quran, hadis daripada Abdullah bin amru bin al-Asr juga membuktikan bahawa baginda SAW adalah pendidik :
“Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid. Di dalamnya terdapat dua kelompok, satu sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah dan satu lagi sedang berada di dalam majlis ilmu. Lalu baginda bersabda ; kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah nescaya akan diqabulkan doa-doa mereka atau tidak diqabulkannya. Manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar dan sesungguhnya daku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik. Lantas baginda SAW duduk bersama mereka (Golongan majlis ilmu)

Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi SAW adalah pendidik terunggul dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa pun. Baginda mampu mendidik manusia yang begitu rosak akhlaknya sebelum kedatangan baginda bertukar secara mendadak menjadi positif dan mampu mengamalkan akhlak yang terpuji.Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi,relevan dan sesuai untuk dipraktikkan di sepanjang zaman.
        
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.


Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.

Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru serta watak. Justeru guru perlu bijak  dalam menangani masalah yang timbul  semasa berhadapan dengan pelajar terutama pada zaman yang penuh dengan dugaan ini.
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud) 
Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang pelajar. Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.
        
Bagi seseorang pelajar pula perasaan kasih dan sayang terhadap guru perlu sentiasa tersemai di dalam jiwa masing-masing. Jangan ada sama sekali perasaan benci pada guru walaupun tindakannya adakala mengecewakan kita. Hubungan dengan guru adalah berterusan dari dunia hingga akhirat. Tambahan pula, Islam mengiktiraf guru sebagai orang yang berjasa melalui didikan dan bimbingannya yang mengeluarkan kita dari yang kurang baik kepada lebih baik, dari kejahilan kepada berpengetahuan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya”.
(Al-Mawardi)    

Kesimpulannya, guru yang memberi dan menyebarkan ilmu yang berguna merupakan insan yang mulia di sisi Allah. Nabi pernah bersabda, maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.



Khamis, 13 Oktober 2016

TETAMU AL HARAMAIN




Alhamdulillah....Alhamdulillah....Alhamdulillah....tiada ungkapan yang selayaknya khusus bagi Allah Rabbul Jalil yang telah memilih hamba yang kerdil ini sebagai Dhuyufur Rahman melalui Programe of the Guess of the Custodian of the Two Holly Mosque for Hajj-King Salman bin Abdulaziz Alsaud.


Catatan pengalaman sebagai Dhuyufur Rahman 1437H :

29 Ogos 2016
Mendapat berita yang amat mengembirakan melalui aplikasi whatsapp....jemputan sebagai tetamu bagi Haji 1437H


31 Ogos 2016
Perjumpaan khas bersama Duta Kerajaan Arab Saudi di Jalan U Thant, Kuala Lumpur...menerima surat jemputan, set ihram termasuk sepasang selipar, Subhanallah.


03 September 2016
10.15 am - Bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas Alor Setar dengan pesawat Malaysia Airlines ke KLIA (terima kasih sahabat Tn Hj Abd Aziz bin Hassan @ Yahya) yang membantu membeli tiket dari AOR-KUL...

11.20 am - mendarat di KLIA
3.00 ptg - Berkumpul di kaunter penerbangan Antarabangsa KLIA dan diberikan taklimat bahawa jemaah akan menunaikan haji tamattuk.

5.00 ptg - Boarding Pass-kebanyakkan jemaah telah siap dengan ihram
6.00 ptg - Berlepas  dari KLIA ke Jeddah dengan pesawat Saudi Arabia Airlines


Tiba di Jeddah Airport jam 2.08pagi waktu tempatan 9.07mlm. Rombongan disambut oleh para petugas Haramain. Ujian Allah salah seorang daripada ahli rombongan (Saudara Yusri) mengalami masalah tekanan darah dan telah diberi bantuan segera oleh petugas. Urusan Imegresen di Jeddah Alhamdulillah dipermudahkan Allah SWT. Jemaah dibawa oleh petugas menaiki bas yang telah menunggu di ruang luar Airport. sebaik semua jemaah menaiki bas, Alhamdulillah petugas mengagihkan makanan nasi ayam bungkus..memang menyelerakan kerana terllalu lapar...

4.00 am - tiba diHotel Takamul@Casablanca-jemaah telah disambut dilobby hotel dan sesi fotografi oleh media arab. oleh kerana waktu subuh hampir masuk jemaah diminta menunaikan solat subuh di masjid yang terdapat dihotel berkenaan.

04 September 2016
07.00 am : bertolak ke haram dgn bas khas yang disediakan bagi melengkapkan umrah...Alhamdulillah ..diizinkan Allah mengucup Hajarul Aswad.Allahu Akbar!!!


05 September 2016
3.20 am : bertolak ke haram...diuji Allah solat subuh berdekatan laluan jenazah

08 Zulhijjah
5ptg waktu mekah - bertolak dari hotel ke Arafah dengan diiringi peronda polis dan ambulan
9.00 mlm : tiba di arafah..Subhanallah 


09 Zulhijjah - HARI WUQUF
12.20 : masuk waktu zohor - solat zohor dan asar jamak
selepas khutbah arafah jemaah mencari tempat sendiri untuk bermunajat

5.30 ptg : berkumpul utk bertolak ke Muzdalifah.

8.20 mlm : tiba di Muzdalifah...Subhanallah setiap bas parking di tepi jalan dan disediakan alas / karpet utk jemaah bas tersebut..solat maghrib dan isyak jamak-disediakan makanan-tunggu hingga tengah malam /aktiviti kutip batu dan bermunajat- bertolak ke mina dan tiba jam 1.30 pagi. Alhamdulillah.

10 Zulhijjah
8.15 am : melontar di jamrah aqabah-waktu afdhal melontar pada hari pertama adalah sewaktu dhuha..Alhamdulillah diizinkan Allah. Selesai melontar lebih kurang jam 10.30 pagi.

Bercukur - Terima kasih diucapkan buat seorang tetamu dari afrika yang sudi mencukur rambut secara ikhlas. Bila dihulur wang, menolak dan berkata Lillahi Taala...Subhanallah.
Alhamdulillah boleh menanggalkan ihram haji (Tahallul)

11 Zulhijjah
Melontar di ketiga-tiga jamrah selepas waktu zohor (waktu afdhal). selepas melontar terus balik ke Haram bagi melaksanakan tawaf ifadhah dan saie. alhamdulillah selesai tawaf dan saie hampir waktu maghrib.

Bertolak balik ke hotel- siap diri dan bertolak ke Mina menaiki teksi-berjalan- tiba di khemah Mina sebelum tengah malam..syukur- sahabat-sahabat risau. Alhamdulillah.

12 Zulhijjah
Melontar hari ketiga di ketiga-tiga jamrah dan terus meninggalkan bumi Mina (Nafar Awal)

13 Zulhijjah
Meninggalkan hotel Casablanca waktu tengah malam (12 Zulhijjah) dan singgah solat subuh di perhentian antara Mekah dan Madinah.

Tiba di Bumi Madinah AlMunawwarah sebelum waktu Zohor. Alhamdulillah check in hotel - sebilik dengan Abe Wie & Ust De'.

Zohor di Masjidil Nabawi..Alhamdulillah

14 Zulhijjah / 16 September 2016
bertolak ke Airport Madinah selepas asar. Tiba hampir maghrib. Check in - solat jamak taqdim di airport. Flight delay- Madinah-Jeddah. tengah malam baru bertolak dari Madinah. tiba di Jeddah flight utk ke Kuala Lumpur siap menunggu. jam 2.00 pagi terbang dari Jeddah ke KUL.


15 Zulhijjah / 17 September 2016
Alhamdulillah selamat mendarat di KUL jam 4ptg. Ujian Allah beg tak sampai sebab bila flight Madinah-Jeddah delay dan sampai di Jeddah lewat petugas airport tidak sempat menurun barang utk dipindah ke dalam flight ke KUL. Buat report di KLIA.

7.15 ptg bertolak KUL-AOR dengan penerbangan Malaysia MAS- terpaksa mendarat di Penang Airport sebab kekurangan minyak-isi minyak dan selamat mendarat di LTSAH Kepala Batas jam 11.15 mlm. Subhanallah alhamdulillah Allahu Akbar.

14 hari menunaikan fadhu HAJI - 3/9 hingga 17/9/2016







Jumaat, 15 Julai 2016

LABBAIKALLAHUMMA LABBAIK....




PARA TETAMU ALLAH HAJI 1437H


Sebaik sahaja selesai menyambut 1 Syawal dan melaksanakan puasa sunat 6 Syawal, kini umat Islam memfokuskan pula perhatian dan persiapan melaksanakan rukun Islam ke 5 iaitu ibadah Haji. Syukur dan beruntunglah bagi mereka yang telah dipilih untuk melaksanakan kefardhuan haji pada tahun ini. Namun bagi mereka yang belum mendapat apa-apa maklumat daripada TH, in sha Allah teruskan berdoa mudah-mudahan dijemput oleh ALLAH SWT sebagai tetamunya...LA HAU LA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH....Berdoa dan teruskan berdoa...Allahuma Ameen..

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.