Masjid merupakan sebuah institusi yang amat penting dalam Islam. Ia juga sebagai lambang syiar dalam Islam. Menelusuri sirah Rasulullah SAW, sebaik tiba di Bumi Madinah, baginda SAW mendirikan masjid di Quba’. Ketika itu para sahabat tertanya-tanya, kenapa dan mengapa baginda bersusah payah mendirikan masjid terlebih dahulu? Akhirnya para sahabat dan pengkaji sejarah menemui jawapannya. Baginda telah mengarahkan para sahabat melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersangkutan dengan segala urusan hidup muslim dilaksanakan di masjid. Seterusnya masjid sebagai pusat membina, mentarbiah, mendidik dan membangun umat Islam sehingga menjadi umat terbaik sepanjang zaman.
Allah SWT telah menggariskan beberapa pra
syarat yang layak digelar sebagai pemakmur rumah Allah sebagaimana Firman Allah
SWT Surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud :
Hanyasanya yang layak
memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan
menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya
sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan
yang mendapat petunjuk.
Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menjelaskan
bahawa hanya lima golongan manusia yang layak dianugerahkan memakmurkan dan menghidupkan
masjid-masjid itu, iaitu orang yang beriman kepada Allah, orang yang beriman
dengan hari akhirat, orang yang mendirikan Solat, orang yang menunaikan Zakat,
orang yang takut kepada Allah.
Sesungguhnya terdapat empat kelebihan
golongan yang berhimpun memakmur dan menghidupkan masjid-masjid termasuk
golongan yang mempelajari ilmu Islam dan mereka yang berzikir mengingati Allah
SWT, iaitu diturunkan Allah SWT suasana ketenteraman dan damai, diliputi dan
dinaungi rahmat Allah SWT, dikelilingi oleh para malaikat, dipuji dan
dimuliakan di sisi Allah SWT.
Ini dikuatkan lagi dengan hadis dari Abu Hurairah RA Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tujuh
golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan
naungan-Nya: Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Kedua : Pemuda yang membesar
dengan beribadah kepada Allah. Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan
masjid. Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka
bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh
wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : ‘Sesungguhnya aku takutkan
Allah’. Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga
tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.
Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air
matanya.”
(Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Subhanallah, berdasarkan
hadis di atas betapa hebatnya anugerah Allah buat insan yang hatinya sentiasa
terpaut dengan masjid. Golongan ini tercatat dalam senarai manusia yang akan
menerima perlindungan arash Allah SWT pada hari yang tidak ada perlindungan
melainkan perlindungan Allah SWT.
Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah
bersabda yang bermaksud:
“…dan tidak berhimpun suatu kaum dalam satu
tempat rumah dari tempat-tempat (yakni) rumah-rumah Allah (yang dikhaskan untuk
mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca Kitabullah (Al Quran)
dan mereka bertadarus sesama mereka, melainkan turunlah ketenteraman kepada
mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh
malaikat serta mereka dipuji oleh Allah Ta’ala dalam kalangan makhluk-makhluk
yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari
mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya”. (Riwayat
Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi)
Kini, Alhamdulillah kita menyaksikan
terdapat sebilangan masjid yang sudah menjalankan aktiviti yang pelbagai demi
kepentingan dan kebajikan umat Islam. Namun tidak dinafikan masih terdapat
sebilangan masjid di Malaysia yang masih perlu diperbaiki terutamanya dari
aspek aktiviti mengimarahkannya. Lantaran individu yang telah dilantik oleh
jamaah dan diamanahkan untuk memikul tugas perlulah menunaikan amanah sebaik
mungkin demi kebaikan bersama.
Dalam hal ini, kepimpinan masjid, ahli
jawatankuasanya dan ahli-ahli kariah serta seluruh masyarakat Islam setempat
wajar mengambil peranan masing-masing. Bawalah berbincang dan bermesyuarat bagi
mencari pelbagai pendekatan atau aktiviti boleh diaplikasikan melalui institusi
masjid bagi memakmur dan menghidupkan masjid-masjid atau surau-surau sebagai
institusi yang sangat hampir dengan kehidupan umat Islam. Apabila masjid
dimakmurkan sudah pasti akan terbina dan hiduplah umat Islam dalam suasana yang
damai, aman dan sentiasa dalam naungan rahmat dan barakah Allah SWT.
Kembalikanlah fungsi masjid. Masjid adalah tempat ibadah , di sinilah tempat umat
Islam berkumpul untuk melaksanakan ibadah khusus terutama solat, membaca
al-Quran, berzikir, tempat majlis-majlis ilmu dijalankan dan tempat perhimpunan
dan perbincangan umat Islam untuk menyelesaikan masalah mereka. Para malaikat
mendoakan dan memohon rahmat kepada Allah SWT kepada ahli-ahli masjid yang
menunaikan ibadah dan menuntut ilmu di sini. Mereka yang terpaut hati dengan
masjid dan melaksanakan semua fungsi tadi akan mendapat naungan Allah di
akhirat nanti.
Jika umat Islam dapat melihat peranan
tersebut pasti kita akan menjadi umat yang mampu mencapai zaman terbaik, zaman
kehebatan dan kegemilangan umat Islam terdahulu, insya Allah.
Justeru, kepimpinan masjid dan ahli
jawatankuasa yang tidak mampu untuk melaksanakan amanah, berundurlah dan
berilah ruang serta peluang kepada insan lain yang sanggup menyumbang idea bagi
mengimarahkan rumah Allah yang mulia itu. Yakinlah bahawa insan yang telah
berusaha memakmurkan masjid akan dipandang mulia oleh Allah SWT. Takutlah
amaran Allah sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 114 yang
bermaksud :
Dan
siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi
dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah
di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?
Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu
melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang
mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di
dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
Penulis
adalah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan
Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan