Isnin, 18 Julai 2011

RASULULLAH SAW PENDIDIK AGUNG & GURU TERULUNG

Baginda Nabi SAW merupakan seorang pendidik agung dan guru yang terulung. Firman Allah SWT bermaksud, "Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang yang engkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)"

Sabda Rassulullah SAW bermaksud, :"Sesungguhnya Allah Taala tidak mengutuskan daku untuk menyukarkan dan tidak pula sebagai mencari kesilapan dan keaiban orang lain, sebaliknya Allah Taala mengutuskan daku sebagai guru yang memudahkan."

Merujuk kepada maksud ayat dan hadis di atas kita sebagai guru atau bakal guru sewajarnya mencontohi akhlak baginda SAW di mana guru perlu menyatakan kebenaran dan bersifat adil dengan ilmunya.Guru perlu sentiasa mendalami ilmu pedagogi agar proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakannya mudah difahami pelajar malah amat-amat dinanti-nantikan pelajar. Guru yang baik sentiasa diperlukan oleh muridnya mahupun anggota masyarakat dan ketiadaannya menyebabakan murid tertanya-tanya dan menanti-nanti guru tersebut. Persoalannya di manakah kita berada? adakah kita merupakan guru yang sentiasa dinanti-nantikan pelajar atau kedatangan kita menyebabkan pelajar keluh kesah, terpaksa melalui detik-detik yang amat membosankan. Justeru carilah dan tambahlah ilmu di mana sahaja jika kita berkesempatan. wallhu a'lam.

Sabtu, 16 Julai 2011

Kisah Saiyyidina Ali Karramahu Wajhah

Dalam suatu peperangan Saiyyidina Ali hampir berjaya membunuh seorang Yahudi. Ketika beliau menghunuskan pedang untuk membunuh Yahudi tersebut..tiba-tiba Yahudi itu meludah ke arah Sayyidina Ali.Lalu beliau tidak meneruskan niat membunuh Yahudi itu.Apabila ditanya kenapa beliau membatalkan hasrat membunuh Yahudi itu, beliau menjawab : "Aku tidak mahu membunuhnya kerana kalau aku membunuhnya aku membunuh bukan kerana Allah tapi kerana marah aku kepadanya." .

Para pembaca yang budiman, bersamalah kita renungi secebis kisah yang berlaku kepada Sayyidina Ali. Beliau berjaya menguruskan kemarahan beliau secara profesional. Kita sebagai seorang guru yang mendidik manusia seharusnya mencontohi Saiyyidina Ali. Lebih-lebih lagi jika kita diamanahkan untuk menguruskan disiplin pelajar sekolah. Apakah kita menghukum pelajar kita dalam keadaan kita marah? apakah kita telah memberikan rasional kepada murid kita yang bersalah sebelum kita menghukum mereka. Sudah tentu hukuman yang kita laksanakan setelah memberikan rasional kepada pelajar lebih membawa erti mendidik daripada kita menghukum mereka tanpa bicara atau mendengar permasalahan mereka.Guru yang mendengar bisikan hati muridnya adalah guru yang hebat dan insya Allah akan mampu merungkai masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Dalam konteks masyarakat, pemimpin yang mencari dan mendengar rintihan rakyat lebih berkesan daripada rakyat meluahkan  masalah kepada seorang pemimpin. Wallaahu a'lam

Khamis, 14 Julai 2011

GURU CEMERLANG LAHIRKAN ANAK DIDIK GEMILANG

GOLONGAN ilmuan adalah salah satu aset yang sangat berharga kepada negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab yang sangat penting, bagi memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat negara kita, untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing. 
Mendidik manusia yang berilmu bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan usaha yang berterusan. Oleh itu sewajarnyalah guru diberi penghormatan yang tinggi, sebagaimana firman Allah SWT:

Bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah Al-Mujaadah, ayat 11)

Guru hendaklah mendidik murid mereka dengan penuh semangat dan kesungguhan, di samping mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan, semoga dengan itu apa yang diajarkan, akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid, dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang mereka pelajari.

Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya dengan itu segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid-murid, Imam Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat :

Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep). 
Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu. 
Perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi. 
Guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zamannya sahabat-sahabat yang hebat seperti Khulafa' Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya.

Golongan guru atau ilmuan juga pernah disebut oleh Rasulullah SAW seumpama bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan di lautan, ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan samada di darat atau di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk."

Pembentukan adab dan budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik, bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan di masa-masa yang akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud : 

"Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka."

Bagi mengangkat martabat pendidikan, kita hendaklah menghormati guru dan meletakkan mereka setaraf dengan para ilmuan serta ahli profesional yang lain, sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Untuk itu, hak pendidik dan para ilmuan perlu diingati, Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada 7 :

Jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. 
Jangan halang jika dia hendak berdiri. 
Jangan buka rahsia di hadapannya. 
Jangan mengumpat orang di hadapannya. 
Hormatlah dia kerana Allah. 
Jangan duduk membelakanginya. 
Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya. 
Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang telah disebut oleh Islam :

Memberi layanan yang baik dan beradab terhadap guru. 
Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita. 
Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama'-ulama' dan ilmuan dalam peradaban Islam. 
Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya. 
Sentiasa mendoakan guru dan bekas-bekas guru, agar di tempatkan bersama para Solehin. 
Jesteru itu, marilah kita bersatu hati bersama para guru, menggembeling tenaga, bagi menyemai benih keimanan dan ketaqwaan, agar terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang, kerana negara akan maju jika rakyatnya berpengetahuan dan berkemahiran, negara akan aman, jika rakyatnya beriman serta mengamalkan ajaran Islam. Negara akan hancur sekiranya rakyat berpecah-belah dan negara akan mundur sekiranya rakyat malas dan lemah.


Petikan dari :
Berita Harian, 23 Mei 2005

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.