Sabtu, 12 Januari 2013

Maskahwin Dalam Islam


Sebaik sahaja cuti persekolahan bermula, maka ramailah ibu bapa mengambil peluang untuk melangsungkan majlis walimah anak-anak mereka. Satu perkara yang sering dikaitkan dengan majlis walimah adalah soal maskahwin.

Maskahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh si suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, samada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak dapat dinilai dengan wang. Maskahwin wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut semasa akad nikah. Jika maskahwin disebut dalam akad akan dibayar secara tunai oleh suami, isteri berhak menghalang suami dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisaa’ ayat 4 yang bermaksud :
” Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka.”

Seterusnya Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi .” (Hadis Riwayat Bukhari)


Mutakhir ini, fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita ialah meletakkan maskahwin dan hantaran perkahwinan yang tinggi. Justeru perkahwinan yang pada asalnya merupakan suatu sunnah telah bertukar seolah-olah perkahwinan itu satu perlumbaan dan perlawanan harga. Masing-masing keluarga akan meletakkan maskahwin dan hantaran yang tinggi sehingga membebankan pengantin lelaki dan yang paling digeruni bisa menghilangkan keberkatan perkahwinan tersebut.

Menurut sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) negeri yang tertinggi nilai maskahwin adalah Negeri Sarawak iaitu RM120 bagi anak dara dan janda dan negeri yang terendah nilai maskahwin ialah Johor dan Pahang iaitu sebanyak RM22.50.Namun terdapat negeri-negeri yang tidak menetapkan nilai maskahwin iaitu Negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu telah disyorkan juga nilai hantaran berbeza mengikut taraf pendidikan. Perempuan yang memiliki UPSR dan PMR hantaran yang disyorkan adalah antara 2 ribu hingga 4 ribu ringgit, SPM 4 ribu hingga 8 ribu ringgit, STPM dan diploma 8 ribu hingga 12 ribu ringgit, Ijazah 12 ribu hingga 15 ribu ringgit, Ijazah Sarjana 15 ribu hingga 20 ribu ringgit dan Ijazah Kedoktoran antara 20 ribu hingga 30 ribu ringgit.

Justeru, marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang hakiki, terutama dalam soal nilai maskahwin. Ini kerana Ibnu Abbas RA pernah meriwayatkan bahawa baginda Nabi SAW telah berpesan dengan sabda baginda yang bermaksud :
“Sesungguhnya wanita yang terbaik ialah yang paling ringan maskahwinnya.”

Seterusnya baginda SAW berpesan lagi yang bermaksud :
“Keberkatan terbesar di dalam perkahwinan, ialah perkahwinan yang paling ringan bebannya.”

Para ulamak sebulat suara menyatakan bahawa tidak ada batas maksima dalam menentukan maskahwin. Namun keberkatan sesuatu perkahwinan bergantung kepada keringanan dan kemudahan dalam urusan maskahwin.

Saidina Umar al-Khattab juga telah berpesan kepada pada wali dan ibu bapa iaitu : “Janganlah kamu meminta maskahwin terlampau tinggi bagi anak-anak perempuanmu, kerana Rasulullah SAW sendiri tidak pernah bernikah atau menikahkan puteri baginda dengan maskahwin lebih daripada empat dirham. Jika kamu beranggapan maskahwin yang tinggi itu merupakan kemuliaan di dunia aatau dipandang sebagai ketaqwaan di akhirat, maka hendaklah kamu mengikuti jejak baginda Rasulullah SAW.”

Dalam menyulusuri sirah baginda SAW, pernah baginda SAW menikahkan seorang miskin yang tidak mampu memberi maskahwin, lalu baginda SAW meminta supaya lelaki itu berusaha membeli cincin besi. Lalu lelaki tersebut berusaha mencarinya dan apabila dating bertemu baginda SAW lelaki tersebut memberitahu baginda SAW bahawa dia tidak berhasil mendapatkan cincin besi. Lalu baginda SAW bertanya :”Apakah engkau menghafaz bahagian-bahagian al-Quran?. Lelaki berkenaan menjawab :”Ya Rasulullah . Surah ini dan surah itu.”. lalu Baginda Rasulullah SAW memutuskan bahawa ,”Baiklah, engkau ku nikahkan dengan apa yang ada padamu, iaitu bahagian-bahagian dari al-Quran itu.”

Ayuh wahai ibu bapa, marilah kita berusaha kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Yakinlah dengan janji Nabi SAW. Jauhilah daripada budaya meletakkan maskahwin yang berlebihan kerana itu adalah sebahagian daripada amalan jahiliyyah. Sekiranya ramai ibu bapa yang memikirkan soal nilai maskahwin yang tinggi, nescaya akan merumitkan dan mempersulitkan perkahwinan anak-anak, bahkan akan melenyapkan keberkatan dalam perkahwinan. Oleh itu, permudahkan urusan walimah anak-anak kita mudah-mudahan ikatan perkahwinan yang dibina akan diberkati Allah SWT buat selama-lamanya. Permudahkanlah dan ringankanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah SAW sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan dan kesederhanaan Islam, bukan dengan kenduri yang penuh dengan kemungkaran, kemegahan dan pembaziran.


Sesungguhnya Islam adalah agama yang mudah dan praktikal. Buktinya, telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam FirmanNya dalam surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud :
“Allah sama sekali tidak mewajibkan hal-hal yang berat atas kamu dalam hal agama”

Firman Allah SWT lagi dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :
“Allah mengkehendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mengkehendaki kesukaran bagi kamu.”

Kemudahan yang dimaksudkan Islam merangkumi semua urusan kehidupan selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. ini termasuk urusan perkahwinan. Apa yang terlebih penting adalah perkahwinan anak-anak kita diberkati Ilahi. Dengan keberkatan itulah akan dikurniakan Allah SWT zuriat yang soleh dan solehah seterusnya keluarga yang cemerlang sebagai penyambung tugas khalifah di atas muka bumi Allah SWT yang sementara ini sebelum kita tiba ke destinasi kehidupan yang kekal abadi.


Rabu, 7 November 2012

Contohi Rasulullah Bimbing Isteri


Suami perlu amanah hiasi rumah tangga dengan mawaddah, rahmah

Isteri adalah amanah Allah kepada suami, begitu juga sebaliknya. Apabila disebut sebagai amanah bermakna ia bakal ditanya dan disoal di akhirat kelak. Mengikut Imam al-Ghazali perkara yang paling berat untuk dilaksanakan adalah amanah.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada di sampingmu, barang siapa tidak memerintahkan supaya isterinya mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka ia khianat kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Kes keganasan rumah tangga

Penulis berkesempatan mengikuti perbicaraan kes di Mahkamah Rendah Syariah di sebuah daerah di utara tanah air baru-baru ini. Agak memeranjatkan apabila realitinya masih banyak kes membabitkan keganasan dalam rumah tangga terutama kes suami memukul isteri sehingga mendatangkan kecederaan serius berlaku.

Akhirnya isteri memohon fasakh dan lebih menyedihkan lagi jika pasangan mempunyai anak, maka zuriat menjadi mangsa. Fenomena ini berlaku disebabkan si suami tidak merasai bahawa isteri yang dinikahinya itu adalah amanah Allah SWT untuk menjaganya.

Rasulullah berpesan yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila seorang suami menatap isterinya dan isterinya membalas pandangan (dengan penuh rasa kasih sayang), maka Allah menatap mereka dengan pandangan kasih mesra dan jika suami membelai tangan isterinya, maka dosa mereka jatuh berguguran disela-sela jari tangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Sa’id)

Betapa hebatnya ganjaran Allah buat suami isteri yang menghiasi rumah tangga yang dibina dengan mawaddah dan rahmah.
Sabda Baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti.”

Garis panduan tangani isteri nusyuz

Islam meletakkan garis panduan jelas bagi suami dalam menangani masalah isteri nusyuz atau derhaka. Namun tindakan mencederakan isteri dengan alasan isteri derhaka tidak dibenarkan oleh syarak. Apatah lagi kekasaran itu dilakukan disebabkan ketidakpuasan hati terhadap isteri atas perkara kecil. Rasulullah SAW menasihatkan suami yang memukul isterinya dengan sabda:
“Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba kerana pada akhirnya kamu akan menidurinya juga.”

Jadikan kisah yang berlaku kepada Saidina Umar al-Khattab sebagai panduan. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki pergi ke rumah Umar untuk mengadu perihal isterinya. Maka dia berhenti di hadapan pintu rumah Umar sambil menunggu beliau keluar.

Ketika itu lelaki itu terdengar isteri Umar meleteri beliau dan khalifah itu hanya berdiam saja. Melihat yang demikian, lelaki itu terus pulang ke rumahnya sambil berkata sendirian: “Jika itu tindakan Umar terhadap isterinya sedangkan umum mengetahui sikap Umar yang garang dan tegas, maka siapalah aku ini.”

Akan tetapi Umar ternampak lelaki ini melewati hadapan rumahnya dan lantas memanggil lelaki itu bertanyakan tujuan dia datang mencarinya.

Lelaki itu berkata:“ Wahai Amirul Mukminin aku datang ke rumahmu untuk mengadu perihal isteriku yang suka meleteriku, akan tetapi aku terdengar isterimu juga meleterimu, sedangkan engkau seorang Amirul Mukminin.”

Maka Umar menjawab: “Wahai saudaraku, aku berdiam ketika isteriku meleteriku kerana isteriku sudah menunaikan segala haknya ke atasku, dia yang memasak untukku, membuat roti untukku, membasuh segala bajuku dan menyusukan semua anak-anakku, sedangkan semua itu bukanlah perkara yang wajib dilakukannya. Apabila aku ingat kembali semuanya itu aku tidak memarahinya kerana berleter.

Berkata lelaki itu: “Begitu jugalah perihal isteriku”. Jawab Umar: “Ingatlah segala jasanya padamu, sesungguhnya keadaan itu hanyalah sementara.”

Isteri sebagai teman

Ringkasnya, wahai suami, marilah kita contohi Baginda Nabi Muhammad SAW, Umar dan sahabat lain dalam mengemudi rumah tangga. Jadikanlah isteri sebagai teman. Jika suami impikan isteri solehah sudah pasti kita sendiri perlu berusaha menjadi seorang suami soleh.

------------------------------------------------------------------------------------------
Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Agama Berita Harian versi 8 November 2012

Sabtu, 3 November 2012

Ziarah Tidak Kira Musim



Islam agama yang mementingkan persaudaraan dan persahabatan menuntut umatnya menjaga hubungan silaturahim. Salah satu cara memantapkan persaudaraan dan persahabatan ialah melalui amalan ziarah dan kunjung mengunjung. 

Amalan ini tidak terhad pada masa tertentu seperti Aidilfitri atau Aidiladha kerana hubungan persaudaraan perlu dipelihara.
 
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10) 

Amalan ziarah dan kunjung mengunjungi amat disukai Nabi lebih-lebih lagi ketika dalam kesibukan rutin harian. Orang yang memutuskan hubungan silaturahim sesama Islam adalah berdosa besar dan dimurkai Allah SWT.
 



Kelebihan amalan ziarah
 

Kelebihan amalan ziarah bagi tujuan menghubungkan silaturahim telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya: “Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya: Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya: Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu peroleh darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya.” (Riwayat Muslim)
 

Betapa hebatnya kelebihan bagi seorang Muslim yang mengunjungi saudaranya dengan niat untuk menghubungkan silaturahim. Seterusnya galakan ini turut disampaikan Saidina Ali, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang telah menziarahi saudara seIslamya, sebenarnya dia telah berjalan-jalan memetik buahan syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk maka rahmat menaunginya. Jika di waktu pagi maka 70,000 malaikat berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu petang. Jika di waktu petang, maka 70,000 berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu pagi.” (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud)
 
Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman maksudnya: “Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah).” (Riwayat Ahmad)
 


Mendapat kasih sayang Allah
 

Mereka yang berkasih sayang dan saling menziarahi kerana Allah akan mendapat kasih sayang Allah. Marilah bersama merebut peluang yang ditawarkan dengan ziarah menziarahi.
 

Berdasarkan al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan serta adab perlu diberi perhatian ketika berziarah ialah berniat baik di atas kunjungannya, jangan dibezakan orang kaya atau miskin, terimalah undangan pihak yang mengundang serta mengelak daripada terbabit aktiviti syubhat.
 

Ketika berkunjung, hendaklah memilih waktu yang sesuai dan cuba elak berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan waktu itu tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.
 

Selaku tetamu, sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud)
 

Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW: “Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat.” (Riwayat Muslim)
 



Enggan ziarah sanak saudara
 

Bagaimanapun, ada antara kita yang kurang gemar melakukan amalan ziarah menziarahi dan lebih malang apabila enggan menziarahi sanak saudara. Sebahagiannya lebih gemar menghabiskan masa hujung minggu melayari internet, bersosial melalui facebook dan ketagihan permainan elektronik.
 

Persaudaraan yang dibina di dunia berasaskan ketakwaan akan berterusan hingga ke akhirat. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati hidup kita, melapangkan segala kesulitan dan membuka rahmatNya dengan seluas-luasnya.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian pada Oktober 2012

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.