Bertawakal kepada Allah SWT adalah penting dalam
diari kehidupan seorang Muslim
Bertawakal ialah berserah diri kepada Allah SWT setelah segala usaha dan
ikhtiar dilakukan terlebih dahulu. Menurut Prof Dr Yusuf Al-Qardawi tawakal
ialah, apabila seorang manusia menyusun dan mengatur persiapan, persediaan,
strategi dan daya usaha akhirnya dia menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT.
Firman
Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 122 yang bermaksud:
“Kepada Allah sahajalah hendaknya
orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).”
Firman Allah SWT dalam
Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud :
“Kemudian apabila engkau
telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada
Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”.
Firman Allah SWT dalam
Surah At-Talaaq ayat 3 yang bermaksud :
“Sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Sabda Nabi SAW yang
bermaksud : Dari Umar bin Khattab RA
berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya kalian
benar-benar bertawakal kepada Allah SWT dengan tawakal yang sebenar-benarnya,
sungguh kalian akan diberi rezeki (oleh Allah SWT), sebagaimana seekor burung
diberi rezeki; di mana ia terbang pada waktu pagi dalam keadaan lapar, dan
pulang di waktu petang dalam keadaan kenyang” (HR. Ahmad, Tirmizi dan Ibnu
Majah).
Berdasarkan
hadis di atas dapatlah kita fahami bahawa tawakal merupakan perkara ketiga
selepas kita berusaha dan berdoa kepada Allah SWT memohon apa yang kita hajati.
Ianya saling berkait rapat antara satu sama lain dalam mencapai sesuatu
matlamat.
Namun
dalam masyarakat Islam kini terdapat salah faham terhadap konsep tawakal iaitu
hanya bertawakal bulat-bulat kepada Allah SWT tanpa dimulai dengan usaha apatah
lagi doa. Apabila tidak mendatangkan natijah yang baik, maka mereka akan
menyalahkan taqdir.
Fenomena
ini telahpun berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagaimana dalam sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, ada seorang Arab Badawi yang datang ke
masjid dan meninggalkan untanya tanpa diikat. Kemudian dia terus masuk ke
masjid dan menganggap tindakannya itu sebagai tawakal kepada Allah. Rasulullah
yang melihat kejadian berkenaan segera datang kepadanya dan bersabda: “Ikatlah
unta itu dan bertawakallah kepada Allah.”
Bahkan pada Zaman Imam Abu
Hanifah terdapat sebuah kisah berkaitan salah faham tentang konsep tawakal di
mana pada zaman tersebut terdapat seorang lelaki yang terkenal dengan sikap
malas. Pada suatu hari, sewaktu Imam Abu Hanifah berjalan melintasi rumah
seorang miskin, dia terdengar keluhan lelaki itu: “Aduhai, alangkah malang
nasib ini, tiada yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini, sejak pagi
tiada seorang pun yang sudi memberi curahan air walaupun setitik.” Imam Abu
Hanifah yang mendengar keluhan itu kemudiannya mencampakkan bungkusan kecil
yang mengandungi wang. Namun keesokannya, Imam Abu Hanifah sekali lagi
melintasi rumah si miskin itu dan terdengarlah pula keluhannya: “Ya Allah Yang
Maha Belas Kasihan, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti semalam,
sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika tidak Tuhan
beri, akan lebih sengsaralah hidupku.” Sekali lagi Imam Abu Hanifah
mencampakkan bungkusan yang mengandungi wang, tetapi kali ini dengan nota: “Hai
sahabat, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan
berusaha. Perbuatan demikian ‘malas’ namanya. Putus asa kepada kebenaran dan
kekuasaan Allah. Sungguh tidak reda Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa,
enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. “Jangan berbuat demikian. Hendak
senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin
datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak sepatutnya duduk
diam tetapi harus bekerja dan berusaha. “Allah tidak akan perkenankan
permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan memenuhi doa orang yang
berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu.
Berikhtiarlah sedaya mungkin dengan pertolongan Allah. Insya-Allah, kamu akan
dapat memiliki pekerjaan selama kamu tidak berputus asa.” Sebenarnya apa yang
dimaksudkan ialah tawakal.
Nabi
Muhammad SAW telah mengajar kita dan meminta kita sebagai umat baginda
mengamalkan doa ini yang bermaksud :
“Dengan
nama Allah, aku serahkan semuanya kepada Allah, sebab tiada daya dan upaya
kecuali atas pertolonganNya”.
Justeru umat Islam perlu
membuat anjakan paradigma. Bangunlah berusaha selagi dikurniakan kudrat oleh
Allah SWT dengan memberi komitmen dan kesungguhan dalam apa jua bidang yang
kita ceburi. Usahlah hanya memeluk tubuh kononnya mengamalkan konsep tawakal
sedangkan tawakal yang dilakukan itu jauh menyimpang daripada ajaran agama yang
sebenarnya.
Dalam
konteks sebagai ibu bapa sewajarnya kita memperbanyakkan menyebut dan
menceritakan tentang kelebihan tawakal kepada anak-anak agar akan lahir nanti
generasi yang sentiasa sabar dalam menghadapi kesukaran dan kepayahan dalam
kehidupan lebih-lebih dalam menempuh zaman yang kian mencabar. Sesungguhnya
Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang
berusaha mengubahnya.
Firman
Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud :
“Sesungguhnya
Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Firman
Allah SWt dalam surah At-Taubah ayat 59 yang bermaksud :
“Dan
(amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh
Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata :”Cukuplah Allah bagi
kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikianlah juga
RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.”