Rasulullah
s.a.w bersabda, maksudnya: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu
wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang
selesa.!”- hadis riwayat Ibn Hibban
Kalimah soleh berasal daripada perkataan solah
iaitu ‘kebaikan’. Dimaksudkan dengan soleh ialah lelaki dan wanita yang
baik kepada dirinya, pada orang lain, serta baik pula amalannya sehingga
dikatakan dia telah diperbaik oleh Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w bersabda “Dunia itu adalah
kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah”-
Riwayat Muslim.
Telah dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w
bersabda: “Mahukah kamu aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang
perlu disimpan oleh seseorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami
melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati
dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara
akan kehormatan dirinya.” – Hadis riwayat Ibnu Majah
Agama
merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun,
tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil
faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan
kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan
kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.
Isteri
yang solehah itu selalu memperlihatkan akan tanggungjawabnya sebagai isteri, ia
hanya berbuat sesuai dengan ketentuan Allah. Pada dasarnya kewajipan isteri
solehah itu ialah:
Patuh
dan taat kepada suami yang soleh
Rumahtangga
bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada ajaran
ajaran dan perinta Allah dan Rasul-Nya serta setia kepada suami.
“Wanita
yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku
curang serta memelihra rahsia dan harta suaminya) dibelakang suaminya, oleh
kerana Allah telah memelihara mereka...”
(An-Nisaa’:34)
Isteri
yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara yang lemah lembut dan
penuh sopan santun. Begitu pula tidak boleh memerintah kepada suami, kecuali
diucapkan dengan cara yang baik sebagai suatu pertolongan. Walaubagaimanapun
ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Sekiranya yang
diperintahkan oleh suami itu boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan
membantah.
Rasulullah
s.a.w bersabda: “Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhakai
Allah SWT”- hadis riwayat Ahmad.
Kepatuhan
isteri terhadap suami iaitu kepatuhan yang disuruh oleh agama, kerana suami di
samping bertanggungjawab memberikan nafkah zahir dan batin, dia juga harus
bertanggungjawab membimbing isterinya. Maka isteri harus setia kepada suami
yang soleh dan bersedia mengikuti segala perintahnya.
Rasulullah
s.a.w bersabda: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada
seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya lantaran
begitu besar Allah jadikan hak laki-laki ke atas wanita”- hadis riwayat Abu
Daud.
Mengurus
rumahtangga
Seorang
isteri Muslimah diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa berada di rumah dan
tidak dibolehkan pergi pergi kemana-mana dengan sesuka hati tanpa izin suami.
Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri sahaja, tetapi mengerjakan
tugas-tugas sebagai seorang isteri dan melaksanakan kewajipannya.
Hikmah
daripada Allah SWT tersebut ialah supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik
anak scara lebih sempurna ketika suami pergi mencari rezeki. Di samping itu
isteri dapat melakukan pekerjaan seperti menghias rumah, menyediakan makanan
suami serta mencuci pakaian suami. Walaupun nampaknya pekerjaan itu mudah,
tetapi ianya sangat bermanfaat untuk menjamin keluarga tetap harmoni. Hanya kaum
wanita yang dapat mengerjakannya dengan baik, kerana wanita mempunyai sifat
sabar yang tinggi berbanding lelaki. Jika pekerjaan ini diserahkan kepada
suami, mungkin dia hanya sanggup mengerjakan untuk beberapa hari sahaja.
Rasulullah
s.a.w bersabda : “Tiap-tiap wanita atau isteri adalah pengurus terhadap
rumah suaminya, dan dia akan ditanya (oleh Allah di hari kemudian) dan perkara
urusannya itu.” – hadis riwayat Bukhari.
Berhias
untuk suami
Menghias
diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita tidak faham akan
kewajipannya, dia akan berhias diri ketika akan keluar dari rumah. Tetapi
ketika berada di dalam rumah dia berada di dalam keadaan tidak bersih,
kadangkala rambutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan
supaya isteri berhias hanya untuk suami.
Tujuan
berhias ketika di rumah, iaitu agar suami merasa terhibur. Jika suami pulang
dari mencari rezeki disambut oleh isteri dengan wajah yang berseri-seri serta
pakaian yang bersih, maka ianya akan menjadi penawar bagi suami sehingga
keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih
sayangnya terhadap isteri.
Rasulullah
s.a.w bersabda: “Dari Jabir r.a ia berkata: “Kami pernah bersama-sama
Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin
masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Bersabarlah,
masuklah ketika waktu malam iaitu pada waktu Isyak, supaya isteri dapat
bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia berhias kerana telah lama
ditinggalkan suaminya.”- hadis riwayat Muttafaqun alaihi.
Berhias
bukan sahaja ketika menyambut suami pulang dari suatu tempat atau dari tempat
kerja, tetapi hendaklah dilakukan ketika berada di dalam rumah. Wanita Islam
hanya dibolehkan berhias untuk suaminya dan untuk dirinya sendiri.
Melayani
suami
Hubungan
seks merupakan penawar untuk menambahkan lagi kebahagiaan rumahtangga. Ia
dipandang sebagai punca keharmonian sesebuah rumah tangga. Oleh sebab itu,
isteri hendaklah memberikan layanan yang
baik kepada suaminya. Isteri tidak boleh menolak jika suami menginginkannya.
Seorang isteri apabila menolak permintaan suaminya, dia akan dikutuk oleh
malaikat sehingga suaminya redha kepadanya.
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah
SAW bersabda maksudnya:”Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat
tidur, tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah
kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.” –hadis
riwayat Muslim.
Mungkin
di saat-saat tertentu isteri dibolehkan menolaknya seperti dalam keadaan sakit,
atau dalam keadaan dilarang untuk melakukannya seperti sedang haid dan
sebagainya.
Ciri-ciri di atas merupakan sebahagian kecil daripada
ciri-ciri isteri solehah. Walaubagaimanapun, jika ciri-ciri tersebut dapat
dillakukan secara konsisten dan baik, Insya-Allah ianya mampu mewujudkan
rumahtangga idaman.