Isnin, 25 Julai 2011

Filem Dakwah

 




Dalam setiap proses dakwah, setiap para da'ie pasti akan mengharungi pelbagai cabaran onak dan ranjau. Adakala bagi para da'ie yang tidak bepaut dengan kuat atas tali-tali Allah sudah pasti akan mudah futur di pertengahan jalan.

Kisah video di atas amat bermanfaat buat para da'ie untuk diambil inspirasi dari sorotan ringkas kisah hidup seorang da'ie iaitu Kiyai Haji Ahmad Dahlan yang merupakan tokoh mujadid bagi sebuah organisasi yang diberi nama Muhammadiyyah.

Filem ini sarat dengan mesej untuk diambil pengajaran oleh kita semua, khususnya buat para pendakwah yang memperjuangkan usaha tajdid, iaitu suatu usaha untuk mengembalikan masyarakat agar kembali kepada ajaran ISLAM yang sebenar, sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Untuk menonton filem ini,click sini..

Moga sama-sama kita ambil ikhtibar dan ibroh dari filem ini.


Ahad, 24 Julai 2011

MADRASAH RAMADHAN

Apabila kita menyebut madrasah sudah pasti kita dapat merasai suasana persekolahan atau kata lain Ramadhan pasti membawa pendidikan.Ramadhan dipenuhi dengan pendidikan.
1-Mendidik diri kita merasai kelaparan golongan miskin.Golongan ini berlapar bukan sahaja sebulan dalam setahun bahkan sepanjang tahun.
2-Mendidik diri kita erti kesabaran dengan tidak makan dan minum bahkan semua perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari.
3-Mendidik diri kita mendekatkan diri kepada pencipta kita.Bulan selain Ramadhan kita agak lalai dengan pelbagai urusan apa salahnya kita berikan fokus dalam mempertingkatkan amalan sepanjang Ramadhan
4-Mendidik kita jujur dalam semua tindak-tanduk kita. Hatta ketika kita bersendirian, kita tidak curi menjamah makanan.Hebatnya didikan Ramadhan.
5-Mendidik kita menghormati Al-Quran. Pada bulan lain agak sukar bagi kita untuk mengkhatamkan al-Qauran dalam sebulan, tapi Ramadhan iaitu bulan yang diturunkan Al-Quran kita mendapat kekuatan untuk menghabiska al-Quran sama ada sekali khatam bahkan ada yang lebih dari sekali. alhamdulillah

Isnin, 18 Julai 2011

RASULULLAH SAW PENDIDIK AGUNG & GURU TERULUNG

Baginda Nabi SAW merupakan seorang pendidik agung dan guru yang terulung. Firman Allah SWT bermaksud, "Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang yang engkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)"

Sabda Rassulullah SAW bermaksud, :"Sesungguhnya Allah Taala tidak mengutuskan daku untuk menyukarkan dan tidak pula sebagai mencari kesilapan dan keaiban orang lain, sebaliknya Allah Taala mengutuskan daku sebagai guru yang memudahkan."

Merujuk kepada maksud ayat dan hadis di atas kita sebagai guru atau bakal guru sewajarnya mencontohi akhlak baginda SAW di mana guru perlu menyatakan kebenaran dan bersifat adil dengan ilmunya.Guru perlu sentiasa mendalami ilmu pedagogi agar proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakannya mudah difahami pelajar malah amat-amat dinanti-nantikan pelajar. Guru yang baik sentiasa diperlukan oleh muridnya mahupun anggota masyarakat dan ketiadaannya menyebabakan murid tertanya-tanya dan menanti-nanti guru tersebut. Persoalannya di manakah kita berada? adakah kita merupakan guru yang sentiasa dinanti-nantikan pelajar atau kedatangan kita menyebabkan pelajar keluh kesah, terpaksa melalui detik-detik yang amat membosankan. Justeru carilah dan tambahlah ilmu di mana sahaja jika kita berkesempatan. wallhu a'lam.

Sabtu, 16 Julai 2011

Kisah Saiyyidina Ali Karramahu Wajhah

Dalam suatu peperangan Saiyyidina Ali hampir berjaya membunuh seorang Yahudi. Ketika beliau menghunuskan pedang untuk membunuh Yahudi tersebut..tiba-tiba Yahudi itu meludah ke arah Sayyidina Ali.Lalu beliau tidak meneruskan niat membunuh Yahudi itu.Apabila ditanya kenapa beliau membatalkan hasrat membunuh Yahudi itu, beliau menjawab : "Aku tidak mahu membunuhnya kerana kalau aku membunuhnya aku membunuh bukan kerana Allah tapi kerana marah aku kepadanya." .

Para pembaca yang budiman, bersamalah kita renungi secebis kisah yang berlaku kepada Sayyidina Ali. Beliau berjaya menguruskan kemarahan beliau secara profesional. Kita sebagai seorang guru yang mendidik manusia seharusnya mencontohi Saiyyidina Ali. Lebih-lebih lagi jika kita diamanahkan untuk menguruskan disiplin pelajar sekolah. Apakah kita menghukum pelajar kita dalam keadaan kita marah? apakah kita telah memberikan rasional kepada murid kita yang bersalah sebelum kita menghukum mereka. Sudah tentu hukuman yang kita laksanakan setelah memberikan rasional kepada pelajar lebih membawa erti mendidik daripada kita menghukum mereka tanpa bicara atau mendengar permasalahan mereka.Guru yang mendengar bisikan hati muridnya adalah guru yang hebat dan insya Allah akan mampu merungkai masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Dalam konteks masyarakat, pemimpin yang mencari dan mendengar rintihan rakyat lebih berkesan daripada rakyat meluahkan  masalah kepada seorang pemimpin. Wallaahu a'lam

Khamis, 14 Julai 2011

GURU CEMERLANG LAHIRKAN ANAK DIDIK GEMILANG

GOLONGAN ilmuan adalah salah satu aset yang sangat berharga kepada negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab yang sangat penting, bagi memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat negara kita, untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing. 
Mendidik manusia yang berilmu bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan usaha yang berterusan. Oleh itu sewajarnyalah guru diberi penghormatan yang tinggi, sebagaimana firman Allah SWT:

Bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah Al-Mujaadah, ayat 11)

Guru hendaklah mendidik murid mereka dengan penuh semangat dan kesungguhan, di samping mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan, semoga dengan itu apa yang diajarkan, akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid, dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang mereka pelajari.

Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya dengan itu segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid-murid, Imam Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat :

Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep). 
Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu. 
Perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi. 
Guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zamannya sahabat-sahabat yang hebat seperti Khulafa' Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya.

Golongan guru atau ilmuan juga pernah disebut oleh Rasulullah SAW seumpama bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan di lautan, ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan samada di darat atau di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk."

Pembentukan adab dan budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik, bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan di masa-masa yang akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud : 

"Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka."

Bagi mengangkat martabat pendidikan, kita hendaklah menghormati guru dan meletakkan mereka setaraf dengan para ilmuan serta ahli profesional yang lain, sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Untuk itu, hak pendidik dan para ilmuan perlu diingati, Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada 7 :

Jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. 
Jangan halang jika dia hendak berdiri. 
Jangan buka rahsia di hadapannya. 
Jangan mengumpat orang di hadapannya. 
Hormatlah dia kerana Allah. 
Jangan duduk membelakanginya. 
Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya. 
Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang telah disebut oleh Islam :

Memberi layanan yang baik dan beradab terhadap guru. 
Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita. 
Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama'-ulama' dan ilmuan dalam peradaban Islam. 
Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya. 
Sentiasa mendoakan guru dan bekas-bekas guru, agar di tempatkan bersama para Solehin. 
Jesteru itu, marilah kita bersatu hati bersama para guru, menggembeling tenaga, bagi menyemai benih keimanan dan ketaqwaan, agar terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang, kerana negara akan maju jika rakyatnya berpengetahuan dan berkemahiran, negara akan aman, jika rakyatnya beriman serta mengamalkan ajaran Islam. Negara akan hancur sekiranya rakyat berpecah-belah dan negara akan mundur sekiranya rakyat malas dan lemah.


Petikan dari :
Berita Harian, 23 Mei 2005

Kisah Hidup Hebat

Ketika Abdullah bin al-Zubair berumur 12 tahun, beliau pernah dihampiri oleh Sayyidina Umar. Ketika itu, semua kanak-kanak yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin al-Zubair. Mereka lari kerana takut dengan ketegsan Sayyidina Umar.

Sayyidina Umar mengucapkan salam padanya lantas bertanya kepada Abdullah, kenapa kau tidak lari seperti kawan-kawanmu yang lain. Jawab Abdullah :" Aku bukannya zalim lalu aku takut padamu dan jalan pun tidak sempit dan aku tidak buat apa-apa dosa sehingga aku perlu lari darimu."

Sayyidina Umar sangat gembira dengan jawapan dan keberanian Abdullah. Lalu mengusap-ngusap kepala Abdullah. Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya :"Anak ini akan hidup dengan kehebatan"

Persoalannya bagaimanakah pendidikan yang diterima oleh Abdullah sehingga tertanam dalam jiwanya jangan takut kepada manusia kecuali takut kepada Allah sahaja walaupun ketika itu beliau baru berusia 12 tahun..Wallahu aklam....

Rabu, 13 Julai 2011

Pesanan Al Ghazali

" Sekiranya tujuan anda mencari ilmu adalah untuk mendapatkan kemuliaan dan bermegah serta untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain di dunia, rugilah anda. Tetapi sekiranya tujuan anda mencari ilmu itu adalah untuk mendalami syariat yang diturunkan melalui Nabi dan untuk pembersihan diri (nafs ammarah), pastinya anda akan dihormati."
Petikan daripada : Ayyuh al walad-Al Ghazali

Sabtu, 9 Julai 2011

Guru Yang Efektif Menurut Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali telah memberikan 7 ciri guru yang efektif :
1- Mempunyai rasa simpati kepada murid dan menganggap serta melayani mereka seperti anak sendiri.
2- Mengikuti tingkah laku dan sunnah Nabi Muhammad dan tidak meminta imbuhan atas perkhidmatan yang diberikan.
3- Tidak menasihatinya @ membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas kecuali dia (guru) benar-benar terlatih dan berpengetahuan tentang perkara tersebut.
4- Menasihati murid supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut dan bukan dengan memarahi mereka.
5- Tidak merendahkan disiplin ilmu lain di hadapan murid-murid.
6- Menghadkan pembelajaran bersesuaian dengan tahap kefahaman murid dan tidak memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan.
7- Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan sesuai dengan tahap perkembangan akal muridnya khususnya murid yang kurang pintar.

Sumber rujukan : Kitab Ihya Ulumuddin

Selasa, 5 Julai 2011

PENDIDIKAN ISLAM




Pendidikan Islam boleh diertikan sebagai proses
mendidik dan melatih akliah, jasmaniah, dan
ruhaniah manusia. Ia berasaskan nilai-nilai Islamiah
yang bersumberkan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah
s.a.w bagi melahirkan insan yang bertakwa dan
mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.
Dipetik daripada buku :Sejarah Pendidikan Pada Zaman Rasulullah SAW. Oleh : Anisah Bahyah hj Ahmad

Ahad, 3 Julai 2011

KEUTAMAAN MENGAJAR

Sabda Nabi SAW yang menyuntik semangat untuk menjadi seorang guru. Hadis riwayat Tirmidzi bermaksud : Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat serta penghuni langit dan bumi hinggakan semut yang ada di dalam lubang dan ikan di lautan semuanya memohon rahmat untuk mereka yang mengajar orang ramai ke arah kebaikan.

Sabda baginda lagi yang bermaksud ; Pemberi petunjuk ke arah kebaikan adalah sama dengan orang yang melakukannya (dari segi ganjaran pahalanya )( Riwayat Tirmidzi )

petikan daripada : intipati Ihya' Ulumuddin

Rabu, 29 Jun 2011

Mohon Maaf

Assalamualaikum....ana mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf buat semua pembaca kerana agak lambat menyiapkan blog ini. Maklumlah baru dalam proses nak belajar...harap bantuan dan tunjuk ajar daripada sahabat2.Terima kasih atas kesabaran tuan/puan.moga kehidupan kalian diberkati ALLAH

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.