Sabtu, 30 Januari 2016

TANYALAH DIRI SENDIRI

Dari mana kita datang?
Kenapa kita didatangkan?
Ke mana kita akan pergi?
Tiga soalan ini sangat popular dalam mengupas perihal kehidupan seorang manusia. Sebagai seorang yang dibesarkan di dalam proses tarbiyah islamiyyah, saya didedahkan dengan tiga soalan ini agak awal di usia remaja saya.
Ia membentuk perspektif kehidupan saya. Dan dalam kebanyakan buku motivasi yang saya tulis, saya memang akan menyelitkan perbincangan berkait tiga soalan ini di dalamnya. Kerana saya sendiri kira, ianya penting untuk dihadam oleh semua.
Lebih-lebih lagi di dalam Buku 30 Hari Mencari Tuhan, pastilah kita mahu memahami akan hakikat sebenar kehidupan kita ini, bukan?

Datang DaripadaNya dan Kembali KepadaNya
Soalan pertama dan ketiga, adalah soalan yang biasanya diberikan jawapan terlebih dahulu. Dan bagi seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT, sudah pasti jawapan saya adalah kita datang daripada Allah SWT, dan kita akan kembali kepada Allah SWT juga.
Ini berdasarkan firman-firman Allah SWT:
“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari kiamat, sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian  daripada air mani, dari  air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi  orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan   hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui“  Surah Al Hajj ayat 5.
“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Surah Al-Baqarah ayat 156.
Di sini kita memahami bahawa titik mula kita adalah Allah SWT. Dia yang menciptakan kita. Daripada tiada kepada ada, Dialah yang memilih kita untuk ‘ada’.
Dan kita juga memahami dari jawapan ini bahawa, apabila kita mati, pengakhiran kita adalah kembali kepada Allah SWT. Di sana kita akan berdiri di hadapanNya, dihitung dan dinilai akan setiap detik kehidupan kita di atas muka bumi ini. Kemudian keputusan akan diumumkan, sama ada kita akan ke syurgaNya atau ke nerakaNya.
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik). Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 88-91.
Di sini kita melihat bahawa kita ini ada ‘pemilik’.
Yang mana pemilik ini telah mencipta kita, dan Dia akan memanggil kita kembali.

Logiknya
Bila kita datang daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah SWT, apakah logiknya yang patut berlaku di tengah-tengah antara dua perkara tersebut?
Apakah kita patut buat sesuka hati kita? Hidup mengikut hawa nafsu dan buat apa sahaja yang kita rasa nak buat?
Apakah kita patut sibukkan diri kita dengan kelalaian dan kealpaan, serta memenuhi kehidupan kita dengan perkara yang sia-sia?
Atau sebenarnya kita patut faham bahawa, jika kehidupan kita ini datangnya daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah, bukankah yang masuk akal ialah, antara dua perkara tersebut, yang kita perlu lakukan ialah apa yang memenuhi keredhaan Allah SWT?
Ya.
Itulah dia jawapan kepada soalan yang kedua.
“Mengapa kita didatangkan?”
Adalah untuk memenuhi misi yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita.
Misi Kita
Allah SWT tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Jika Allah SWT menciptakan kita untuk bermain-main, maka pastilah tidak akan wujud penilaian di akhirat kelak.
Wujudnya penilaian di akhirat kelak menandakan bahawa ada perkara yang patut kita lakukan apabila hidup di atas muka bumi.
Di sini, perlu kita tanamkan dengan kuat di dalam diri dan jiwa kita, akan dua firman Allah SWT:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin menjadikan untuk bumi itu khalifah(pentadbir).”Surah Al-Baqarah ayat 30.
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepadaKu).” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.
Dua ayat ini jangan sesekali dipisahkan. Kerana kedua-duanya perlu diletakkan bersama untuk kita menggapai makna sebenar tujuan kita didatangkan di atas muka bumi ini.
Kita punya tugas untuk mentadbir bumi ini, agar segala isinya tunduk kepada pengabdian terhadap Ilahi. Itulah misi kita.
Misi ini membuatkan Islam menjadi sebuah cara hidup, dan bukan semata-mata agama yang tersekat di pagar-pagar masjid dan di sekitar sejadah sahaja. Misi ini membuatkan seluruh kehidupan, menjadi sebuah ibadah kepada Allah SWT. Kerana kita telah menyerahkan diri kita kepadaNya, untuk memenuhi misi ini.
Maka kita tidak boleh menganggap yang keberadaan kita di atas muka bumi ini adalah untuk bermain-main sahaja. Untuk hidup, bernafas, kemudian mati. Untuk kumpul duit, kemudian mati. Untuk berasmara, kemudian mati. Tidak dan tidak.
Kita ada tanggungjawab untuk memimpin. Kalau bukan sebagai pemimpin berjawatan, kita tetap perlu memimpin diri sendiri dan keluarga kita. Memimpin ke arah mana? Ke arah ketaatan kepada Allah SWT tadi. Dengan itu, kita juga perlu sedar bahawa diri kita sendiri perlulah pertamanya tunduk kepada Allah SWT.
Itulah dia misi kita.
Dan kita akan dinilai dengan misi ini.
Apakah kita melaksanakannya?

Memenuhkan Kehidupan
Datang daripada Allah, kembali kepada Allah, maka hidup pastilah untuk Allah SWT.
Kita akan berdiri di hadapanNya.
Ketika itu tiada apa yang dapat menyelamatkan kita, melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Maka apakah kita hidup, dengan kehidupan yang mencari keredhaanNya? Atau selama ini kita telah bazirkan kehidupan kita dengan menjemput kemurkaanNya?
Di sinilah kita perlu menilai kembali diri kita.
Laksanakan muhasabah.
Sesungguhnya kehidupan kita bukan sebuah kehidupan yang akan terhenti dan pergi begitu sahaja. Selepas kehidupan ini, kita akan kembali berhadapan dengan Allah SWT yang telah menciptakan kita.
Apakah kita mahu bertemu denganNya, dalam keadaan kita tidak berusaha untuk memenuhi kehendakNya?

Dipetik daripada : http://langitilahi.com/

Selasa, 5 Mei 2015

SEMPENA HARI GURU 2015

INSAN GURU MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Oleh : Asri bin Md Saman @ Osman



Profesion keguruan merupakan profesion tertua di dunia. Islam meletakkan profesion keguruan sebagai suatu profesion yang sangat mulia. Tingginya penghargaan itu sehingga menempatkan guru setingkat di bawah kedudukan nabi dan rasul. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis sahih yang bermaksud : “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi” [ Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad ]

Mengapa demikian? Hal ini kerana guru selalunya dikaitkan dengan ilmu pengetahuan di mana  Islam sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang merupakan Surah Pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berkaitan dengan ilmu pengetahuan.
Selain itu, Rasulullah bersabda “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” - Riwayat At-Thabrani.

Kini dalam era yang serba moden dan canggih, kerjaya guru juga semakin mencabar. Seringkali dilaporkan di media cetak mahupun elektronik mengenai adanya segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika sebagai seorang pendidik sehingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian seorang murid yang berpunca daripada tindakan guru.

Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang zaman.

Selain itu, para guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat iaitu yang pertama ialah ilmu pengetahuan. Atau dengan kata lain pengetahuan seseorang  mengenai sesuatu konsep. Guru haruslah memberi penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.Yang kedua ialah perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi. Ketiga guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zaman baginda sahabat-sahabat yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin , Abdul Rahman bin A’uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya.

Hari ini, para guru mestilah menerima fenomena bahawa terdapat segelintir ibu bapa yang hanya mementingkan kecemerlangan akademik anak-anak mereka sahaja tetapi beranggapan bahawa pembentukan sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak-anak mereka tidak boleh ditegur, walaupun ternyata mereka melakukan kesalahan. Kesan daripada itu, murid lebih berasa hebat dan berani untuk melawan guru. Tidak peliklah jika banyak kes yang berlaku pada hari ini yang melibatkan kes disiplin pelajar sehingga berlakunya pergaduhan dengan guru. Sebab itulah tiada keberkatan ilmu kepada pelajar ekoran tidak menghormati guru seperti yang disarankan oleh Rasulullah menerusi sabda baginda yang bermaksud :
“Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka.” – Riwayat At-Thabrani.

Semasa proses mendisiplin pelajar guru menghadapi dilema apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah dan tidak mengaku kesilapan yang dilakukan. Dalam hal ini sepatutnya mereka terlebih dahulu berbincang dengan guru bukan semata-mata mendengar daripada anak-anak mereka sahaja di mana sehingga sanggup menyerang pihak sekolah dan membuat pendedahan kepada pihak media. Ini merupakan salah satu bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh guru pada masa kini dalam mengambil sesuatu tindakan terhadap pelajar.

Jika dahulu gurulah yang berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar di mana hanya guru sahaja yang menguasai dan mengendalikan kelas. Namun dalam era baru ini, guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu diransang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Cara mengajar juga telah berubah di mana dahulu ilmu disampaikan secara lisan dan bertulis. Namun kini teknologi komputer telah memberikan sesi pembelajaran berjalan secara interaktif dan lebih menarik lagi. Oleh yang demikian guru perlu menguasai kemahiran ICT dengan sebaiknya  oleh kerana kebanyakan pelajar pada hari lebih terkehadapan dari guru.
         
Guru juga berperanan dalam menentukan corak pembangunan sesebuah  negara. Kita perlu sedar, kejayaan  negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan profesion keguruan. Hal  ini kerana tenaga kerja yang ada pada hari ini di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Memang sesuailah gelaran “jurutera yang membentuk manusia” diberikan kepada guru. Guru juga seharusnya menjadi model manusia yang berkelakuan baik. Para guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, dan sosial.
Firman Allah SWT dinyatakan dalam Al Quran dalam Surah az-Zariat ayat 57, bermaksud “Tidak Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku semata.” 
Oleh yang demikian insan yang bergelar  guru sudah pasti menghabiskan sebahagian besar masa sehariannya melaksanakan tugas mengajar dan kerja-kerja pengurusan yang berkaitan. Sesungguhnya setiap amalan yang disertakan dengan niat yang ikhlas sudah tentu dijanjikan dengan ganjaran pahala berlipat ganda oleh Allah s.w.t.  Alangkah malang kehidupan sebagai guru sekiranya kerja yang dibuat seharian tidak dapat diiktiraf menjadi ibadah. Lagi malang bagi seseorang guru sekiranya ia menganggap kerja yang dibuat seharian sebagai beban.

Sebagai kesimpulan, walaupun segala bentuk cabaran dan halangan yang dihadapi atau bakal mendatang, insan yang bergelar guru seharusnya mengharungi dengan penuh keikhlasan dalam menyampaikan ilmu dan mendidik pelajar dengan penuh kesabaran serta sentiasa membetulkan niat yang satu iaitu kerana Allah s.w.t. Dengan keikhlasan itulah segala tindakan dan kerja yang kita laksanakan mudah-mudahan dikira sebagai ibadah yang diterima oleh Allah.

Akhirnya, sempena Hari Guru yang kita sambut 16 Mei setiap tahun marilah kita semua menghayati kata-kata Saidina Ali Karramahu Wajhah yang bermaksud ; hak orang alim ada 7. Yang pertama jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Yang kedua jangan halangi jika guru hendak berdiri.. Yang ketiga jangan membuka rahsia di hadapan guru. Yang keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Yang kelima, hormatlah guru kerana Allah. Yang keenam jangan duduk membelakangi guru dan yang ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluan guru. Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang telah diwartakan oleh Allah SWT dalam kitabNya yang suci bermaksud :

‘Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. ‘ (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.