BERBAKTI KEPADA KEDUA
IBUBAPA
Oleh
: Ustaz Hj. Asri bin Md Saman @ Osman
Melakukan
kebaikan kepada ibubapa merupakan suatu perintah dari Allah SWT kepada setiap
muslimin dan muslimat. Sebagai seorang anak,kita diingatkan agar melakukan
kebaikan kepada kedua ibu bapa kerana ianya merupakan suatu ibadah dalam Islam.
Seperti mana yang kita maklum,bahawa konsep ibadah dalam islam adalah syumul
iaitu menyeluruh,maka berbuat baik kepada ibu bapa adalah antara ibadah yang
dituntut dalam Islam sekaligus kita akan dapat menjadi penyejuk mata bagi ibu
bapa kita lebih-lebih lagi apabila mereka melangkah ke usia emas. Di samping
itu,kita hendaklah menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh ibu bapa sedari
kita kecil lagi sehinggalah kita berjaya menjadi kita yang sekarang.
Kita
sebagai anak perlulah menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati
dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata
lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan
larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa
yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk
yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah menderhaka terhadap ibu
bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai
kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka
kedua ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah SWT.
Dari
Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan
Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu
bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Daripada
Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah SAW, “Siapakah
orang yang paling patut aku berbuat baik?” Rasulullah SAW menjawab : “Ibumu.”
Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku
bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku bertanya,
“Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir
denganmu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Apa
yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan
hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh
umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam al-Quran,
(Surah Luqman, ayat 14)
Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan
susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu
bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu.”
Seterusnya
dalam surah al-Ahqaf ayat 15 bermaksud :
Kami
perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya,
ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah
(pula). mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga
apabila dia Telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa:
"Ya Tuhanku, tunjukilah Aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah
Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya Aku dapat berbuat
amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi
kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepada Engkau dan
Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang berserah diri".
Pernah seorang sahabat
mengadu kepada Rasulullah tentang perangai ibunya yang suka meminta-minta
kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa
bukan saja dalam harta malahan dalam dirinya sendiri ada hak kedua ibubapanya.
Jelas ibubapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada pada kita. Sejak kita di
dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu
juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih
sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk
kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita
mengecewakan hatinya. Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita,
maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas
layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi.
Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita.
Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka
kepada kita pula.
Nabi Muhammad saw pernah
bersabda: “Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan ibu bapa, nescaya
dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika semasa pagi lagi telah
menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.”
Kita sebenarnya tidak
berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika
mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh
sebab itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika
mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Tetapi jika
sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping
mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan
pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala tersebut. Inilah
sahaja bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya.
Akhirnya, ingatlah
pesanan Nabi saw: “Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka yang berbuat
baik kepada ibubapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah Taala telah mengampuni
mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibubapa,
buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan
memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.” “Ingatlah anak yang berbuat baik
kepada ibubapa tidak akan masuk neraka. Dan anak yang derhaka kepada mereka
tidak akan masuk syurga.”
Justeru
marilah sama-sama kita menambahkan lagi rasa kecintaan kita kepada kedua ibu
bapa kita untuk menjadi penyejuk mata mereka jika mereka masih
hidup,sesungguhnya apa yang kita lakukan ini akan dilakukan oleh anak-anak kita
kelak apabila kita telah mempunyai anak. Jika baik layanan kita pada ibu bapa
kita,maka baiklah layanan yang akan kita terima dari anak-anak kita nanti dan
sekaligus amalan yang kita lakukan ini akan menjadi ibadat untuk kita dan saham
untuk ke syurga di akhirat kelak.
“Apabila mati anak Adam, maka telah
terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; Sedekah Jariah, Ilmu yang
bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya”
[Hadith
diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari]
Penulis adalah Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan
Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman 06000 Jitra, Kedah
Darul Aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan