Isnin, 15 Ogos 2011

Keistimewaan Lailatul Qadar

Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka (Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".
Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.
Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.
Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengna beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.
Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:
  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Selain tanda-tanda tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :
  • Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
  • Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada yang berkata doa permohonannya makbul.
* Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul qadar

Nuzul al-Quran

Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).



Bila dan Bagaimanakah al-Quran Diturunkan ?



Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.
Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.
Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.
Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah. 

Ahad, 7 Ogos 2011

RAMADHAN ,TARAWIKH & PAK CIK

20 minit lagi Ramadhan akan melangkah masuk hari ke 8. Masya Allah...pantasnya RAMADHAN berlalu meninggalkan kita. Ini bermakna 7 hari yang lalu sudah menjadi nostalgia dan kita tidak dapat  lagi mengembalikannya.Malam ini solat tarawikh benar-benar menginsafkan ana...biasanya tarawikh ditunaikan sebanyak 8 rakaat sahaja...sibuk dengan pelbagai urusan dunia yang tiada penghujung. Malam ini alhamdulillah ana telah paksakan diri menunaikan tarawikh 20 rakaat...rupa-rupa ada insan yang agak kekurangan (kaki sebelah-bukan tujuan mengumpat tapi pengajaran buat kita yang lalai yang diberikan kesihatan dan kesempurnaan oleh Allah gagal memanfaatkan sebaiknya. Pak cik tua yang kaki sebelah dengan tenang mengharungi tarawikh 20 rakaat tanpa sedikit pun luahan rasa kepenatan..tapi kita yang masih agak muda tidak mampu menghabiskan tarawikh 20 rakaat dengan pelabagai alasan...penat ..mengantuk...ada urusan....dan macam-macam lagi. Sedarkah kita peluang Ramadhan yang ALLAH kurniakan kepada kita tahun ini bukanlah satu jaminan bahawa kita akan dapat melangkah lagi pada Ramadhan tahun hadapan. apa salahnya kita bersabar dalam 30 minit melengkapkan tarawikh 20 rakaat daripada kita pulang awal dan hanya melakukan 8 rakaat ? Marilah kita jadikan Ramadhan kali ini ramadhan yang benar-benar kita hayati dan marilah kita merebut segala tawaran yang Allah kurniakan kepada kita sepanjang Ramadhan kali ini. wallahu a'lam

Khamis, 4 Ogos 2011

KENANGAN MENJADI TETAMU ALLAH RAMADHAN 1430H





Buat semua pembaca yang budiman, bila tiba Ramadhan kenangan ustaz diberikan keizinan Allah menjadi tetamuNYA pada tahun 1430H/2009 segar kembali. Berikut catatan sepanjang perjalanan menjejaki kaki di Tanah Haram.


19 Ogos 2009(Rabu)
4am:
Bertolak dari rumah Jitra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang.Tiba di LTA Bayan Lepas beberapa detik sebelum subuh. Tunai solat subuh di surau LTA Bayan Lepas berjemaah.Jumpa ayahanda, bonda dan bang lang -menikmati sarapan di tempat letak kereta LTABL.

8am:
Check in barang.

9am:
Melangkah kaki memasuki pesawat-Singapore Airline dan berlepas ke Changi Airport.

10.30am:
Mendarat di Changi Airport.Menggunakan train untuk ke terminal (pertukaran pesawat).Bergerak menaiki pesawat -Singapore-Abu Dhabi-Jeddah

12.30tgh:
Berlepas dari Changi Airport ke Jeddah
Sepanjang perjalanan menikmati pelbagai menu yang disediakan (request halal food).Pendek kata makan-tidur-terjaga-makan-tidur.Pesawat memasuki ruang udara padang pasir-SUBHANALLAH....rupa-rupanya pesawat akan
transit di Abu Dhabi.Mendarat di Abu Dhabi lebih kurang sejam.Penumpang tidak dibenarkan turun.Pekerja pembersihan melakukan operasi pembersihan pesawat.Pembekal makanan menambah makanan ke dalam pesawat.Masya allah mewahnya kehidupan ini yang ENGKAU kurniakan kepada kami YA ALLAH.

Penerbangan dari Abu Dhabi ke Jeddah memakan masa selama lebih kurang dua jam.Alhamdulillah pesawat selamat mendarat di King Abdul Aziz Airport Jeddah hampir waktu maghrib (waktu saudi)

Permulaan ujian Allah buat tetamuNya...terpaksa beratur (Q) hampir 3 jam untuk urusan emigresen di KAA Airport. Selesai urusan emigresen terpaksa pula berkejaran mencari luggage yang entah kat mana ...bersepah-sepah. bayang kan flight landing boleh dikatakan setiap 15 minit...luggage tok sah kiralah...ujian buat Kak Nab (Zaujah Ust Hassan) beg hilang kemudian jumpa..akhirnya hilang buat kali kedua.


20 Ogos 2009:(Khamis)
Selesai urusan di KAA Airport..bas teelah sedia menanti ...naik bas ..tunggu rombongan dari kuala lumpur dijangka sampai jam 1 pagi....jemaah nampaknya kelaparan..alhamdulillah Ust Hassan begitu prihatin mencari makanan untuk jemaah (menu nasi mandi arab.....sodaaap.Alhamdulillahhhh.Hampir jam 3 pagi baru bas bertolak ke Madinah...singgah solat subuh di sebuah masjid tepi highway...selepas solat Subuh meneruskan perjalanan..sepanjang perjalanan tak lepas peluang merakam pemandangan yang mengasyikkan..subhanallah.
10.30am:
Alhamdulillah mata ini mula memandang Masjid Nabawi As-Syarif yang sebelum ini hanya menadang melalui kaca tv atau media cetak.SUBHANALLAH.Rombogan tiba di Hotel Syair berhampiran Maktabah King Abdul Aziz, Madinah.check in satu bilik enam org...clear barang..bersiap ke Masjid Nabawi....alhamdulillah
Allah izinkan kaki ini melangkah memasuki Masjid Nabawi melalui Babus Salam....seterusnya dalam keadaan yang mendebar-debar dan penuh sayu menziarahi maqam habibullah Saidina Muhammad saw...Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab. Seterusnya melangkah masuk ke dalam Masjid Nabawi menunaikan solat zohor.

Selepas Zohor balik ke hotel yang jaraknya 5 minit perjalanan seterusnya turun semula solat asar di Masjid Nabawi...lepas solat Asar pergi mencari mesin atm Ar-Rajhi Bank keluarkan duit riyal saudi buat belanja.

21 ogos 2009
Sebelum subuh kami telah sampai ke masjid.alhamdulillah allah swt izinkan diri ini memasuki raudhah dan sempat melakukan solat sunat di situ seterusnya solat fardhu subuh dalam kawasan Raudhah..mengalir airmata kegembiraan dan keinsafan.ALHAMDULILLAH Engkau izinkan diri ini untuk sujud di Raudhah...

Petang jatuhnya matahari Jumaat.maka bermulalah 1 ramadhan....alhamdulillah mula pegang puasa di madinah al-munawwarah..menunaikan solat tarawikh permulaan di masjidinabawi

22 ogos 2009(Sabtu)hari pertama ramadhan

8am:melakukan ziarah ke masjid quba...ladang kurma...bukit uhud...lalu masjid qiblatain...singgah d pasar kurma...allahu akbar....dugaan tak boleh rasa kurma puase...beb

lepas asar....menziarahi maqam baqi' di sinilah bersemadinya ramai jasad para sahabat ....balik baqi' kami di sambut oleh adik kecil muhammad untuk iftar bersama keluarganya..masya Allah ayahnya seorang guru....menu kurma, laban, air zam-zam n kuih arab yg sangat manis....lepas berbuka....clear semua..solat maghrib...subhanallah.....lepas tarawikh..shopping sikit aje...

23 ogos 2009 (ahad):

Lepas subuh melakukan ziarah wida'.Bertolak ke mekah.sayu hati meninggalkan bumi bersemadinya jasad junjungan mulia....tanpa disedari air mata bercucuran....bilakah pula diri ini akan menjejaki semula masjid nabawi?ya allah panjangkan umur hambaMu ini dalam nikmat kesihatan agar diri ini dapat menjejaki kaki semula di bumi madinah al-munawwarah.....

semasa turun dari hotel syair...siap pakaian ihram...dalam perjalanan singgah di masjid bir ali untuk niat di miqat dan solat sunat ihram......dalam perjalanan singgah sebentar di masjid di tepi highway menunai solat zohor dan asar jamak taqdim.....

azan asar:alhamdulillah Masjidil Haram terbentang di hadapan mata.Jemaah selamat tiba di bumi mekah...check in hotel.....tungggu berbuka ....lepas maghrib selesaikan umrah pertama....tawaf dengan bantuan Ayahanda Haji Saad.terima kasih tak terhingga buat ayahanda.....selesai tawaf...terus solat isyak dan tarawikh...lepas tu sai......alhamdulillah tamam umrah pertama.....

24 ogos 2009(isnin)

bersambung

Rabu, 3 Ogos 2011

10 ADAB BERPUASA DAN MENUNAIKAN SOLAT TARAWIKH

disaring dari kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’
karangan : al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad (1132H)


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ;

i. menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya,

ii. memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia,

iii. mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih,

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

iv. berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei]

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhariy dan Muslim]

v. janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

vi. jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, ni’mat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakananya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt.

Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy].

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’.

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

vii. tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

viii. mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim].

ix. menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah].

x. memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei].

Selasa, 2 Ogos 2011

KISAH PENGAJARAN

Seorang guru sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam.Si guru berkata, "Saya punya permainan...Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam.

Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka berserulah "Pemadam!"Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Si guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat.Beberapa saat kemudian sang guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka berserulah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!".

Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti. Si guru tersenyum kepada murid-muridnya."Anak-anak, begitulah kita ummat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membedakannya.

Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita lewat berbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya."" Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi karena terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kalian terbiasa dengan hal itu.

Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh- musuh kalian tidak pernah berhenti membalik dan  menukar nilai dan etika.""Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, sex sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend,materialistik kini
menjadi suatu gaya hidup dan lain lain.""Semuanya sudah terbalik.

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Guru Pendidikan Islam Yang Berkesan

Dalam Islam seorang guru yang berkesan seharusnya mengetahui segala aspek yang terdapat dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam. Selain itu, sifat guru Pendidikan Islam yang berkesan ialah :
1- Mesra
Dalam kajian yang dibuat di 3 buah sekolah menengah di Itali mendapati guru yang berkesan dalam komunikasi :
a) mengeluarkan suara yang jelas, mudah tersenyum, memberi ucapan yang mesra apabila masuk kelas, sentiasa mendampingi pelajar dan selalu berjalan-jalan dalam bilik darjah.
b) selalu mendekati pelajar yang bermasalah, membantu dan mengajar mereka, selalu memuji dan menganggap kesalahan sebagai bahan untuk dipelajari.
c) bercakap dengan suara yang lembut dan perlahan, berjenaka dan memberi perhatian kepada semua pelajar.

2- Bertanggungjawab
Hopkins dan Stern(1996) menganggap sifat tanggungjawab ini bukan sahaja terhad kepada tugas dalam bilik darjah malah lebih luas lagi. beliau menyebut, "teachers commitment goes beyond the classroom,drawing them onto collaborative efforts with other teacherc in their own school and the wider professional community.

3- Bekerjasama dengan guru lain.
sanggup bekerjasama dengan guru-guru di sekolah atau di sekolah lain atau daerah lain demi untuk kejayaan pelajarnya.

4- Sayangkan pelajar
dalam melayani anak-anak, alGhazali (1990) memilih pendekatan berikut, katanya :
"bila terlihat pada anak itu semacam budi pekerti yang indah dan kelakuan yang terpuji, maka hendaklah anak itu dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai.

5- Sabar

6- Kreatif

7- Kebolehan membuat refleksi

Rabu, 27 Julai 2011

APA YANG GURU PERLU LAKUKAN!!!

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, ada menyebut;

                  " Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara
                    berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
                    diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
                    itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
                    watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
                    pendidik yang unggul."

MARHABAN BIKA YA RAMADHAN

Selasa, 26 Julai 2011

AWAS ! KESILAPAN SEMASA RAMADHAN

Ramadhan akan tiba lagi.Syukur kita ke hadrat Rabbul Jalil Allah kerana mempertemukan kita dengan Ramadhan tahun ini.Kita doakan agar kita semua dapat memasuki Ramadhan sepenuhnya dan memperolehi nilai tambah TAQWA sepanjang Ramadhan dan Madrasah Ramadhan ini akan mendatangkan kesan kepada kita walaupun Ramadhan berlalu meniggalkan kita. Antara kesilapan yang seringkali dilakukan dalam Ramadhan ialah :


1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Dipetik daripada : Zaharuddin.net 

Isnin, 25 Julai 2011

Filem Dakwah

 




Dalam setiap proses dakwah, setiap para da'ie pasti akan mengharungi pelbagai cabaran onak dan ranjau. Adakala bagi para da'ie yang tidak bepaut dengan kuat atas tali-tali Allah sudah pasti akan mudah futur di pertengahan jalan.

Kisah video di atas amat bermanfaat buat para da'ie untuk diambil inspirasi dari sorotan ringkas kisah hidup seorang da'ie iaitu Kiyai Haji Ahmad Dahlan yang merupakan tokoh mujadid bagi sebuah organisasi yang diberi nama Muhammadiyyah.

Filem ini sarat dengan mesej untuk diambil pengajaran oleh kita semua, khususnya buat para pendakwah yang memperjuangkan usaha tajdid, iaitu suatu usaha untuk mengembalikan masyarakat agar kembali kepada ajaran ISLAM yang sebenar, sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Untuk menonton filem ini,click sini..

Moga sama-sama kita ambil ikhtibar dan ibroh dari filem ini.


Ahad, 24 Julai 2011

MADRASAH RAMADHAN

Apabila kita menyebut madrasah sudah pasti kita dapat merasai suasana persekolahan atau kata lain Ramadhan pasti membawa pendidikan.Ramadhan dipenuhi dengan pendidikan.
1-Mendidik diri kita merasai kelaparan golongan miskin.Golongan ini berlapar bukan sahaja sebulan dalam setahun bahkan sepanjang tahun.
2-Mendidik diri kita erti kesabaran dengan tidak makan dan minum bahkan semua perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari.
3-Mendidik diri kita mendekatkan diri kepada pencipta kita.Bulan selain Ramadhan kita agak lalai dengan pelbagai urusan apa salahnya kita berikan fokus dalam mempertingkatkan amalan sepanjang Ramadhan
4-Mendidik kita jujur dalam semua tindak-tanduk kita. Hatta ketika kita bersendirian, kita tidak curi menjamah makanan.Hebatnya didikan Ramadhan.
5-Mendidik kita menghormati Al-Quran. Pada bulan lain agak sukar bagi kita untuk mengkhatamkan al-Qauran dalam sebulan, tapi Ramadhan iaitu bulan yang diturunkan Al-Quran kita mendapat kekuatan untuk menghabiska al-Quran sama ada sekali khatam bahkan ada yang lebih dari sekali. alhamdulillah

Isnin, 18 Julai 2011

RASULULLAH SAW PENDIDIK AGUNG & GURU TERULUNG

Baginda Nabi SAW merupakan seorang pendidik agung dan guru yang terulung. Firman Allah SWT bermaksud, "Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang yang engkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)"

Sabda Rassulullah SAW bermaksud, :"Sesungguhnya Allah Taala tidak mengutuskan daku untuk menyukarkan dan tidak pula sebagai mencari kesilapan dan keaiban orang lain, sebaliknya Allah Taala mengutuskan daku sebagai guru yang memudahkan."

Merujuk kepada maksud ayat dan hadis di atas kita sebagai guru atau bakal guru sewajarnya mencontohi akhlak baginda SAW di mana guru perlu menyatakan kebenaran dan bersifat adil dengan ilmunya.Guru perlu sentiasa mendalami ilmu pedagogi agar proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakannya mudah difahami pelajar malah amat-amat dinanti-nantikan pelajar. Guru yang baik sentiasa diperlukan oleh muridnya mahupun anggota masyarakat dan ketiadaannya menyebabakan murid tertanya-tanya dan menanti-nanti guru tersebut. Persoalannya di manakah kita berada? adakah kita merupakan guru yang sentiasa dinanti-nantikan pelajar atau kedatangan kita menyebabkan pelajar keluh kesah, terpaksa melalui detik-detik yang amat membosankan. Justeru carilah dan tambahlah ilmu di mana sahaja jika kita berkesempatan. wallhu a'lam.

Sabtu, 16 Julai 2011

Kisah Saiyyidina Ali Karramahu Wajhah

Dalam suatu peperangan Saiyyidina Ali hampir berjaya membunuh seorang Yahudi. Ketika beliau menghunuskan pedang untuk membunuh Yahudi tersebut..tiba-tiba Yahudi itu meludah ke arah Sayyidina Ali.Lalu beliau tidak meneruskan niat membunuh Yahudi itu.Apabila ditanya kenapa beliau membatalkan hasrat membunuh Yahudi itu, beliau menjawab : "Aku tidak mahu membunuhnya kerana kalau aku membunuhnya aku membunuh bukan kerana Allah tapi kerana marah aku kepadanya." .

Para pembaca yang budiman, bersamalah kita renungi secebis kisah yang berlaku kepada Sayyidina Ali. Beliau berjaya menguruskan kemarahan beliau secara profesional. Kita sebagai seorang guru yang mendidik manusia seharusnya mencontohi Saiyyidina Ali. Lebih-lebih lagi jika kita diamanahkan untuk menguruskan disiplin pelajar sekolah. Apakah kita menghukum pelajar kita dalam keadaan kita marah? apakah kita telah memberikan rasional kepada murid kita yang bersalah sebelum kita menghukum mereka. Sudah tentu hukuman yang kita laksanakan setelah memberikan rasional kepada pelajar lebih membawa erti mendidik daripada kita menghukum mereka tanpa bicara atau mendengar permasalahan mereka.Guru yang mendengar bisikan hati muridnya adalah guru yang hebat dan insya Allah akan mampu merungkai masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Dalam konteks masyarakat, pemimpin yang mencari dan mendengar rintihan rakyat lebih berkesan daripada rakyat meluahkan  masalah kepada seorang pemimpin. Wallaahu a'lam

Khamis, 14 Julai 2011

GURU CEMERLANG LAHIRKAN ANAK DIDIK GEMILANG

GOLONGAN ilmuan adalah salah satu aset yang sangat berharga kepada negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab yang sangat penting, bagi memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat negara kita, untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing. 
Mendidik manusia yang berilmu bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan usaha yang berterusan. Oleh itu sewajarnyalah guru diberi penghormatan yang tinggi, sebagaimana firman Allah SWT:

Bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah Al-Mujaadah, ayat 11)

Guru hendaklah mendidik murid mereka dengan penuh semangat dan kesungguhan, di samping mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan, semoga dengan itu apa yang diajarkan, akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid, dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang mereka pelajari.

Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya, supaya dengan itu segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid-murid, Imam Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat :

Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep). 
Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu. 
Perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi. 
Guru yang cemerlang akan melahirkan anak didik yang gemilang, ianya terbukti sebagaimana Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zamannya sahabat-sahabat yang hebat seperti Khulafa' Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya.

Golongan guru atau ilmuan juga pernah disebut oleh Rasulullah SAW seumpama bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan di lautan, ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan samada di darat atau di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk."

Pembentukan adab dan budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik, bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan di masa-masa yang akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud : 

"Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka."

Bagi mengangkat martabat pendidikan, kita hendaklah menghormati guru dan meletakkan mereka setaraf dengan para ilmuan serta ahli profesional yang lain, sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Untuk itu, hak pendidik dan para ilmuan perlu diingati, Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada 7 :

Jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. 
Jangan halang jika dia hendak berdiri. 
Jangan buka rahsia di hadapannya. 
Jangan mengumpat orang di hadapannya. 
Hormatlah dia kerana Allah. 
Jangan duduk membelakanginya. 
Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya. 
Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang telah disebut oleh Islam :

Memberi layanan yang baik dan beradab terhadap guru. 
Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita. 
Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama'-ulama' dan ilmuan dalam peradaban Islam. 
Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya. 
Sentiasa mendoakan guru dan bekas-bekas guru, agar di tempatkan bersama para Solehin. 
Jesteru itu, marilah kita bersatu hati bersama para guru, menggembeling tenaga, bagi menyemai benih keimanan dan ketaqwaan, agar terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang, kerana negara akan maju jika rakyatnya berpengetahuan dan berkemahiran, negara akan aman, jika rakyatnya beriman serta mengamalkan ajaran Islam. Negara akan hancur sekiranya rakyat berpecah-belah dan negara akan mundur sekiranya rakyat malas dan lemah.


Petikan dari :
Berita Harian, 23 Mei 2005

Kisah Hidup Hebat

Ketika Abdullah bin al-Zubair berumur 12 tahun, beliau pernah dihampiri oleh Sayyidina Umar. Ketika itu, semua kanak-kanak yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin al-Zubair. Mereka lari kerana takut dengan ketegsan Sayyidina Umar.

Sayyidina Umar mengucapkan salam padanya lantas bertanya kepada Abdullah, kenapa kau tidak lari seperti kawan-kawanmu yang lain. Jawab Abdullah :" Aku bukannya zalim lalu aku takut padamu dan jalan pun tidak sempit dan aku tidak buat apa-apa dosa sehingga aku perlu lari darimu."

Sayyidina Umar sangat gembira dengan jawapan dan keberanian Abdullah. Lalu mengusap-ngusap kepala Abdullah. Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya :"Anak ini akan hidup dengan kehebatan"

Persoalannya bagaimanakah pendidikan yang diterima oleh Abdullah sehingga tertanam dalam jiwanya jangan takut kepada manusia kecuali takut kepada Allah sahaja walaupun ketika itu beliau baru berusia 12 tahun..Wallahu aklam....

Rabu, 13 Julai 2011

Pesanan Al Ghazali

" Sekiranya tujuan anda mencari ilmu adalah untuk mendapatkan kemuliaan dan bermegah serta untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain di dunia, rugilah anda. Tetapi sekiranya tujuan anda mencari ilmu itu adalah untuk mendalami syariat yang diturunkan melalui Nabi dan untuk pembersihan diri (nafs ammarah), pastinya anda akan dihormati."
Petikan daripada : Ayyuh al walad-Al Ghazali

Sabtu, 9 Julai 2011

Guru Yang Efektif Menurut Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali telah memberikan 7 ciri guru yang efektif :
1- Mempunyai rasa simpati kepada murid dan menganggap serta melayani mereka seperti anak sendiri.
2- Mengikuti tingkah laku dan sunnah Nabi Muhammad dan tidak meminta imbuhan atas perkhidmatan yang diberikan.
3- Tidak menasihatinya @ membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas kecuali dia (guru) benar-benar terlatih dan berpengetahuan tentang perkara tersebut.
4- Menasihati murid supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut dan bukan dengan memarahi mereka.
5- Tidak merendahkan disiplin ilmu lain di hadapan murid-murid.
6- Menghadkan pembelajaran bersesuaian dengan tahap kefahaman murid dan tidak memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan.
7- Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan sesuai dengan tahap perkembangan akal muridnya khususnya murid yang kurang pintar.

Sumber rujukan : Kitab Ihya Ulumuddin

Selasa, 5 Julai 2011

PENDIDIKAN ISLAM




Pendidikan Islam boleh diertikan sebagai proses
mendidik dan melatih akliah, jasmaniah, dan
ruhaniah manusia. Ia berasaskan nilai-nilai Islamiah
yang bersumberkan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah
s.a.w bagi melahirkan insan yang bertakwa dan
mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.
Dipetik daripada buku :Sejarah Pendidikan Pada Zaman Rasulullah SAW. Oleh : Anisah Bahyah hj Ahmad

Ahad, 3 Julai 2011

KEUTAMAAN MENGAJAR

Sabda Nabi SAW yang menyuntik semangat untuk menjadi seorang guru. Hadis riwayat Tirmidzi bermaksud : Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat serta penghuni langit dan bumi hinggakan semut yang ada di dalam lubang dan ikan di lautan semuanya memohon rahmat untuk mereka yang mengajar orang ramai ke arah kebaikan.

Sabda baginda lagi yang bermaksud ; Pemberi petunjuk ke arah kebaikan adalah sama dengan orang yang melakukannya (dari segi ganjaran pahalanya )( Riwayat Tirmidzi )

petikan daripada : intipati Ihya' Ulumuddin

Rabu, 29 Jun 2011

Mohon Maaf

Assalamualaikum....ana mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf buat semua pembaca kerana agak lambat menyiapkan blog ini. Maklumlah baru dalam proses nak belajar...harap bantuan dan tunjuk ajar daripada sahabat2.Terima kasih atas kesabaran tuan/puan.moga kehidupan kalian diberkati ALLAH

Kenangan Umrah Ziarah Ramadhan 1430H

Umrah Ziarah Ramadhan 1430H Slideshow: Asrinajmi2009’s trip from Jitra (near Alor Setar, Kedah, Malaysia) to 2 cities Medina and Mecca was created by TripAdvisor. See another Saudi Arabia slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.