Selasa, 12 April 2016

KHATIB JEMPUTAN MASJID SHARIFAH FATIMAH KAMUNTING, JITRA KEDAH - JUMAAT 25 SEPTEMBER 2015 TAJUK : NABI ISMAIL AS CONTOH TERBAIK MENTAATI PENGORBANAN IBU BAPA


1.  Hari ini/ Jumaat/ semua umat Islam/ berkumpul menunaikan solat/ fardhu jumaat/ bagi menggantikan/ solat fardhu zohor.

2.  Hari ini/ 11 Zulhijjah 1436 Hijriah/ adalah hari tasyrik/ Hari tasyrik adalah/ 3 hari setelah hari Idul Adha/ iaitu hari 11/ 12/ dan 13 bulan Dzulhijjah/ dalam tahun Hijriah. 

3.  Ada 3/ pendapat ulama/ mengapa hari-hari tersebut/ dinamakan ayyaamul tasyrik/ atau hari-hari tasyrik.

4.  Pertama/ kerana pada hari tersebut/ umat Islam yusyriqun/ menjemur/ daging korban mereka.

5.  Kedua/ kerana haiwan-haiwan korban/ tidak disembelih kecuali setelah/ matahari yusyriq (terbit).

6.  Ketiga/ kerana shalat Eid dilaksanakan setelah syuruq ( terbit ) matahari.

Sidang Jumaat sekalian

7.  Sepanjang hari tasyrik selain melakukan ibadah korban, kita diperintahkan memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT.


8.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 203


10.              “Dan berzikirlah kepada Allah dalam beberapa hari yang ditentukan ( ma’dudat / tasyrik ). Maka, barang siapa yang ingin cepat ( berangkat dari Mina ) sesudah dua hari, maka tiada dosa atasnya. Dan, barang siapa yang ingin menangguhkan, maka tiada dosa pula atasnya bagi orang yang bertakwa.”


11.              Imam al-Bukhari meriwayatkan bahwa Ibnu Abbas menjelaskan, ayyamun ma’lumat adalah 10 hari awal bulan Dzulhijjah sedangkan ayyamun ma’dudat adalah hari-hari tasyrik yang disebut juga hari Mina kerana pada hari-hari tersebut jamaah haji menetap di Mina.

12.              Umat Islam boleh melakukan ibadah korban sehingga sebelum masuk waktu Maghrib 13 Zulhijjah. Begitu juga amalan bertakbir, disunatkan sehingga sebelum masuk waktu maghrib 13 Zulhijjah.

13.              Takbir raya tidak semestinya dilaungkan di masjid sahaja mahupun selepas setiap waktu solat. Kita digalakkan melaung lafaz takbir pada masa-masa yang disunatkan/dibenarkan di mana-mana sahaja, dalam kenderaan, sedang memandu, di rumah, waktu sedang dalam urusan kerja, bersantai, dan di mana-mana sahaja kita berada dan teringat hendak bertakbir.

Sidang Jumaat

14.              Sepanjang bulan Zulhijjah ini kita seringkali diceritkan dengan kisah dua orang Nabi Allah yang hebat. Antara Ibrah atau pengajaran yang dapat kita petik daripada kisah Nabi Ibrahim AS dan anakanda baginda Nabi Ismail AS adalah mengenai anak soleh yang rela dijadikan korban demi mentaati perintah Allah SWT dan mentaati ayahandanya.

15.              Ketaatan baginda hendaklah kita contohi dalam berbakti kepada orang tua kita. Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan kita untuk taat dan berbakti kepada kedua ibu bapa.

16.              Firman Allah SWT dalam Surah Al Israa' ayat 23:



17.              Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

18.              Dalam ayat ini Allah SWT telah memerintahkan kita untuk berbuat baik kepada ibu bapa, selepas perintah mentauhidkan Allah SWT. Perintah seperti ini juga berlaku di zaman umat-umat sebelumnya, antaranya semasa zaman Bani Israel.


19.              Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 83:
20.              Semua orang tahu bahawa ibu bapa amat menyayangi anak-anak mereka. Kasih sayang, pengorbanan dan jerit perit kepayahan ibu bapa memelihara kita merupakan jasa yang tidak mungkin kita balas.

21.              Ibu bapa sanggup menjaga kesihatan dan keselamatan anak-anak melebihi diri mereka sendiri. Apabila anak sihat dan gembira, hati ibu bapa turut gembira. Segala kesusahan dan kepayahan dalam memelihara dan membesarkan anak-anak diharungi dengan penuh kesabaran.


22.              Berbuat baik kepada ibu bapa mampu mengangkat darjat seorang anak ke makam yang tinggi di sisi Allah SWT.


23.              Dalam kitab Sahih Muslim, Husair bin Jabir berkata, biasanya Umar bin Al-Khattab apabila datang pasukan bantuan daripada Yaman dia akan bertanya kepada mereka jika ada dalam kalangan mereka seorang yang bernama Uwais bin Amar. Sehingga suatu ketika Umar telah bertemu dengan Uwais bin Amar lalu beliau bertanya : "Adakah awak Uwais bin Amar?". Orang itu menjawab : "Ya!" Umar bertanya lagi, "Adakah awak dulunya pernah mendapat penyakit sopak lalu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit dirham?" Orang itu menjawab, "Ya!" Umar bertanya lagi "Adakah kamu memiliki ibu?" Orang itu menjawab "Ya!" lalu Umar : Berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Akan datang kepada kalian Uwais bin Amar bersama pasukan bantuan dari Yaman, dia daripada marad, kemudian daripada qaran. Dia dahulunya memiliki penyakit sopak lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang ia selalu berbakti kepadanya, seandainya ia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah akan memakbulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya maka lakukanlah". Berkata Umar : "Mintalah ampun untukku". Maka Uwais meminta ampun untuk Umar, dari kisah tersebut dapatlah kita mengambil iktibar betapa tinggi kedudukan seorang anak yang berbakti kepada ibu bapa di sisi Allah SWT.

24.              Sesungguhnya ketaatan kepada ibubapa walaupun berlainan agama adalah wajib diikuti kecuali apabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan oleh Islam. Maka ketika itu haram mentaati perintah itu.



25.              Namun amat menyedihkan, mutakhir ini kita dihidangkan dengan tajuk utama akhbar Metro yang dikaitkan dengan penderhakaan anak terhadap ibu bapa. Antaranya Remaja tendang kepala bapa, lelaki tetak leher ibu sendiri naik angin selepas ditegur ibu, anak buang bapa tepi masjid, buang ibu demi kekasih, 5 orang anak buang ayah nyanyuk setelah membahagikan harta dan pelbagai tajuk lagi yang tidak sepatutnya dilakukan oleh insan yang bernama anak.

26.              Selain itu dalam satu direktori mencatatkan bahawa statistic rumah orang tua dan oku di Malaysia adalah sebanyak 51 buah.

27.              Di Negeri Kedah kita ada 7 buah rumah orang tua dan oku sama ada di bawah kendalian kerajaan mahupun swasta. Antaranya Rumah Seri Kenangan Bedong di mana penghuninya 257 orang, Kos Penyelenggaraan:
Sebulan: RM 25 000 – RM 30 000
Setahun: RM 300 000.

28.              Marilah sidang Jumaat sekalian, sempena Eidul Adha yang mulia ini, bagi yang masih mempunyai ibu bapa, kita berikanlah perhatian kepada mereka. Kita curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati dan jiwa, kita muliakan mereka, kita bertutur dengan mereka menggunakan bahasa yang lembut dan sopan, kita dengar dan turut nasihat mereka, kita berusaha menyenangkan hati mereka dan seterusnya  melakukan apa sahaja perkara untuk menggembirakan mereka selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

29.              Manakala bagi kita yang telah kematian kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka, marilah kita mendoakan kebaikan dan keampunan untuk mereka.

30.              Sesungguhnya doa seorang anak untuk kedua ibu bapa adalah salah satu amal jariah yang tidak terputus pahalanya walaupun setelah mereka meninggal dunia.

31.              Tidak dinafikan apabila ibu bapa telah tua dan lanjut usia, kesihatan mereka berkurangan bahkan ada yang sudah tidak berupaya menguruskan diri sendiri.

32.              Jika kita renung kembali kisah ketaatan Nabi Ismail AS terhadap ayahandanya, tidak dapat diragukan lagi bahawa itu adalah hasil dari didikan yang sempurna oleh ayahnya dan bonda Nabi Ismail AS.


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.


Khutbah Kedua

1.  Pendidikan yang sempurna amat mustahak diberikan kepada anak-anak, antaranya dengan memberikan ilmu agama serta mendidik mereka dengan akhlak yang mulia.

2.  Jiwa anak-anak yang telah dididik dan disemai dengan ajaran Islam yang kuat, insyaaAllah mereka akan menjadi orang yang beriman, menjadi anak yang soleh, berbakti kepada ibu bapa, masyarakat, agama dan negara serta mendapat kejayaan hidup dunia dan akhirat.

3.  Justeru, tanggungjawab ibu bapa agar sentiasa mengambil berat dengan memberikan ilmu tauhid/aqidah kepada anak-anak. Mendidik mereka dengan akhlak yang terpuji.

4.  Ibu bapa hendaklah sentiasa membimbing, memberi teguran dan nasihat jika  anak-anak melakukan perbuatan yang salah, berperangai kurang elok apatah lagi jika perkara tersebut menyalahi syariat Islam.

5.  Didiklah mereka mentaati perintah Allah dan menjauhi tegahan-Nya. Suruhlah anak-anak menunaikan solat apabila cukup umur. Suruhlah anak-anak mengenakan pakaian yang menutup aurat dan sebagainya.

6.  Tegurlah  dan berilah nasihat serta bimbinglah mereka secara berterusan.

7.  Sememangnya mendidik anak suatu tugas yang bukan mudah, penuh dengan cabaran dan dugaan, namun semua itu perlu dihadapi kerana mendidik anak adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada para ibu bapa.

8.  Laksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh tulus ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga dengan demikian, kita dapat mencapai kehidupan berkeluarga yang harmoni dan aman bahagia.

9.  Justeru, sifat sabar sangat penting ketika menghadapi ujian  kerana sifat tersebut menjadikan kita redha terhadap qadak dan qadar Allah SWT.

10.              Sifat sabar juga dapat memelihara kita dari bersikap marah, merasa kecewa, berputus asa dan resah gelisah dalam menghadapi ujian dari Allah SWT.

11.              Kita serahlah diri ke hadrat Allah SWT dan berdoalah kepada-Nya bagi memohon kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang menimpa.

12.              Yakinlah bahawa ujian itu merupakan tanda kasih Allah SWT pada hamba-Nya. Allah tidak akan sekali-kali menguji hamba-Nya di luar kemampuan hamba-Nya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujian-Nya, jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita sebaliknya kerana sangat kasih kepada kita.

13.              Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahuanhu yang katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya : "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberikannya cubaan."

Sabtu, 30 Januari 2016

TANYALAH DIRI SENDIRI

Dari mana kita datang?
Kenapa kita didatangkan?
Ke mana kita akan pergi?
Tiga soalan ini sangat popular dalam mengupas perihal kehidupan seorang manusia. Sebagai seorang yang dibesarkan di dalam proses tarbiyah islamiyyah, saya didedahkan dengan tiga soalan ini agak awal di usia remaja saya.
Ia membentuk perspektif kehidupan saya. Dan dalam kebanyakan buku motivasi yang saya tulis, saya memang akan menyelitkan perbincangan berkait tiga soalan ini di dalamnya. Kerana saya sendiri kira, ianya penting untuk dihadam oleh semua.
Lebih-lebih lagi di dalam Buku 30 Hari Mencari Tuhan, pastilah kita mahu memahami akan hakikat sebenar kehidupan kita ini, bukan?

Datang DaripadaNya dan Kembali KepadaNya
Soalan pertama dan ketiga, adalah soalan yang biasanya diberikan jawapan terlebih dahulu. Dan bagi seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT, sudah pasti jawapan saya adalah kita datang daripada Allah SWT, dan kita akan kembali kepada Allah SWT juga.
Ini berdasarkan firman-firman Allah SWT:
“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari kiamat, sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian  daripada air mani, dari  air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi  orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan   hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui“  Surah Al Hajj ayat 5.
“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Surah Al-Baqarah ayat 156.
Di sini kita memahami bahawa titik mula kita adalah Allah SWT. Dia yang menciptakan kita. Daripada tiada kepada ada, Dialah yang memilih kita untuk ‘ada’.
Dan kita juga memahami dari jawapan ini bahawa, apabila kita mati, pengakhiran kita adalah kembali kepada Allah SWT. Di sana kita akan berdiri di hadapanNya, dihitung dan dinilai akan setiap detik kehidupan kita di atas muka bumi ini. Kemudian keputusan akan diumumkan, sama ada kita akan ke syurgaNya atau ke nerakaNya.
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik). Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 88-91.
Di sini kita melihat bahawa kita ini ada ‘pemilik’.
Yang mana pemilik ini telah mencipta kita, dan Dia akan memanggil kita kembali.

Logiknya
Bila kita datang daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah SWT, apakah logiknya yang patut berlaku di tengah-tengah antara dua perkara tersebut?
Apakah kita patut buat sesuka hati kita? Hidup mengikut hawa nafsu dan buat apa sahaja yang kita rasa nak buat?
Apakah kita patut sibukkan diri kita dengan kelalaian dan kealpaan, serta memenuhi kehidupan kita dengan perkara yang sia-sia?
Atau sebenarnya kita patut faham bahawa, jika kehidupan kita ini datangnya daripada Allah, dan akan pulang semula kepada Allah, bukankah yang masuk akal ialah, antara dua perkara tersebut, yang kita perlu lakukan ialah apa yang memenuhi keredhaan Allah SWT?
Ya.
Itulah dia jawapan kepada soalan yang kedua.
“Mengapa kita didatangkan?”
Adalah untuk memenuhi misi yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita.
Misi Kita
Allah SWT tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Jika Allah SWT menciptakan kita untuk bermain-main, maka pastilah tidak akan wujud penilaian di akhirat kelak.
Wujudnya penilaian di akhirat kelak menandakan bahawa ada perkara yang patut kita lakukan apabila hidup di atas muka bumi.
Di sini, perlu kita tanamkan dengan kuat di dalam diri dan jiwa kita, akan dua firman Allah SWT:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin menjadikan untuk bumi itu khalifah(pentadbir).”Surah Al-Baqarah ayat 30.
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepadaKu).” Surah Adz-Dzariyyat ayat 56.
Dua ayat ini jangan sesekali dipisahkan. Kerana kedua-duanya perlu diletakkan bersama untuk kita menggapai makna sebenar tujuan kita didatangkan di atas muka bumi ini.
Kita punya tugas untuk mentadbir bumi ini, agar segala isinya tunduk kepada pengabdian terhadap Ilahi. Itulah misi kita.
Misi ini membuatkan Islam menjadi sebuah cara hidup, dan bukan semata-mata agama yang tersekat di pagar-pagar masjid dan di sekitar sejadah sahaja. Misi ini membuatkan seluruh kehidupan, menjadi sebuah ibadah kepada Allah SWT. Kerana kita telah menyerahkan diri kita kepadaNya, untuk memenuhi misi ini.
Maka kita tidak boleh menganggap yang keberadaan kita di atas muka bumi ini adalah untuk bermain-main sahaja. Untuk hidup, bernafas, kemudian mati. Untuk kumpul duit, kemudian mati. Untuk berasmara, kemudian mati. Tidak dan tidak.
Kita ada tanggungjawab untuk memimpin. Kalau bukan sebagai pemimpin berjawatan, kita tetap perlu memimpin diri sendiri dan keluarga kita. Memimpin ke arah mana? Ke arah ketaatan kepada Allah SWT tadi. Dengan itu, kita juga perlu sedar bahawa diri kita sendiri perlulah pertamanya tunduk kepada Allah SWT.
Itulah dia misi kita.
Dan kita akan dinilai dengan misi ini.
Apakah kita melaksanakannya?

Memenuhkan Kehidupan
Datang daripada Allah, kembali kepada Allah, maka hidup pastilah untuk Allah SWT.
Kita akan berdiri di hadapanNya.
Ketika itu tiada apa yang dapat menyelamatkan kita, melainkan dengan rahmat dan kasih sayangNya. Maka apakah kita hidup, dengan kehidupan yang mencari keredhaanNya? Atau selama ini kita telah bazirkan kehidupan kita dengan menjemput kemurkaanNya?
Di sinilah kita perlu menilai kembali diri kita.
Laksanakan muhasabah.
Sesungguhnya kehidupan kita bukan sebuah kehidupan yang akan terhenti dan pergi begitu sahaja. Selepas kehidupan ini, kita akan kembali berhadapan dengan Allah SWT yang telah menciptakan kita.
Apakah kita mahu bertemu denganNya, dalam keadaan kita tidak berusaha untuk memenuhi kehendakNya?

Dipetik daripada : http://langitilahi.com/

Selasa, 5 Mei 2015

SEMPENA HARI GURU 2015

INSAN GURU MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Oleh : Asri bin Md Saman @ Osman



Profesion keguruan merupakan profesion tertua di dunia. Islam meletakkan profesion keguruan sebagai suatu profesion yang sangat mulia. Tingginya penghargaan itu sehingga menempatkan guru setingkat di bawah kedudukan nabi dan rasul. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis sahih yang bermaksud : “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi” [ Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad ]

Mengapa demikian? Hal ini kerana guru selalunya dikaitkan dengan ilmu pengetahuan di mana  Islam sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5 yang merupakan Surah Pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berkaitan dengan ilmu pengetahuan.
Selain itu, Rasulullah bersabda “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” - Riwayat At-Thabrani.

Kini dalam era yang serba moden dan canggih, kerjaya guru juga semakin mencabar. Seringkali dilaporkan di media cetak mahupun elektronik mengenai adanya segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika sebagai seorang pendidik sehingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian seorang murid yang berpunca daripada tindakan guru.

Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang zaman.

Selain itu, para guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat iaitu yang pertama ialah ilmu pengetahuan. Atau dengan kata lain pengetahuan seseorang  mengenai sesuatu konsep. Guru haruslah memberi penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.Yang kedua ialah perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi. Ketiga guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zaman baginda sahabat-sahabat yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin , Abdul Rahman bin A’uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya.

Hari ini, para guru mestilah menerima fenomena bahawa terdapat segelintir ibu bapa yang hanya mementingkan kecemerlangan akademik anak-anak mereka sahaja tetapi beranggapan bahawa pembentukan sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak-anak mereka tidak boleh ditegur, walaupun ternyata mereka melakukan kesalahan. Kesan daripada itu, murid lebih berasa hebat dan berani untuk melawan guru. Tidak peliklah jika banyak kes yang berlaku pada hari ini yang melibatkan kes disiplin pelajar sehingga berlakunya pergaduhan dengan guru. Sebab itulah tiada keberkatan ilmu kepada pelajar ekoran tidak menghormati guru seperti yang disarankan oleh Rasulullah menerusi sabda baginda yang bermaksud :
“Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka.” – Riwayat At-Thabrani.

Semasa proses mendisiplin pelajar guru menghadapi dilema apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah dan tidak mengaku kesilapan yang dilakukan. Dalam hal ini sepatutnya mereka terlebih dahulu berbincang dengan guru bukan semata-mata mendengar daripada anak-anak mereka sahaja di mana sehingga sanggup menyerang pihak sekolah dan membuat pendedahan kepada pihak media. Ini merupakan salah satu bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh guru pada masa kini dalam mengambil sesuatu tindakan terhadap pelajar.

Jika dahulu gurulah yang berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar di mana hanya guru sahaja yang menguasai dan mengendalikan kelas. Namun dalam era baru ini, guru berperanan sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu diransang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Cara mengajar juga telah berubah di mana dahulu ilmu disampaikan secara lisan dan bertulis. Namun kini teknologi komputer telah memberikan sesi pembelajaran berjalan secara interaktif dan lebih menarik lagi. Oleh yang demikian guru perlu menguasai kemahiran ICT dengan sebaiknya  oleh kerana kebanyakan pelajar pada hari lebih terkehadapan dari guru.
         
Guru juga berperanan dalam menentukan corak pembangunan sesebuah  negara. Kita perlu sedar, kejayaan  negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan profesion keguruan. Hal  ini kerana tenaga kerja yang ada pada hari ini di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Memang sesuailah gelaran “jurutera yang membentuk manusia” diberikan kepada guru. Guru juga seharusnya menjadi model manusia yang berkelakuan baik. Para guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, dan sosial.
Firman Allah SWT dinyatakan dalam Al Quran dalam Surah az-Zariat ayat 57, bermaksud “Tidak Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku semata.” 
Oleh yang demikian insan yang bergelar  guru sudah pasti menghabiskan sebahagian besar masa sehariannya melaksanakan tugas mengajar dan kerja-kerja pengurusan yang berkaitan. Sesungguhnya setiap amalan yang disertakan dengan niat yang ikhlas sudah tentu dijanjikan dengan ganjaran pahala berlipat ganda oleh Allah s.w.t.  Alangkah malang kehidupan sebagai guru sekiranya kerja yang dibuat seharian tidak dapat diiktiraf menjadi ibadah. Lagi malang bagi seseorang guru sekiranya ia menganggap kerja yang dibuat seharian sebagai beban.

Sebagai kesimpulan, walaupun segala bentuk cabaran dan halangan yang dihadapi atau bakal mendatang, insan yang bergelar guru seharusnya mengharungi dengan penuh keikhlasan dalam menyampaikan ilmu dan mendidik pelajar dengan penuh kesabaran serta sentiasa membetulkan niat yang satu iaitu kerana Allah s.w.t. Dengan keikhlasan itulah segala tindakan dan kerja yang kita laksanakan mudah-mudahan dikira sebagai ibadah yang diterima oleh Allah.

Akhirnya, sempena Hari Guru yang kita sambut 16 Mei setiap tahun marilah kita semua menghayati kata-kata Saidina Ali Karramahu Wajhah yang bermaksud ; hak orang alim ada 7. Yang pertama jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Yang kedua jangan halangi jika guru hendak berdiri.. Yang ketiga jangan membuka rahsia di hadapan guru. Yang keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Yang kelima, hormatlah guru kerana Allah. Yang keenam jangan duduk membelakangi guru dan yang ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluan guru. Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang telah diwartakan oleh Allah SWT dalam kitabNya yang suci bermaksud :

‘Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. ‘ (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.

Sabtu, 25 April 2015

SYUKUR...ALHAMDULILLAH





Alhamdulillah segala pujian hanya layak bagi ALLAH SWT...Tuhan penguasa alam ini. Syukur kita masih lagi diberi nikmat menghirup oksigen yang diciptakan ALLAH...syukur kita masih lagi diberi kekuatan untuk menggerakkan tubuh badan...syukur atas segala-galanya....maka marilah kita berpegang dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud : 


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan (ingatlah juga) ketika Rabbmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih.”
(Ibrahim: 7)

Khamis, 28 Ogos 2014

KEHEBATAN KISAH IMAM AS-SYAFIE DALAM PERJALANAN MENUNTUT ILMU

Imam as-Syafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran se awal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam as-Syafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.



Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah SAW. Dengan langkah yang tertib, Imam as-Syafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam as-Syafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam as-Syafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam as-Syafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. 

Imam Malik bertanya kepada Imam as-Syafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. 

Jawab Imam as-Syafie, “Benar”. 

Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. 

Jawab Imam as-Syafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam as-Syafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.

Kata Imam as-Syafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.

Lalu beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam as-Syafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam as-Syafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. 

Ujian ALLAH SWT

Alhamdulillah...setelah agak lama menyepi, hari ini barulah diberikan kekuatan oleh Allah untuk mencoret secebis kisah dalam perjalanan menuntut redhaan Ilahi..mencari ilmu....semalam 28 Ogos bertolak dari rumah ke Universiti Malaya...hajat untuk bertemu dengan penyelia..alhamdulillah Allah kurniakan segala-galanya mudah...bertolak dari rumah seawal pagi...singgah di kampung menghantar ayahanda dan bonda, sempat petik buah-buahan di kampung untuk bekalan sepanjang perjalanan dan niat juga untuk dihadiahkan kepada penyelia..segala-galanya mudah dan terasa cepat sampai lebih cepat daripada kebiasaan...setiba di UM anak-anak mengeluh kelaparan sedangkan sepanjang sentiasa memamah makanan..anak-anak katakan..singgah dulu di UM untuk membeli lauk pauk, nasi telahpun dimasak oleh isteri tercinta yng amat memahami...check in tempat penginapan biasa "Shah Village PJ...?

" Isteri mohon untuk bertemu penyelia terlebih dahulu ...ok la...malam sewaktu keluar cari makanan anak-anak...masya ALLAH ...DIA yang maha Mengetahui hikmahnya..telah menguji diri ini..kereta yg sebelum ini tidak pernah membuat perangai dalam perjalanan tiba-tiba menyerah kalah..dan tidak mampu menolak tayar untuk bergerak..ALLAHU AKBAR....mati enjin...nekad berjalan kaki dengan 2 orang anakanda mencari-cari tempat untuk memohon pertolongan....agak lama baharulah ternampak sebuah kedai tayar..lantas meminta tolong pekerja kedai untuk melihat masalah kereta...alhamdulillah...boleh la jalan dan balik ke tempat penginapan...tapi masalah tidak selesai dengan aman...ada sedikit lagi yang bermasalah apabila lampu kereta agak malap..rupanya bateri yang ditukar tidak dichage dengan baik....seawal jam 9 pagi 29 ogos tercegat di hadapa pintu bengkel mohon jasabaik untuk cek sekali lagi kereta....proses menunggu agak lama...so tidak pasti adakah harini sempat untuk bertemu dengan penyelia? wallahu a'lam.

Isnin, 3 Mac 2014

Toleransi Suami Isteri Wujud Keluarga Bahagia


Hidup berpandu syariat bentuk rumah tangga sakinah


Perkahwinan adalah ibadah. Neraca ukuran sama ada sesuatu perkahwinan boleh dikira ibadah atau tidak bergantung kepada niat kedua-dua pasangan ketika mereka mendirikan rumah tangga. 

Sesungguhnya dalam perkahwinan banyak hikmah dan keistimewaan. Sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka akan mendapat ganjaran. 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21) 




Pensyariatan perkahwinan 

Dalil pensyariatan perkahwinan, sabda Rasulullah SAW: “Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Suami adalah nakhoda dalam rumah tangga, tetapi sejauh mana suami menunaikan amanah menjaga isteri hingga terbentuk sebuah rumah tangga sakinah? 



Portal Rasmi Jabatan Pembangunan Wanita, menunjukkan kes keganasan terhadap wanita semakin meningkat. Mengikut statistik keganasan terhadap wanita yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan suku tahun pertama 2013, jumlah kes direkodkan sebanyak 2,595 berbanding 2,295 untuk tempoh sama tahun lalu. 

Pada 2010, sebanyak 3,173 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada PDRM. Pada 2011, 3,277 kes dilaporkan iaitu peningkatan 0.03 peratus dan 2012 ia meningkat 0.06 peratus kepada 3,488 kes. 

Sebagai insan normal kita akan tertanya di manakah sifat kemanusiaan suami yang sanggup melakukan tindakan tidak beradab dan bertamadun terhadap isteri? Tidakkah suami mengerti isteri adalah amanah Allah SWT yang dipinjamkan sementara? 

Sheikh Mustafa Masyhur menggariskan beberapa pedoman bagi suami antaranya suami hendaklah berasa satu tanggungjawab besar di hadapan Allah SWT berhubung keluarganya. Akad nikah dilafazkan suami adalah ikrar bahawa dia akan mengambil tanggungjawab daripada ayah mentua. 

Seterusnya, suami juga bertanggungjawab kepada ahli keluarga dalam perkara berhubung keduniaan, kerohanian dan akal fikiran. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6) 

Apabila suami memahami peranan serta tanggungjawab, lebih mudah bagi mereka melaksanakannya, seterusnya memastikan keharmonian rumah tangga terpelihara. Namun, semua itu hanya mampu dijayakan jika isteri turut memainkan peranan dengan sebaiknya. 

Hubungan suami isteri memerlukan toleransi dan sikap bersedia memberi serta menerima kerana sebagai manusia, kita tidak sempurna. Oleh itu, kita perlu bersedia menerima kelemahan atau kekurangan pasangan. 

Kepentingan komunikasi 

Komunikasi penting untuk mengeratkan hubungan serta memastikan mesej ingin disampaikan diterima dengan baik dan tepat. Berkata dengan nada yang lembut dan jelas dapat membantu melancarkan komunikasi antara ahli keluarga. 

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang terbaik buat keluarganya, dan aku adalah orang terbaik di antara kamu kepada keluargaku.” (Riwayat Tirmidzi) 

Menjalinkan hubungan sesama manusia tidak dinafikan memerlukan kesabaran kerana kita dijadikan dengan sifat serta sikap berbeza. Pada masa sama, hendaklah sentiasa rasional dalam pemikiran supaya setiap dugaan dapat dihadapi dan ditangani dengan sebaiknya. 

Hidup berumah tangga hendaklah berpandukan kepada syariat kerana Islam adalah cara hidup dan bagaimana kehidupan ini perlu dilalui, semuanya sudah termaktub. Persoalannya, apakah kita mahu mengikut jalan ditunjukkan atau bagaimana.

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Berita Harian 3 Mac 2014.

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.